Sunday, February 5, 2012

Kenapa Bhikkhu Muda Tidak Sembah Orang Tua?

Mengapakah Phra Biksu yang masih muda tetapi tidak menyembah atau memberi hormat kepada orang biasa yang lebih tua atau berdarjat dan berkedudukan tinggi?


Soalan ini diajukan oleh seorang Brahmana kepada Buddha kerana beliau berasa janggal apabila Phra Biksu yang muda tidak menunjukkan tanda hormat kepada orang biasa yang lebih tua. Perkara ini berlawanan dengan tradisi Brahmana. Maka tidak hairanlah apabila tersebar tohmahan bahawa pengikut Buddha (Biksu) tidak menghormati orang tua. 


Buddha memberitahu bahawa walaupun seseorang itu berumur 80 tahun, 90 tahun atau 100 tahun, tetapi masih menikmati nafsu indera (Kama), hidup dikelilingi nafsu indera, menanggung kepanasan kerana dibakar nafsu indera, fikiran dikuasai nafsu indera dan berusaha mencari nafsu indera, orang tersebut sebenarnya masih kebudak-budakan (mentah), belum dewasa (matang).


Sebaliknya, seseorang yang masih muda, berambut hitam pekat, tetapi tidak menikmati nafsu indera (Kama), hidup tidak dikelilingi nafsu indera, tidak menanggung kepanasan kerana dibakar nafsu indera, fikiran tidak dikuasai nafsu indera dan tidak berusaha mencari nafsu indera, orang tersebut sebenarnya bijak dan sudah dewasa (matang). 


(Nafsu indera = kenikmatan / keseronokan melalui pancaindera)


Pengertian "dewasa" dalam ajaran Buddha dengan dewasa kita tidak sama. Dewasa dalam agama Buddha diukur dengan perbuatan. Individu yang meninggalkan nafsu indera, nafsu berahi atau keseronokan indera dianggap dewasa biarpun usianya masih muda. Manakala "dewasa" kita diukur dengan umur. Walaupun masih bergelumang dengan hawa hafsu, tetapi umur 30 tahun dianggap sudah dewasa. Umur 60 atau 70 tahun sudah tua. 


Orang biasa menyembah atau memberi hormat kepada Phra Biksu kerana Phra Biksu dikira sudah "dewasa dan matang" kerana telah meninggalkan nafsu indera. Sedangkan orang biasa masih kebudak-budakan kerana masih bergelumang dengan nafsu indera. 


Bagaimana dengan Phra Biksu yang bergelumang dengan nafsu indera, masih mencari keseronokan dan kenikmatan indera? (Keseronokan melalui mata, telinga, hidung, lidah dan tubuh). Phra Biksu begini tentulah masih kebudak-budakan dan belum dewasa (matang) untuk diberikan sembah dengan ikhlas, kecuali memenuhi tuntutan tradisi. 





4 comments:

kingdiaw said...

terima kasih dengan post yang berinfomasi ini, dengan penuh harapan bahawa saudara akan teruskan usaha murni ini. Saya akan sentiasa menanti post yang seterusnya daripada saudara.

pena reformasi said...

Terima kasih kerana membaca KSB!

Manit Sripradit said...

Post yg bagus dan berinformasi. Bagaimana pula dgn Bhikkhu Muda yg penoh nafsu dan tidak menghormati org tua yg amat disanjung dlm masyarakat. Teruskan perjuangan..

pena reformasi said...

Bhikkhu muda yang penuh nafsu-nafsi cuma jadi bhikkhu sekadar nama.

Bhikkhu harus menghormati orang tua, biarpun tak sembah mereka, tapi mesti dengar juga nasihat mereka. Secara jujur saya katakan bahawa ramai orang tua Thai yang cara hidup mereka lebih mulia drp bhikkhu.

Orang muda pun jika mereka orang baik juga harus dihormati.

Malangnya kebanyakan bhikkhu kita terlalu ego; mereka ingat mereka bhikkhu tak perlu dengar cakap orang lain.