Wednesday, January 18, 2012

Siapakah Bhikkhu Yang Memusnahkan Agama Buddha

Apabila disebut Bhikkhu, ramai daripada kita akan terbayangkan kebaikan semata-mata. Maklumlah Bhikkhu itu individu suci yang menjejaki amalan mulia Buddha. Namun, hakikatnya tidak begitu. Baginda Buddha ada menyebut dalam sebuah Sutta (20:22-23) bahawa terdapat Bhikkhu yang membawa kemusnahan kepada ajaran Baginda. Apakah ciri-ciri Bhikkhu tersebut? Bhikkhu tersebut, antaranya ialah:


1. Mengajar perkara yang bukan Dhamma tetapi mendakwanya sebagai Dhamma. 


2. Mengajar perkara yang bukan Vinaya (disiplin) tetapi mendakwanya sebagai Vinaya (disiplin).


3. Mengajar perkara yang tidak pernah diperkatakan atau disebut oleh Buddha tetapi mendakwa pernah diperkatakan atau disebut oleh Buddha.


4. Mengajar Karma yang tidak pernah dilakukan oleh Buddha tetapi mendakwa pernah dilakukan oleh Buddha.


5. Mengajar perkara yang tidak pernah dijadikan ketetapan oleh Buddha tetapi mendakwa pernah dijadikan ketetapan oleh Buddha.


Bhikkhu begini dikatakan berperlakuan tidak baik, tidak memberi faedah kepada manusia dan devata dan membawa kemusnahan kepada agama Buddha. Dia bakal menanggung dosa yang besar. 


Walaupun Sutta ini menyebut Bhikkhu, namun hakikatnya tidak terbatas setakat Bhikkhu. Individu biasa yang bukan Bhikkhu juga membawa kemusnahan kepada agama Buddha sekiranya melakukan perkara-perkara di atas. 


Saya pernah menziarahi seorang Bhikkhu di sebuah wat di Kelantan. Dia bercerita tentang kejadian alam, matahari, bulan dan asal-usul manusia. Dia mendakwa Buddha mengajar begitu. Hakikatnya apa yang dia katakan itu ialah kepercayaan masyarakat Siam yang diceritakan dari mulut ke mulut entah sejak bila, tetapi sama sekali tiada kaitan dengan Buddha. Dalam Tipitaka tiada perkara seumpama itu. Mungkin Bhikkhu ini tidak berniat "untuk berbohong atas nama Buddha" tetapi terkeliru antara kepercayaan masyarakat dengan ajaran agama. 


Salah satu sebab agama Buddha hilang pengaruh di India kerana para Bhikkhu mengajar perkara yang bukan Dhamma (ajaran Buddha) kepada pengikut tetapi mendakwanya sebagai Dhamma. Kegemilangan agama Buddha di Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan Burma juga bakal mengulangi sejarah agama Buddha di India seandainya Bhikkhu tidak mendalami Dhamma dengan betul. Masyarakat lebih percaya kepada Bhikkhu daripada orang biasa. Semua cakap Bhikkhu diterima sebagai kebenaran tanpa keraguan. Cakap orang biasa, biarpun benar, tetapi diragui kebenarannya. 


Oleh sebab itulah KSB amat berhati-hati menulis  Dhamma kerana takut tersalah tulis. Dosanya bukan kecil. Rujukan yang sahih amat diperlukan. Orang lain juga patut mengambil berat perkara ini apabila berbicara tentang Dhamma. Mendakwa "perkara yang bukan ajaran Buddha sebagai ajaran Buddha" sama seperti "memfitnah" Buddha kerana akan mendorong orang lain tersalah faham terhadap Buddha. Contohnya, upacara agama (sasana pitthi) yang kita amalkan kebanyakannya tidak ada kaitan dengan Baginda Buddha. Jadi, berhati-hati apabila mahu mengaitkan perkara tersebut dengan Buddha. Nanti berdosa tidak pasal-pasal.

No comments: