Saturday, February 18, 2012

Sahabat Sejati: Lautan Api Sama Diharungi!

Anda pernah ditipu oleh sahabat? Jika ada, maknanya anda tidak berbeza dengan saya dan kawan-kawan kita yang lain. Ditipu oleh sahabat perkara normal dalam kehidupan manusia. Sebenarnya dia bukan sahabat sejati. Sahabat palsu, sahabat olok-olok. Sahabat sejati tidak menipu kawannya. Kadang-kadang kita terkeliru antara sahabat dengan kenalan. Kenalan tidak terikat dengan nilai persahabatan. 


Sahabat biar ramai, musuh jangan dicari. Sahabat ada pelbagai jenis. Ada sahabat tulen, sahabat palsu, sahabat kedai kopi, sahabat teguk todi, sahabat meja judi, sahabat parasit dan sebagainya. Sahabat sejati sukar dicari. Jikalau ada seorang dua, jagalah baik-baik. Seorang dua pun cukup. Presiden Soekarno hanya memerlukan 10 pemuda yang baik untuk menggoncang dunia. 


Sahabat lawannya seteru. Manusia takut kepada seteru. Akan tetapi dalam situasi tertentu sahabat lebih berbahaya daripada seteru. Seteru serang dalam terang.  Senang dielak. Sahabat suka serang dalam gelap. Ada yang gemar gunting dalam lipatan. Sedar-sedar terputus dua. Jarang manusia ditipu oleh musuh. Manusia selalunya tertipu oleh sahabat. Kita percaya kepada sahabat, sebab itulah mudah tertipu. 


Sahabat palsu mudah tertewas oleh dugaan. Apabika kita tersepit sedikit, dia segera menjauhi kita. Apabila kita hilang kerja, dia hilang terus kerana takut kita pinjam duit dia. Apabila berlaku krisis kepentingan, dia memilih keuntungannya daripada kita. Dahulu harta pusaka penguji persaudaraan sejati. Perempuan penguji persahabatan lelaki. Sekarang, politik dan persatuan boleh menilai persahabatan yang tulen. Ada yang hilang sahabat kerana politik dan persatuan. Politik dan persatuan lebih penting daripada nilai persahabatan. 


Dalam agama Buddha sahabat sejati terbahagi kepada 4 jenis, iaitu:


1. Sahabat yang melindungi sahabat. Apabila kita dalam kesusahan, sahabat sejati akan membantu kita. Sahabat sejati juga akan mempertahankan harta sahabatnya. Sewaktu kita dalam bahaya, dia akan menyelamatkan kita. Apabila kita kesuntukan wang dan minta bantuan, dia akan membantu lebih daripada yang kita minta. Kadang-kadang kita menjadi segan dengan kebaikannya. 


2. Sedia berkongsi rahsia. Dia sedia berkongsi rahsia dan masalah dengan kita. Pada masa yang sama, menutup rahsia kita daripada tersebar. Sewaktu terdesak, dia tidak meninggalkan kita. Panas dan sejuk tetap bersama. Bahkan jiwa raga pun rela dikorbankan. Bagi dia, nilai persahabatan lebih daripada segala-galanya.


3. Melakukan perkara yang membawa faedah. Dia akan menasihati atau melarang kita daripada melakukan kejahatan. Apabila kita leka hendak melakukan perkara tidak baik, dia segera menyedarkan kita. Pendek kata, dia sentiasa membawa kita ke jalan baik.


4. Berkongsi  suka dan duka. Apabila kita susah hati, dia pun susah hati. Apabila kita senang hati, dia pun senang hati. Sekiranya ada orang mengata kita, dia akan mempertahankan kita. Dia tidak mahu maruah kita tercalar. Dia menjaga maruah kita seperti menjaga maruah sendiri.


Inilah antara ciri-ciri sahabat yang sejati. Jikalau anda ada sahabat seumpama ini, jagalah persahabatan tersebut dengan baik. Sahabat sejati melangkaui batasan bangsa dan agama. Namun, agama dan budaya adakalanya menyebabkan persahabatan terganggu. 


Setelah kita kenal sahabat yang sejati, kita juga mesti kenal sahabat palsu. 


Sahabat palsu yang tidak berguna terdapat 4 jenis, iaitu:

1. Orang yang hanya tahu ambil semata-mata. Sedikit memberi tetapi mahu balasan yang banyak. Mementingkan diri. Berkawan dengan orang hanya mahu mendapatkan faedah diri. Orang ini umpama lintah darat. Dia baik masa kita bantu dia. Tiba giliran kita, dia menghilangkan diri.

2. Orang yang hanya pandai cakap, tetapi tidak pandai buat. Buat sikit, cakapnya berbukit-bukit. Suka ungkit benda yang telah lepas. Gemar cakap benda yang belum terjadi. Faedahnya sama sekali tiada.

3. Orang yang tiada pendirian. Orang buat jahat dia ikut. Orang buat baik dia ikut. Sikapnya umpama lalang ditiup angin. Depan dia puji. Belakang dia kutuk. Orang begini suka bermuka-muka. 

4. Orang yang mengajak ke jalan jahat. Mengajak minum arak (dadah), berjalan malam (berfoya-foya), main judi dan lalai dengan permainan lain. Pendek kata, dia hanya tahu mengajak orang ke jalan yang tidak baik. 


Sahabat palsu hanya membawa kita ke jalan jahanam.

No comments: