Wednesday, February 29, 2012

Dua Kebenaran Yang Harus Difahami

Sammuti-Sacca 

Kebenaran yang lazim iaitu kebenaran yang dipersetujui bersama di kalangan manusia. Misalnya Encik A, Cik B, orang, binatang, harimau, pokok, katil, buku, bapa, ibu, anak, kakak, kawan dan sebagainya. Semua ini sebenarnya ialah Sankhara atau Nama-Rupa atau Khandha 5 (Panca-Khandha). (Conventional Truth).

Sammuti-Sacca juga merupakan kebenaran pada tahap tertentu atau dalam masa tertentu sahaja. Sammuti-Sacca berlawanan dengan Paramattha-Sacca.
        

Paramattha-Sacca

Kebenaran tahap tinggi atau kebenaran yang tulen atau kebenaran hakiki yang kekal tidak berubah. Misalnya, kehidupan lahir daripada elemen Rupa, Vedaya, Sanya, Sangkhara dan Vinyan merupakan Paramattha-Sacca. Kebenaran hakiki ini tiada orang, haiwan, aku, engkau dan sebagainya kerana yang ada hanya Rupa-Nama. ("Truth" (or term, exposition) that is true in the highest / or ultimate).

Dua kebenaran ini harus difahami agar kita tidak keliru dengan kehidupan. Sammuti-Sacca walaupun bukan kebenaran yang sejati tetapi mesti "diamalkan" dalam kehidupan harian kerana telah dipersetujui bersama oleh umat manusia sebagai kebenaran. Kebenaran yang lazim ini juga memudahkan kita berinteraksi.

Manakala Paramattha-Sacca amat penting kepada pengamal Dhamma atau Vipassana. Pencerahan atau pembebasan minda tidak akan berlaku jikalau tidak memahami Paramattha-Sacca. Malahan untuk menjalani kehidupan bahagia seseorang harus dapat membezakan Sammuti-Sacca dengan Paramattha-Sacca. 

Sikap mementingkan diri yang menebal pada seseorang kerana orang tersebut tidak dapat membezakan antara kebenaran hakiki dengan kebenaran yang lazim. Dia begitu melekat pada kebenaran yang lazim sehingga melupakan kebenaran hakiki. "Aku" dan "milik aku" lahir daripada kekeliruan ini. 

Buddha mengajar kita mengenal Paramattha-Sacca agar kita tidak melekat dan menganggap Khandha 5 diri kita. Kemelekatan (upadana) ini merupakan punca kepada Dukkha. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kita mesti mengabaikan Sammuti-Sacca sama sekali. Sammuti-Sacca masih diperlukan dalam kehidupan harian bersama manusia lain.

Sammuti-Sacca juga "bukan jalan keluar" daripada sesuatu tanggungjawab. Contohnya, apabila kita menganjurkan Pesta Loy Krathong, tetapi gagal mencapai matlamat. Orang menegur kita, lalu sebagai jalan keluar kita pun berkata: "Ah, Loy Krathong hanya Sammuti sahaja!" Sebenarnya kita berkata begitu kerana mahu menutup kelemahan diri. 

Begitu juga apabila kita gagal mematuhi peraturan tertentu, kita selalu berkata: "Semuanya Sammuti sahaja!" Kita berkata begitu untuk mewajarkan tindakan kita. 

Sammuti-Sacca biarpun hanya "kebenaran ciptaan manusia" namun, mesti diterima sebagai kebenaran agar tidak menimbulkan masalah dengan orang lain. 
        

No comments: