Sunday, February 19, 2012

Menganuti Agama Buddha Secara Sah

Orang bertanya bagaimana mahu memeluk agama Buddha?


Kita selalu tengok upacara Banpacha-upasombot (masuk Bhikkhu), tetapi jarang lihat upacara mengisytiharkan diri sebagai penganut agama Buddha.  Bahkan ada sesetengah orang tidak tahu bahawa agama Buddha juga ada "upacara masuk agama Buddha". Upacara ini tidak susah, cuma seseorang dikehendaki melafazkan kata-kata tertentu di depan Bhikkhu. Setelah diterima, maka dia telah menjadi penganut agama Buddha yang sah. 


Mengisytiharkan diri sebagai penganut agama Buddha sebenarnya dilakukan sejak zaman Buddha lagi. Pada waktu itu masyarakat India mempunyai pelbagai kepercayaan. Apabila Buddha lahir, ramai yang tertarik dengan ajaran Baginda. Maka upacara mengisytiharkan diri "menerima ajaran Buddha" dilakukan yang sekaligus menandakan bahawa dia telah meninggalkan kepercayaan lamanya.


1. Bagi mereka yang pernah menjadi Banpachit agama lain, mereka mesti memohon kepada Buddha untuk upacara Banpacha-upasombot dalam agama Buddha (Dhamma-vinai). Buddha akan terima dengan berkata: "Marilah, Bhikkhu, mari mengamalkan Brahma-cariya!" Setelah dia menerima ajakan Buddha, maka dia pun dengan rasmi menjadi Bhikkhu agama Buddha. Orang biasa yang mahu menjadi Bhikkhu dengan Buddha pun akan melakukan upacara yang sama.


2. Mereka yang menjalani upacara Banpacha-upasombot dengan Bhikkhu lain (Buddha savaka), mereka mesti melafazkan ikrar untuk memperingati dan menghormati Buddha, Dhamma dan Sangha sebanyak 3 kali.


3. Pada masa berikutnya, kaedah nombor 2 digunakan. Pemohon diterima sebagai Samanera terlebih dahulu, kemudian Sangha membuat pengisytiharan menerima sebagai Bhikkhu. 


4. Bagi orang biasa yang tidak berhajat menjadi Bhikkhu, mereka mesti melafazkan kata-kata "Pelindung" mohon Buddha, Dhamma dan Sangha menjadi sarana (pelindung). Kata-kata Pelindung ialah: Buddhang Saranang Gaccami, Dhammang Saranang Gaccami, Sanghang Saranang Gaccami. Bagi lelaki mengisytiharkan diri sebagai Ubasok (upasaka), manakala wanita mengisytiharkan diri sebagai Ubasika (upasika).  Ubasok dan Ubasika mesti berpegang pada Sila 5. Selain melafazkan kata-kata "Pelindung" boleh juga melafazkan kata-kata lain yang membawa maksud yang sama. Selain itu, boleh juga mengisytiharkan diri menjadi murid kepada mana-mana Bhikkhu dan berikrar mengamalkan ajaran Buddha. Atau terus mengamalkan ajaran Buddha pun boleh. Yang penting hati mesti ikhlas menerima Buddha, ajaran Baginda dan pengikut Baginda. 


Lafaz menerima agama Buddha "Aku menerima Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung" boleh dilakukan berulang kali agar hati kita "sebati" dengan agama Buddha. Namunk kata-kata Pelindung ini bukan seperti pagar besi yang melindungi rumah daripada dicerobohi. Pelindung akan berfungsi melalui amalan. Kita mesti mengamalkan ajaran Buddha dengan betul dan tekun. Hanya ajaran Buddha dapat menyelamatkan kita daripada Avijja. Avijja ialah punca kepada Dukkha


Upacara mengisytiharkan diri sebagai penganut agama Buddha mesti dilakukan di wat, sebaiknya di dalam Ubosot atau dewan yang ada imej Buddha. Mesti ada 4 orang Bhikkhu, bunga, lilin dan colok. Bhikkhu ialah saksi bahawa seseorang telah memohon dan telah diterima menjadi penganut agama Buddha yang sah.


Bagi keluarga agama Buddha, elok sekali membawa anak-anak (usia yang sesuai 12-15 tahun) ke wat untuk mengisytiharkan diri sebagai penganut agama Buddha secara rasmi. Kemudian  Bhikkhu akan memberitahu serba sedikit tentang moral, tanggungjawab, suruhan dan larangan yang mesti diikuti mereka. 


Guru-guru yang mengajar bahasa Thai dan agama Buddha di wat-wat di Malaysia mesti mengambil inisiatif dan bertanggungjawab membawa anak-anak murid mereka memasuki upacara murni ini. Upacara ini boleh dilakukan secara beramai-ramai. Ini adalah untuk kebaikan para pelajar itu sendiri. 


Di sebuah negara yang masyarakatnya mempunyai pelbagai kepercayaan dan anutan agama, sangat penting kaum Buddhis mengistiharkan diri sebagai kaum Buddhis secara sah agar dapat "memperingati" Buddha, Dhamma dan Sangha ketika terdesak. Ini penting untuk memotivasikan diri dan menguatkan semangat apabila menghadapi dugaan. Maklumlah, negara kita begitu banyak "dugaan" dalam soal agama. Akal yang bijak sahaja tidak cukup, mesti kuat semangat menahan dugaan. Dalam keadaan tertentu, dugaan ini berupa helah, desakan dan paksaan. 


Perangkap "cinta nafsu dua agama" telah banyak menyebabkan muda-mudi Siam hilang arah yang akhirnya hidup berendam air mata. Langkah telah terlanjur, hendak berundur tidak berdaya. Hanya air mata yang menemani diri. Maka sebelum tersilap langkah, jadikanlah Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai Pelindung diri secara sah melalui upacara yang ditetapkan. 


Upacara mengisytiharkan diri sebagai penganut agama Buddha tidak memerlukan modal yang tinggi dan masa yang panjang, tetapi hasilnya sangat baik. Bagi sesiapa yang belum melakukannya, tunggu apa lagi. Pergi cari Bhikkhu di wat dan mohon menjadi penganut agama Buddha yang sah. 





No comments: