Friday, February 17, 2012

Bangsaku, Sakitnya Belum Sembuh!

Dalam agama Buddha,  sahabat palsu yang tidak berguna terdapat 4 jenis, iaitu:


1. Orang yang hanya tahu ambil semata-mata. Sedikit memberi tetapi mahu balasan yang banyak. Mementingkan diri, berkawan dengan orang hanya mahu mendapatkan faedah diri. Orang ini umpama lintah darat. 


2. Orang yang hanya pandai cakap, tetapi tidak pandai buat. Buat sikit, cakapnya berbukit-bukit. Suka ungkit benda yang telah lepas. Gemar cakap benda yang belum terjadi. Faedahnya sama sekali tiada.


3. Orang yang tiada pendirian. Orang buat jahat dia ikut. Orang buat baik dia ikut. Sikapnya umpama lalang ditiup angin. Depan dia puji. belakang dia kutuk.


4. Orang yang mengajak ke jalan jahat. Mengajak minum arak, berjalan malam, main judi dan lalai dengan permainan lain. 


Orang yang bersikap seperti di atas, dalam agama Buddha, tidak boleh dijadikan sahabat yang sejati. Sekadar kawan minum kopi atau kawan sembang kosong boleh. Sahabat yang baik seperti kata pepatah, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" tidak boleh. Kawan begini ada berkoyan-koyan pun tidak berfaedah. Jikalau dia menjadi pemimpin, jahanam masyarakat. Pemimpin Siam pun ada sikap begini. 


Hari ini aku mahu sentuh tentang orang Siam dan pemimpinnya. 


Politik orang Siam masih ditakuk lama. Jika berbeza, mungkin cara minta bantuan. Siam dahulu segan-segan mahu minta sedekah daripada kerajaan kerana orang yang suka minta-minta dipandang rendah. Siam sekarang tiada segan, tiada silu. Dengar khabar Menteri mahu datang, cepat-cepat karang surat minta duit. Nasib baik Menteri ada duit. Jikalau Menteri tiada duit, haram jadah tidak boleh datang takut malu kerana tidak dapat bagi duit kepada fakir miskin Siam.


Orang Siam sekarang patut sujud tujuh kali sehari di kaki ibu bapa mereka kerana membesarkan mereka tanpa minta sedekah dengan sesiapa. Walaupun tidak kaya, anak-anak Siam dibesarkan dengan sempurna. Dihantar ke sekolah, ramai berjaya masuk ke universiti dalam negara dan luar negara. Ibu bapa amat berbangga. Aku pun amat berbangga. Setiap sen yang dibelanjakan hasil usaha dan titik peluh. Mereka tidak permah minta sedekah daripada Menteri mahupun parti politik. Mereka membesarkan anak-anak dengan hasil titik peluh sendiri. 


Wahai anak-anak Siam, sujudlah di kaki ibu dan bapa kamu kerana mereka tidak pernah mengaibkan keluarga, agama dan bangsa dengan minta sedekah. 


"Orang Siam ni senang. Mereka mahu duit, bagi. Mahu arak bagi. Gerenti ngundi kita!" Aku tidak pernah lupa kata-kata seorang bukan Siam,  Pengarah di Jabatan Kerajaan sewaktu bersembang tentang politik orang Siam. Aku anggap ini satu penghinaan dan sekaligus cabaran kepada bangsa Siam. 


Aku tidak marah. Dia tidak bercakap kosong. Kenyataan yang berlaku di depan mata dia, di depan mata aku. Mungkin juga di depan mata anda.


"Apasal Che Det bagi Senator kepada Siam?" tanya dia. Aku menggeleng. Sebelum ini aku pernah dengar kononnya Che Det mahu balas jasa baik bapa Datuk Charern Intachat.  Bapa berjasa, bagi Senator kepada anaknya. Okeylah begitu. Hasilnya Datuk Charen jadi sasaran kutukan dan hinaan orang Siam. Orang Siam ingat Datuk Charern dapat Senator kerana mereka. Senator-senator seterusnya pun menanggung Karma yang sama. 


"Orang Siam bila dapat Senator, mereka akan bergaduh sesama sendiri. Perpaduan mereka hancur. Mereka jadi lemah. Kaum yang jumlahnya kecil, berpecah belah lagi, mudah dikepit ketiak. Suruh makan, makan. suruh tidur, tidur. Dalam bergaduh, bertengkar, bermaki hamun, berharam, berjadah, mereka tetap setia kepada kerajaan kerana terliur dengan jawatan Senator!" katanya dengan yakin. "Jangan terasa. Ini benar!"


Jikalau aku kata begitu kepada bangsa kau, kau tidak terasa? Namun, aku diam kerana tidak baik bertegang leher dengan tetamu. Dia datang ke tempat aku. Aku harus mendengar luahan kata-katanya. 


Dia ni mentang-mentang berjawatan besar memandang rendah bangsaku. Dia menggambarkan orang Siam seperti anjing berebut tulang akibat tergila-gilakan jawatan Senator. Kata-katanya ada benar juga. Selepas ada jawatan Senator, Siam terpecah jadi puak-puak. 


"Ada orang dakwa, jawatan Senator dimohon oleh Siam Kedah!" tanya aku.


"Siapa kata? Saya baru kata tadi, Che Det mahu balas jasa bapa Datuk Charern. Tak ada kaitan langsung dengan mana-mana Siam!"


"Oh, gitu!"


Lega kerana jawatan Senator bukan hasil minta sedekah. Hasil balas jasa. Orang Siam berjasa juga kepada negara. Che Det pun reti membalas jasa. 


Itu orang Siam dahulu. Orang Siam sekarang jasa belum ditabur, terus minta balasan. Apa boleh buat. Pemimpinnya peminta sedekah. Orang-orang yang dipimpin pun jadi peminta sedekah juga. Seperti orang celik pimpin orang buta minta sedekah di jalanan. Bezanya, orang Siam lebih tinggi darjatnya. Mereka minta sedekah sama Menteri. 


Apabila anda terjumpa peminda sedekah yang menghulurkan sekeping kalendar kecil untuk ditukar dengan wang anda, apa anda rasa? Apa yang anda rasa sama seperti apa yang Menteri rasa. Anda tidak berkata apa. Menteri pun tidak berkata apa. Manusia ada adat yang mesti dijaga. Bagaimana dengan peminta sedekah asing? Anda rasa benci dan meluat? Menteri pun rasa benci dan meluat. Bagaimana selepas Menteri pulang? Apakah yang bakal disembang dengan kawan-kawannya? Dia akan puji peminta sedekah? Aku rasa mustahil.


Pak Lah pernah menasihati orang Melayu agar tidak hidup bertongkat (subsidi). Pak Lah tidak senang bangsanya bergantung pada wang subsidi. Pak Lah sedar bangsa yang hidup dengan bantuan tidak dipandang tinggi. Bahkan dalam situasi tertentu dipandang hina. Pemimpin Siam mesti sedar tentang perkara ini.


Setelah sedekah diberikan, pemimpin Siam dilanda sindrom lain lagi. Sindrom menuding ibu jari ke dada sendiri. Masing-masing mahu mengaku dialah yang memainkan peranan sehingga diberikan bantuan. Mahu jadi juara peminta sedekah. 


"Bantuan Wat Bangsek tu, Phom (saya) yang buat surat!" kata pemimpin Siam sambil menunjuk ibu jari ke dadanya, kononnya dialah yang jadi tukang minta sedekah itu. 


"Bantuan dari PM dulu pun Phom juga yang minta! Dekat Kedah pun banyak yang Phom tolong!" Tidak habis-habis dengan sikap bangga diri.


"Woi, bantuan RM200,000 hari tu aku yang buat surat!" Ini pengakuan pemimpin pelapis yang memang suka masuk bakul angkat sendiri. Dia menjaja ke seluruh pelusuk muka bumi bahawa dia yang membuat surat kepada Perdana Menteri sehingga dihulurkan bantuan RM200 ribu. Dia siap tunjukkan bukti surat yang dicopinya. Boleh percaya? 


"Saya yang minta!" Ini suara pemimpin wanita. "Sebab itulah saya ada hak ke atas wang itu!" Pemimpin wanita ini semakin hari, semakin galak. 


Kerana duit yang tidak seberapa pemimpin Siam bermasam muka. Sekurang-kurangnya terdapat 4 pemimpin yang mendakwa hasil permintaan dia duit itu diberikan. Berebut mahu jadi juara peminta sedekah.


Biasalah manusia. Apabila dapat kebaikan, semua mengaku hasil usahanya. Apabila dapat keburukan, semua menolaknya. Sikap begini tidak dipandang mulia. Sedarlah wahai pemimpin
Siam. Berbuat baik tidak perlu menonjol diri, apatah lagi mengaku hasil kebaikan yang orang lain buat. Kalau tidak malu kepada orang Siam, malulah kepada Menteri atau Perdana Menteri. 



Sikap "menuding jari ke dada sendiri" sambil berkata "aku yang buat" amat membosankan. Orang Siam sudah muak dengan sikap begini. Jikalau benar pun, baik berdiam saja. Bagi orang lain yang cakap. Bagi orang lain yang puji. Jangan puji diri sendiri. Muntah darah orang Siam dibuatnya. 


Tabiat ayam betina, telur sebiji riuh sekampung pun dibenci orang. Ayam memang bertelur. Cuma riuhnya lebih. Ini pemimpin Siam tidak bertelur. Riuhnya melebihi ayam betina. Cukuplah. Orang sudah dapat baca. Mahu berbohong pergi cari tempat lain. Kutup Utara pun boleh. Orang Siam Malaysia sudah kenal bahawa yang berkilau itu cuma kaca. Serpihan kaca. 


Orang sudah berjaya ke angkasa, orang Siam masih bertekak pasal nama Siam atau Thai. Ada pihak suka nama Siam. Ada pihak selesa dengan nama Thai. Senator menambahkan sakit kepala lagi apabila meletakkan nama Bumiputera Siam kepada bangsa aku. Raja Gopal merupakan raja tanpa takhta. Bumiputera Siam merupakan Bumiputera yang tiada hak-hak Bumiputera. Elok begitu. Tidak perlu berebut hak dengan sesiapa. Perlembagaan Persekutuan pun tidak perlu dipinda. Main syok sendiri. 


Jika mahu beli rumah harga Bumiputera, minta surat sokongan daripada Menteri. Rumah di Bukit Beruntung yang terbiar surat Menteri pasti laku. Rumah di tempat lain, aku tidak tahu. 


Orang lain ada persatuan, orang Siam juga mahu ada persatuan. Maka tumbuhlah persatuan Siam bagai cendawan tahi lembu selepas hujan. Orang lain bertungkus lumus memajukan persatuan. Orang Siam bertungkus lumus mematikan persatuan. 


Bagi Senator tidak cukup walaupun kerjanya tidak seberapa. Cakap juga lebih. Sekarang mahu lobi jawatan Timbalan Menteri. Senator tidak banyak boleh membantu orang Siam. Mesti jawatan Timbalan Menteri baru boleh. Cukupkah jawatan Timbalan Menteri? Kenapa tidak mahu jawatan Menteri? 


Berbaliklah kepada Dhamma Buddha. Hiri Ottappa - malu dan takut kepada kejahatan. Berbohong dikira kejahatan juga kerana boleh menyebabkan orang lain rosak. 


Pemimpin yang baik umpama sahabat yang sejati. Pemimpin yang tidak baik umpama sahabat yang palsu. Sebelum jadi pemimpin, jadilah sahabat yang sejati dahulu kerana tanggungjawab seorang pemimpin itu berat. Pemimpin mencorakkan masa hadapan masyarakat yang dipimpinnya. Pemimpin yang bertamadun akan melahirkan masyarakat yang bertamadun. Pemimpin yang suka meminta melahirkan masyarakat subsidi. 





















9 comments:

ThaiSIAM said...

Amat setuju dengan paparan ini.

Manit Sripradit said...

Apa yg kamu kupaskan amat tepat sekali. Takdak org lain yg berani nak bersuara seperti ini.

pena reformasi said...

Minta bantuan kerajaan harus berpada-pada dan sesuai dengan bendanya, apabila keterlaluan orang akan pandang rendah kaum kita. Saya lihat sekarang ini, semua pun minta sampai malu dibuatnya. Jika kita boleh buat sendiri, tak payah minta. Apabila orang bagi, tak usah berebut nak mengaku hasil usaha kita. Kita patut terima kasih dan menghargai jasa orang yang berusaha. Tak mahu jadi seperti "lembu punya susu, sapi punya nama".

Anonymous said...

Pedih hulu hati pemimpin Siam baca artikel ini, tapi bagus bagi kesedaran Bumiputra Siam.

Anonymous said...

molek benar tulisan demo. sapo makan lada dia rasa pedas.

Anonymous said...

Kelate ada sekor, Kedah ada sekor, Kolumpo ada sekor hak jenis masuk bakul angkat sendiri.

Anonymous said...

bagus punya penulisan ini..abaikan sentimen pengampu.. 1st artikel terbaik ak jumpa .

Anonymous said...

Setuju.

Anonymous said...

Maruah bangsa jangan dijual beli. Perbuatan bodek, ampu dan jilat pemimpin bererti jual maruah bangsa. Pemimpin Khonthai bila diupah rela buat semua perbuatan tu. Malu Khonthai dijadi bahan ketawa bangsa lain.