Saturday, February 11, 2012

Poster Karnival Kasih YAB: Penghinaan Terhadap Bahasa Kebangsaan!

Telah lama menulis tentang agama. Hari ini saya mahu menyentuh sedikit tentang bahasa. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa alat komunikasi dan tali perpaduan. Namun, masih ramai yang tidak mengambil berat tentang penggunaan bahasa yang betul. Saya bukan pakar bahasa. Jauh sekali pernah mengikuti kursus linguistik. Akan tetapi saya cukup prihatin terhadap bahasa, terutama bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Walau bagaimanapun, silap dan salah tetap ada. Saya sedia terima teguran. 


Sebagai alat komunikasi massa, penggunaan bahasa tidak cukup sekadar untuk difahami, tetapi mesti betul penggunaannya. Tatabahasa, lenggok dan laras mesti diberi keutamaan.


Istilah WAT diberikan erti rumah berhala Buddha, kuil, tokong oleh Kamus Dewan Edisi Ketiga. Edisi Kedua rasa saya tidak ada istilah ini. Hasil keprihatinan pencinta bahasa, istilah ini dimasukkan dalam Edisi Ketiga berdasarkan penggunaan dalam media. 


Orang Siam seharusnya berbangga kerana nama tempat ibadat mereka ada dalam Kamus Dewan.  Istilah wat diterima masuk dan diiktiraf sebagai bahasa Melayu (bahasa Kebangsaan) yang sah. Maknanya penggunaan istilah wat dalam penulisan tidak perlu italic. Istilah ini bukan lagi bahasa asing yang menumpang bahasa Melayu. 


Malangnya masih ada orang Siam yang kurang prihatin. Mereka menggunakan istilah "watt" dalam penulisan. Mungkin mereka tidak sedar bahawa istilah wat sudah ada dalam kamus Dewan. Bagi yang sudah sedar, tetapi masih menggunakan istilah yang salah, orang begini dikatakan buta bahasa. Istilah rasmi sudah ada, tetapi masih menggunakan istilah yang tidak diiktiraf. Penyalahgunaan ejaan, perkataan, istilah, frasa atau ayat adalah perbuatan menghina bahasa. 


Harap orang Siam berhati-hati dalam penggunaan bahasa Kebangsaan, terutama penggunaan istilah yang penting. Kita tidak mahu masyarakat minoriti yang bergelar Bumiputera Siam masih jahil bahasa Kebangsaan. 


Lihatlah poster di atas. "Perkarangan Watt Nanai, Kampung Tok Set, Pendang". Kenapa masih menggunakan perkataan "watt" jikalau perkataan wat sudah diiktiraf sebagai bahasa Kebangsaan? 


Perkara kedua, meletakkan bahasa lain di atas bahasa Kebangsaan adalah satu penghinaan terhadap bahasa Kebangsaan. Sepatutnya bahasa Thai diletakkan di bawah atau di tengah bukan di atas sekali. Saya sedar, niatnya baik kerana ingin menyanjung bahasa ibunda tetapi dalam konteks kita di Malaysia, tiada mana-mana bahasa yang lebih tinggi martabatnya daripada bahasa Kebangsaan.


Malahan dalam buku-buku "cendera mata" yang diterbitkan sempena hari kebesaran atau hari jadi Bhikkhu tertentu, panggunaan bahasa Kebangsaan amat lemah. Ramai juga guru, pelajar lepasan universiti atau mereka yang mahir bahasa kebangsaan di kalangan orang Siam tetapi tidak dirujuk. Sebagai bumiputera, orang Siam tidak boleh mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. 


Bumiputera Siam tidak boleh terikut-ikut dengan orang Cina atau India. Biarkan mereka dengan cara mereka. Kita orang Siam mesti menghormati bahasa Kebangsaan. Meletakkan bahasa Thai di bawah bahasa Kebangsaan tidak akan merendahkan martabat bahasa ibunda kita. Setiap negara yang berdaulat akan meletakkan bahasa Kebangsaan mereka di atas segala bahasa yang lain. 


Bahasa jiwa bangsa. Penggunaan bahasa yang salah biarpun kecil memberi kesan yang besar. 








7 comments:

Anonymous said...

Bagaimana dgn signboard yg tulisan jawi berada di atas tulisan B.Kebangsaan?
Malaysia ni penuh dgn penghinaan...

Manit Sripradit said...

Kita juga guna istilah Bumiputera Siam kerana ingin membezakan antara orang Siam dan Orang Thai. Tapi penggunaan tulisan di kalangan orang Bumiputera Siam dan orang Thai adalah sama. Dimanakah perbezaannya yang diperjuangkan oleh pemimpin kita selama ini. Saya rasa seperti meludah ke langit, akhirnya menimpa muka sendri.

Anonymous said...

Adakah Masyarakat Siam telah diiktiraf sebagai BUMIPUTRA atau sekadar slogan untuk kepentingan politik sahaja..

pena reformasi said...

Saudara Anon, tulisan Jawi ialah bahasa Melayu juga. Bahasa Melayu sama ada tulisan Jawi atau rumi ialah bahasa Kebangsaan.

Saudara Manit, sebenarnya saya kurang jelas apakah perbezaan antara Bumiputera Siam dengan orang Thai? Adakah orang Thai ini maksudnya orang Thailand?

pena reformasi said...

Bumiputera Siam ialah "mimpi" Senator Boon Som yang diadun bersama citarasa politik kepartian. Bumiputera "syok sendiri" bolehlah kerana pengiktirafannya harus melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Kita harus sedar akan realiti politik "Malaysia boleh" yang semuanya boleh kerana mahu tarik undi.

Ada apa dengan nama Bumiputera? Pemimpin tak boleh mendodoi orang Siam agar terlena dengan nama Bumiputera sedangkan hak-hak yang patut kita perolehi masih jauh panggang dari api.

Anonymous said...

Bumiputera Siam ialah "mimpi" Senator Boon Som yang diadun bersama citarasa politik kepartian. Bumiputera "syok sendiri"

Betul tu...kawe setuju dgn demo KSB...tapi demo sendiri kata siam bumiputera...ayat perenggan akhir demo untuk artikel ini....

Guano terr??

pena reformasi said...

Siam bumiputera yang saya maksudkan ialah Siam sememangnya anak pribumi di sini yang tinggal lebih awal drp orang Melayu. Namun tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan. Nama "Bumiputra Siam" yang diwar-warkan oleh Senator cuma omong kosong kerana hak-hak yang dinikmati Bumiputera Melayu dan Sabah/Sarawak dinafikan.