Tuesday, February 21, 2012

Karma: Perbuatan Secara Sengaja

Ada orang bertanya adakah membunuh dengan tidak sengaja berdosa?

Saya bertanya balik, apakah yang difahaminya tentang dosa?

Dia kelihatan tercengang. Dia bertanya lagi. "Dosa membawa seseorang ke neraka!"

Saya berkata, dosa (bap) ialah perasaan susah hati dan pahala (bun) ialah perasaan senang hati.

Saya bertanya lagi, "Apakah yang difahaminya tentang neraka?"

Dia berkata, neraka suatu tempat yang panas yang terletak di bawah tanah untuk menyeksa orang yang membuat jahat. Saya berkata, jikalau begitu fahamannya tentang neraka, tiada apa yang perlu saya perjelaskan. Saya sendiri kurang arif tentang neraka yang marak dengan api di bawah tanah itu. Saya hanya tahu tentang "syurga di dada, neraka di hati".

Berbalik kepada soalan tadi, adakah membunuh dengan tidak sengaja berdosa? Jika kita rasa bersalah tentulah berdosa kerana kita akan berasa susah hati. Jika tidak berasa bersalah, tidak berdosa kerana kita tidak berasa susah hati. Ini bergantung pada apa yang kita bunuh.

Bagaimana dengan Karma? Adakah Karma akan memberi hasil atau balasannya?

Karma ialah perbuatan - iaitu perbuatan secara sengaja. Maksudnya kita "ada niat" melakukannya, baik mahupun jahat. Misalnya kita gali lubang untuk memerangkap orang atau haiwan. Apabila manusia atau haiwan terjatuh ke dalam dan mati, ini akan menjadi Karma (ada balasannya). Namun, sekiranya kita gali perigi untuk mendapatkan air tetapi haiwan terjatuh ke dalamnya dan mati, ini tidak menjadi Karma (tiada balasannya). Namun begitu, jikalau kita tahu bahawa perigi yang kita gali boleh menyebabkan orang atau haiwan terjatuh ke dalamnya tetapi kita masih membiarkannya begitu, apabila ada orang atau haiwan terjatuh ke dalamnya dan mati, kita tidak akan terlepas daripada balasan Karma.

Perbuatan baik dipanggil Karma baik (Kusala-Kamma), perbuatan jahat dipanggil Karma jahat (Akusala-Kamma). Kusala Kamma berpunca daripada Kusala-Mula. Manakala Akusala Kamma berpunca daripada Akusala-Mula.

Karma boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu:

(1) Kaya-Kamma - Perbuatan melalui tubuh (ada 3 jenis)

(2) Vaci-Kamma - Perbuatan melalui mulut (ada 4 jenis)

(3) Mano-Kamma - Perbuatan melalui hati (ada 3 jenis)

Walaupun tidak sengaja, sekiranya kita melakukan perkara tidak baik kepada orang lain, kita mesti minta maaf. Ini adat kehidupan. Misalnya, kita tertendang kaki orang, kita mesti minta maaf supaya orang tidak tuduh kita kurang ajar. Kita menyinggung perasaan orang tanpa sengaja, kita mesti mohon maaf agar orang tidak simpan dendam terhadap kita.


2 comments:

Anonymous said...

Jikalau Seorang Polis membunuh penjahat dengan sengaja maka dikira Karma jahat?

Bagaimana pula hakim yang menjatuhkan hukuman gantung? atau Pemancung kepala (Merujuk kepada orang yang menjalakan hukuman mati terhadap pesalah).
Dek Ban Nok

pena reformasi said...

Semua pembunuhan dengan sengaja akan terima balasan Karma.