Friday, February 3, 2012

Hiri-Ottappa Penyelamat Dunia

Seorang kawan meluahkan kebimbangannya terhadap remaja Thai hari ini yang dikatakan sudah tidak tahu malu lagi. Mulut belum hilang hanyir susu sudah pandai bercinta. Bermadu cinta dan berdua-duaan tanpa segan silu. Berpeluk dan bercium tanpa rasa segan. Bahkan ada yang masak sebelum matang; mengandung sebelum nikah.


Saya berkata, inilah akibatnya jikalau manusia tiada perasaan malu dan takut. Dalam agama Buddha terdapat 2 dhamma yang dipanggil Hiri-OttappaBuddha berkata 2 dhamma ini sangat penting kerana ia dapat melindungi dunia. 


Hiri-Ottappa ialah perasaan malu dan takut. ('Moral Shame and Moral Dread', are associated with all karmically wholesome consciousness). 


Tanpa Hiri-Ottappa dunia pasti musnah. Sebenarnya yang musnah ialah masyarakat yang menghuni dunia. Sekarang pun kemusnahan sedang berlaku kerana manusia semakin hilang Hiri-Ottappa. Dunia semakin tidak selamat kerana Hiri-Ottappa kurang diberi perhatian. 


Orang yang bermoral pasti malu dan takut membuat jahat. Manakala orang yang tidak bermoral tidak ada perasaan malu dan takut. Apabila tiada perasaan malu dan takut, manusia sanggup buat apa sahaja. Lihatlah dunia moden hari ini. Manusia sanggup menjual maruah dan harga diri tanpa berasa malu. Manusia sanggup melakukan jenayah tanpa berasa takut. 


Sekumpulan pelajar perempuan berpakaian separuh bogel memperagakan badan lewat YouTube kerana mereka tiada Hiri-Ottappa. Mereka tiada sedikit pun perasaan malu dan takut. 


Karma, Tuhan, dan undang-undang tidak berkesan langsung menyekat perbuatan manusia yang tiada Hiri-Ottappa ini. 


Kita menghormati antara satu sama lain, menghormati isteri, suami, adik beradik, ibu bapa, guru, kawan-kawan dan jiran tetangga kerana ada Hiri Ottappa. Kita tidak mencabul hak orang lain kerana ada Hiri-Ottappa. Kita tidak mengganggu isteri atau suami orang kerana ada Hiri-Ottappa. 


Jikalau tiada Hiri-Ottappa, dunia manusia akan jadi seperti dunia haiwan. Manusia tidak tumpah seperti kambing, ayam, anjing dan kuda. Jadi, Hiri-Ottappa selain melindungi dunia, ia juga membezakan manusia daripada haiwan. 


Dunia akan selamat sekiranya manusia ada Hiri-Ottappa. Oleh itu, setiap kanak-kanak harus disemaikan Hiri-Ottappa sejak kecil lagi agar mereka membesar sebagai manusia yang bermoral. 

No comments: