Tuesday, February 14, 2012

Fokus Pada Yang Baik

Jikalau kita mahu senaraikan keburukan sahabat kita, saya rasa banyak yang dapat kita senaraikan. Begitu juga sekiranya sahabat kita mahu kumpulkan keburukan kita, pasti banyak yang dapat dikumpulkannya.  Ini kerana, pertama, pada lazimnya manusia lebih mahir cari keburukan orang lain berbanding kebaikannya. Kemahiran ini diajar sejak kecil. "Jangan berkawan dengan si dia, perangainya jahat. Mak tak suka!" Pesan si ibu kepada anaknya. 


Kedua, pada lazimnya juga manusia menyimpan banyak keburukan daripada kebaikan kerana manusia ada kilesa (kotoran batin). Keburukan manusia akan berkurangan bersama kurangnya kilesa. Manusia mencapai Arahant apabila kilesa habis. 


Ketiga, keburukan sering diperbesarkan oleh masyarakat sehingga menjadi lebih dominan daripada kebaikan. Sepuluh kali berbuat baik orang tidak nampak. Sekali berbuat jahat heboh sekampung. 


Semua orang tahu.  Setiap manusia ada keburukan. Setiap manusia melakukan kesilapan. Keburukan mudah dicari. Kenapa keburukan juga yang mahu diketengahkan? Mungkin ada orang berkata, kita mendedahkan keburukan seseorang sekadar dijadikan sempadan dan pengajaran. Mungkin juga untuk menyedarkannya. Cukuplah setakat itu. Kita tidak perlu menghukum kerana negara ada undang-undang. Agama Buddha hukum Karma. Agama lain ada Tuhan. 


Namun, manusia ada kilesa yang memenuhi rohaniahnya. Kilesa inilah yang mendorong manusia suka melihat keburukan daripada kebaikan. Kilesa inilah yang mempengaruhi manusia mencungkil keburukan orang lain untuk dijadikan tontonan umum. Manusia ada perasaan malu, tetapi anehnya suka memalukan manusia lain. Kilesa ini jugalah yang telah, sedang dan akan menjerumuskan manusia ke lembah kejahatan secara sedar atau tidak sedar. 


Apabila sudah sedar bahawa kilesa yang mendorong kita fokus pada keburukan, maka cubalah berlawan dengan kilesa itu agar kita dapat fokus pada kebaikan. Semua orang tahu bahawa setiap manusia ada keburukan, maka tidak perlu diceritakan lagi. Cukuplah sekadar menyedarkan, dijadikan sempadan dan pengajaran. Elok sekali diketengahkan kebaikannya untuk diketahui umum. 


Mengapakah KSB selalu fokus pada keburukan Bhikkhu?


Jikalau dipenuhi keburukan bukan Bhikkhu. Bhikkhu tidak melakukan kejahatan yang ketara. Maka keburukan pun kurang. Yang banyak keburukan ialah sami. Sami bukan Bhikkhu. Bhikkhu merujuk kepada individu yang mengamalkan kehidupan suci dalam agama Buddha. Manakala sami setaraf dengan sami Hindu. Bagaimanakah nama sami dipakai kepada Bhikkhu Buddha, saya kurang periksa. 


Oleh itu, Bhikkhu yang banyak keburukan, KSB panggil sami kerana dia tidak layak dipanggil Bhikkhu. Panggil sami atau tok sami cukuplah kerana perangainya tidak bercirikan Bhikkhu yang menjalani kehidupan suci (Brahama-cariya). Sami beginilah yang sering jadi sasaran kritikan KSB. Bukan mengutuk atau mengaibkan, tetapi mahu menyedarkan empunya badan selain dijadikan sempadan dan pengajaran orang lain. 


Kesimpulannya, kilesa mendorong seseorang melihat kehidupan dari sudut negatif. Oleh itu, jangan ikut sangat kilesa ini. Kilesa ini umpama musuh yang sentiasa mahu memusnahkan kita. Sesiapa yang berjaya membunuh kilesa, bererti dia telah berjaya membunuh semua musuhnya. 





No comments: