Thursday, January 5, 2012

Orang Buta, Orang Sebelah Mata Dan Orang Sepasang Mata

Sesetengah orang berpendapat bahawa agama Buddha hanya mengajar penganutnya membebaskan diri daripada dunia (Lokiya) untuk hidup bahagia tanpa duniawi (Lokuttara). Mereka mendakwa bagaimana mungkin orang tinggal di dunia mampu bebas daripada duniawi? Untuk makluman, "bebas daripada duniawi" ialah minda, bukannya fizikal. Bebas di sini bermaksud minda tidak "menjadi hamba" kepada duniawi. Duniawi dipenuhi kebendaan. Maka, minda yang bebas daripada duniawi tidak terikat dengan kebendaan. Dalam maksud yang lain, duniawi mesti menjadi hamba kepada kita, bukan sebaliknya. 

Bagaimana pun, kita kena faham bahawa Dhamma tentang Lokiya-Lokuttara ini lebih ditujukan kepada Samana atau Bhikkhu yang berikrar mahu meninggalkan duniawi. Orang biasa atau Kharawat tidak menjadi kewajipan. Yang penting, kita tidak "mengikat diri" pada sifat-sifat duniawi atau kebendaan sehingga kita menjadi hamba kepadanya. 

Sesetengah orang pula berpendapat, Buddha melarang umat mengumpul kekayaan, sebaliknya hidup berpuas hati dengan apa yang ada. Ini pun silap. Hanya Bhikkhu dilarang mengumpul kekayaan dunia sebagaimana yang diikrarkan sewaktu upacara masuk Bhikkhu (Banpacha) bahawa mereka mahu hidup sekadar yang ada atas pemberian ikhlas masyarakat. Banpacha bermaksud "meninggalkan atau pergi jauh" daripada kemewahan dunia. Kharawat tidak terikat dengan larangan ini. Maka, pendapat bahawa Buddha melarang umat mengumpul kekayaan dunia tidak benar. Semua penganut agama Buddha boleh mengumpulkan kekayaan dunia tetapi mesti dengan cara yang bermoral. 

Pada zaman Buddha dahulu, ramai pengikut ajaran Buddha ialah bangsawan (Raja Bimbisara, misalnya penaung agama Buddha) dan hartawan (setthi) ternama. Ubasok  (Ubasaka) pertama yang memohon Perlindungan Buddha, Dhamma dan Sangha ialah seorang hartawan terkenal iaitu ayahanda kepada Bhikkhu Yasa. 


Malahan ramai daripada hartawan ini mencapai tahap Lokuttara (Ariya Bukhon). Mereka ini kaya raya, masih kerja dan mengumpul kekayaan seperti biasa tetapi minda berada di tahap Lokuttara. Ini kerana mereka mempunyai keseimbangan antara usaha "mencari kekayaan dunia dengan ketekunan mengamalkan Dhamma" yang diajarkan Buddha. Satu perbezaan antara hartawan dahulu dengan jutawan sekarang ialah hartawan dahulu pemurah hati dan suka menderma kepada fakir miskin. Mereka mempunyai "balai sedekah" yang didirikan khas untuk memberi makan kepada fakir miskin dan para musafir. 

Dalam Antha Sutta, Buddha secara perumpamaan mengatakan 3 jenis manusia ini wujud di dunia, iaitu: 


1. Orang buta


Orang buta ialah orang yang tiada mata untuk mencari kekayaan (cari makan) yang belum ada atau menambah kekayaan sedia ada; dan tiada mata untuk mengetahui Dhamma yang baik (Kusala Dhamma) atau Dhamma yang tidak baik (Akusala Dhamma); mengetahaui Dhamma yang membawa faedah atau Dhamma yang membawa musibah; Dhamma yang mempunyai ciri-ciri Dhamma hitam atau Dhamma putih. Inilah yang dikatakan orang buta.


2. Orang ada sebelah mata.


Orang ada sebelah mata ialah orang yang ada mata untuk mencari kekayaan yang belum ada atau menambah kekayaan sedia ada; tetapi tiada mata untuk mengetahui Dhamma yang baik atau Dhamma yang tidak baik; Dhamma yang membawa faedah atau Dhamma yang membawa musibah; Dhamma yang mempunyai ciri-ciri Dhamma hitam atau Dhamma putih. Inilah yang dikatakan orang yang ada sebelah mata.


3. Orang ada sepasang mata.


Orang ada sepasang mata ialah orang yang ada mata untuk mencari kekayaan yang belum ada atau menambah kekayaan sedia ada dan ada mata untuk mengetahui Dhamma yang baik atau Dhamma yang tidak baik; Dhamma yang membawa faedah atau Dhamma yang membawa musibah; Dhamma yang mempunyai ciri-ciri Dhamma hitam atau Dhamma putih. Inilah yang dikatakan orang yang ada sepasang mata.


Orang buta tidak mempunyai harta dan tidak membuat kebaikan. Oleh itu, keburukan akan menimpa orang buta. Orang buta kehilangan penglihatan di dua dunia (dunia kini dan dunia akan datang). 


Orang yang ada sebelah mata ialah orang yang bergelumang dengan kebaikan dan kejahatan. Mereka mencari harta dengan cara menipu dan berbohong. Mereka pintar mengumpul kekayaan. Setelah meninggal dunia, akan menerima azab di neraka. 


Manakala orang yang ada sepasang mata merupakan orang yang mulia. Mereka selalu membuat sedekah daripada kekayaan yang dicari. Mereka ini mempunyai pemikiran yang baik dan tidak ragu-ragu. Mereka mencapai tahap yang mulia yang bebas daripada kesedihan. 


Manusia harus mengelakkan (berkawan) orang yang buta, menjauhi orang yang ada sebelah mata, sebaliknya berkawan dengan orang yang ada sepasang mata. Orang yang ada sepasang mata merupakan orang yang paling mulia. 


...................................................


"Mata" yang dimaksudkan oleh Buddha ialah mata hati, akal, keupayaan atau kebolehan yang ada pada manusia. Baginda membandingnya dengan mata kerana mata mampu melihat dan penglihatan memudahkan seseorang melakukan sesuatu. 


Baginda menyuruh kita berkawan dengan "mereka yang ada sepasang mata" kerana mereka ini orang baik dan mulia. Mereka mengumpul kekayaan dengan cara bermoral.  Mereka mampu membezakan Dhamma baik dengan Dhamma tidak baik. Mereka kaya harta dan kaya budi. Buddha menyanjung orang yang mempunyai keseimbangan begini. 


Daripada Sutta ini jelaslah bahawa Buddha tidak melarang umat menolak kekayaan dunia. Bahkan, Baginda menggalakkan umat mencari dan mengumpul kekayaan dunia, tetapi mesti dengan cara yang bermoral (mematuhi undang-undang), bukannya menipu, berbohong, mencuri atau merompak. Pada masa yang sama, mesti membuat sedekah, memberi sumbangan kepada perkara-perkara yang berfaedah. 


(rujukan: Tipitaka)









No comments: