Monday, February 27, 2012

Janji Perdana Menteri DS Najib Razak


Masyarakat Siam Dibela Sama Seperti Bumiputera Lain - PM
PENDANG: Masyarakat Siam di negara ini akan terus dibela sama seperti kaum bumiputera lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu.
Perdana Menteri berkata kerajaan memberi jaminan akan memastikan masyarakat Siam itu mendapat apa saja kemudahan seperti diperuntukkan kepada golongan bumiputera dan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
"Kerajaan telah mengiktiraf masyarakat Siam adalah golongan bumiputera di negara ini dan akan memastikan masyarakat Siam mendapat (keistimewaan) sama seperti golongan bumiputera lain," katanya ketika merasmikan Sekolah Bahasa Siam di Wat Siam Titi Akar di sini.
Beliau berkata, kerajaan juga bersedia untuk mengkaji sebarang masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam itu dan akan memperbaiki sebarang kekurangannya.
Perdana Menteri berkata, masyarakat Siam di negara ini juga bebas untuk mengembangkan lagi bahasa dan budaya mereka bagi memastikan warisan golongan itu terus terpelihara.
Najib berkata, perbezaan dan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini sebenarnya telah berjaya diserasikan dan ia adalah satu kekuatan kepada negara.
Katanya, kerajaan tidak menyekat sebarang usaha untuk jati diri kaum masing-masing asalkan ia tidak memudaratkan negara dan tidak bercanggah dengan perlembagaan.
Beliau berkata, kerajaan juga menghargai sokongan padu masyarakat Siam kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas apabila statistik menunjukkan lebih 80 peratus masyarakat itu mengundi BN di kawasan Pendang.
Pada majlis itu juga Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai bantuan sekolah bahasa Siam yang dikendalikan secara persendirian oleh masyarakat itu termasuk golongan sami Siam.
Sekolah itu dibina pada tahun 1993 dengan peruntukan RM300,000 dari kerajaan, dan kini mempunyai pelajar sebanyak 150 orang.
Kampung Titi Akar adalah sebuah kawasan majoriti masyarakat Siam di Kedah dengan penduduk lebih 3,000 orang.
Dalam pada itu, ketika berucap pada Karnival Kasih Perdana Menteri Bersama Masyarakat Siam Kedah dan Perlis di Kampung Tok Set dekat sini, Najib berkata permintaan masyarakat Siam untuk menjelaskan kedudukan mereka sebagai bumiputera, bukanlah tuntutan yang tidak munasabah.
Ini kerana mereka sudah diiktiraf sebagai bumiputera sejak dulu lagi, kata beliau.
Najib berkata pengisytiharan bahawa masyarakat Siam adalah golongan bumiputera telah dibuat sejak zaman Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra lagi.
Katanya sebagai bumiputera mereka juga berhak menerima kemudahan seperti layak memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM), membuat pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan menerima pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Kita menganggap masyarakat Siam sebagai satu komponen yang kita beri pengiktirafan kerana kesetiaan mereka kepada negara dan kerajaan sudah terbukti.
"Saya juga kagum dengan kesetiaan masyarakat Siam kepada kepimpinan negara... walaupun dilanda tsunami politik (pada pilihan raya 2008) orang Siam tidak berganjak menyokong Barisan Nasional pada waktu itu," kata Najib.
Beliau berkata dalam konteks negeri Kedah dan Perlis pula, pergaulan masyarakat tempatan dan Siam sudah sebati, tiada masalah hubungan walaupun berbeza kaum dan agama.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan untuk 48 wat Siam di negeri ini dengan masing-masing menerima RM9,000, manakala peruntukan sewajarnya akan turut disalurkan bagi pembinaan bangunan tambahan di Wat Nanai di sini.
Hadir sama isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Anggota Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam Senator Boon Som Inong. - BERNAMA

1 comment:

orge siam kito said...

Time macem ni, mintah apa pun pm aken bagi, sebab nak ambik hati orge siam, dah dekat pilehanraya (pr) dah tu. Kerajaan bn akan jago orge siam, cuma 5 tahun sekali dia akan bagi tu pun maso dekat pr...heh.. heh .. bijak benor orge siam kito.