Monday, February 6, 2012

Jalan Ke Syurga

Brahmana dan penduduk Velutavarakam bertanya kepada Buddha bahawa mereka yang berkeluarga, tidur bersama anak dan isteri, memakai bunga dan wangi-wangian, menggunakan duit, apabila mati mahu pergi ke Sugati Syurga. Apakah amalan-amalan yang harus diamalkan mereka?


1). Buddha berkata bahawa kita (manusia sejagat) mahu hidup, tidak mahu mati; suka kepada kebahagiaan, benci kepada penderitaan. Siapa mahu mengambil nyawa kita, perkara itu tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga jikalau kita mahu mengambil nyawa orang lain yang mahu hidup, tidak mahu mati; suka kepada kebahagiaan, benci kepada penderitaan, perkara itu juga tidak menjadi kesukaan mereka. Ariya Savaka (pengikut yang mulia) setelah memahami perkara ini, (1) mesti mengelakkan pembunuhan (Panatipata); (2) mengajak orang lain mengelakkan pembunuhan dan (3) memuliakan perbuatan mengelakkan pembunuhan. Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini. 


2). ...sesiapa yang mengambil barang kita tanpa keizinan kita tentulah tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga apabila kita mengambil barang orang tanpa keizinan mereka, tentulah tidak menjadi kesukaan mereka. Ariya Savaka setelah memahami perkara ini, (1) mesti mengelakkan pencurian (Adinnadana); (2) mengajak orang lain mengelakkan pencurian; dan (3) memuliakan perbuatan mengelakkan pencurian. Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini.


3). ... sesiapa yang mencabuli isteri kita tentulah tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga jikalau kita mencabuli isteri orang lain, suaminya pun tidak suka. Ariya Savaka setelah memahami perkara ini, (1) mesti tidak melakukan perbuatan zina (Kamesu-micchacara); (2) mengajak orang lain tidak mencabul isteri orang; dan (3) memuliakan perbuatan tidak mencabul isteri orang. Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini. 


4). ... sesiapa yang merosakkan mata pencarian kita dengan berbohong, tentulah tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga apabila kita merosakkan mata pencarian orang lain dengan berbohong, orang pun tidak suka. Ariya Savaka setelah memahami perkara ini, (1) mesti tidak bercakap bohong (Musavada); (2) mengajak orang lain tidak bercakap bohong; dan (3) memuliakan perbuatan tidak berbohong. Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini.


5). ... sesiapa yang menjadi batu api agar kita berpecah-belah dengan kawan-kawan dengan kata-kata yang menghasut, tentulah tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga apabila kita menjadi batu api memecah-belahkan orang lain dengan kata-kata yang menghasut tentulah tidak disukai orang lain. Ariya Savaka setelah memahami perkara ini, (1) mestilah menjauhi kata-kata yang menghasut (Pisunavaca); (2) mengajak orang lain menjauhi kata-kata yang menghasut; dan (3) memuliakan perbuatan tidak menghasut. Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini.


6). ... sesiapa yang bercakap dengan kita dengan percakapan yang kasar, tentulah tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga apabila kita bercakap kasar dengan orang lain, orang pun tidak suka. Ariya Savaka setelah memahami perkara ini, (1) mesti meninggalkan percakapan kasar (Parusavaca); (2) mengajak orang lain meninggalkan percakapan kasar; dan (3) memuliakan perbuatan meninggalkan percakapan kasar (mesti bercakap lembut dan sopan). Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini. 


7). ... sesiapa yang bercakap dengan kita dengan kata-kata yang tidak berasas dan tidak berfaedah, tentulah tidak menjadi kesukaan kita. Begitu juga apabila kita bercakap dengan orang lain dengan kata-kata yang tidak berasas dan tidak berfaedah, tentulah tidak disukai orang tersebut. Ariya Savaka setelah memahami perkara ini, (1) mesti mengelakkan kata-kata yang tidak berasas dan tidak berfaedah; (2) mengajak orang lain mengelakkan kata-kata yang tidak berasas dan tidak berfaedah; dan (3) memuliakan perbuatan mengelakkan kata-kata yang tidak berasas dan tidak berfaedah. Perbuatan dan fikiran kita akan suci melalui 3 perkara ini.


Ariya Savaka itu (individu yang dimaksudkan sebagai Ariya Savaka) mestilah mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha serta mengamalkan Sila yang disukai (dimuliakan) oleh golongan Ariya (golongan bijak pandai). 


Buddha berkata apabila amalan Ariya Savaka lengkap dengan 7 kebaikan di atas, maka bolehlah yakin bahawa kita telah memutuskan hubungan dengan neraka, alam haiwan, petta, abai, dugati, vinibat.


Perhatian


1. Sesetengah orang bertanya, kenapa tiada Suramerayamajja pamadatthana veramani iaitu larangan minuman yang memabukkan? Dalam Kammabot 10 pun tiada larangan ini. Mudah sahaja untuk difahami. Buddha berkata "Ariya Savaka" merujuk kepada individu yang mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha serta mengamalkan Sila yang dimuliakan oleh golongan Ariya. Sila apa? Sila 5, Sila 8, Sila 10, Sila 227 dan sebagainya. Kesemua Sila ini ada larangan Suramerayamajja pamadatthana veramani. Lagipun mabuk menyebabkan minda menjadi lemah, kewarasan terganggu dan membawa kelalaian. Ini merupakan musuh kepada kebijaksanaan yang dituntut oleh Buddha.


2. Jika kita perhalusi, tiada juga suruhan agar kita membuat dana atau sedekah. Ini pun mudah difahami. Ariya Savaka mesti mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha. Bagaimana mungkin kehidupan Buddha dan Sangha dapat dipisahkan daripada Sanghadana? Ariya Savaka tentulah memuliakan Sanghadana. Dalam agama Buddha, Sanghadana semata-mata tidak mencukupi, kita juga mesti membuat dana atau sedekah kepada masyarakat yang memerlukan. Lagipun, tidak membunuh, mencuri dan mencabul juga satu sedekah. Bercakap lembut dan sopan juga satu sedekah. Memaafkan juga satu sedekah. Jadi, penganut agama Buddha harus melihat dana atau sedekah dalam sudut yang luas. 












1 comment:

Anonymous said...

Posting yang hebat untuk amalan kita semua.