Saturday, February 25, 2012

Si Taksub Dhammakaya Itu Jahil!

Sekiranya anda baca beberapa tulisan saya sebelum ini, anda akan tahu bahawa saya tidak anti Dhammakaya. Malahan saya berpandangan positif terhadap cara mereka membangunkan agama, memajukan pendidikan Dhamma, menguruskan wat, menarik masyarakat masuk wat dan mengendalikan majlis kebesaran agama. Mereka kelihatan profesional. Pandangan positif ini lahir apabila saya membuat perbandingan dengan wat-wat di tempat kita yang begitu pasif, lemah dan lesu dalam pembangunan agama. Disiplin Bhikkhu juga berada pada tahap rendah sehingga sukar untuk mengangkat tangan memberi sembah hormat.

Namun, tajuk tulisan ini nampak seperti bercanggah dengan pendirian saya? Saya hanya mempunyai pandangan positif, tetapi saya tidak taksub. Bahkan Dhamma yang menjadi teras Dhammakaya bahawa Nibbana itu Atta (Self, Ego, Personality) tidak saya setujui. Saya tetap yakin bahawa Nibbana ialah Anatta (Non-self, Non-ego, egolessness, impersonality) sebagaimana yang terkandung dalam Trilaksana "Sabbe Dhamma Anatta" (Semua Dhamma ialah Anatta).

Tulisan ini tidak fokus pada diri saya, sebaliknya ingin berkongsi pendirian orang lain yang taksub kepada Dhammakaya. Orang lain ini pernah jadi Bhikkhu beberapa tahun di Kelantan. Apabila Dhammakaya muncul, dia terus melekat pada Dhammakaya. Itu hak dia. Dia boleh memilih untuk mengikut mana-mana aliran yang sesuai dengan citarasa dan carita.

Cuma yang tersilapnya, dia begitu taksub atau fanatik dengan Dhammakaya. Penganut agama Buddha tidak seharusnya taksub kepada mana-mana mazhab, aliran, guru atau individu. Apabila taksub, kita tidak mungkin dapat melihat kebenaran hakiki (Paramattha Sacca). Buddha mengajar kita mengikut jalan tengah. Orang yang mengikut jalan tengah tidak akan taksub.

Kenapa saya kata dia taksub? Kerana dia mencanang ke sana-sini bahawa: "Jikalau kita mahu mencapai kejayaan dalam Patibat Dhamma, kita mesti pergi ke Wat Dhammakai sahaja. Hanya Wat Dhammakai boleh memberi kita kejayaan."

Ke mana sahaja dia pergi, ke kedai kopi atau kedai nasi lemak, apabila berjumpa kawan-kawan dan bersembang tentang agama, itulah pernyataan yang dikeluarkannya. Dia cuma terima Wat Dhammakaya, menolak wat-wat lain. Dia tidak sedar bahawa masa dia memuji Wat Dhammakaya, dia juga sedang menghina wat-wat Buddha yang lain. Tidak baik. Masih banyak wat di Thailand yang lebih hebat daripada Wat Dhammakaya. Masih ramai Bhikkhu di Thailand lebih baik daripada Phra Dhamma Chaiyo.

Inilah kesan ketaksubannya. Kerana taksub dia kesesatan. Dia menolak realiti bahawa wat-wat lain juga mampu memberi kejayaan kepada pengamal Dhamma. Dia terlupa bahawa Dhammakaya lahir tidak lama berbanding dengan wat-wat lain yang berusia ratusan tahun. Adakah sebelum kelahiran Dhammakaya, tiada pengamal Dhamma; pengamal Vipassana mencapai kejayaan sebagai Ariya mahupun Arahant? Achan Mun, Kru Ba Sri Vichai, Achan Cha, Achan Buddhadasa, Phra Dhammapitaka dan lain-lain mencapai kejayaan Dhamma dari wat mana? Tentulah bukan dari Wat Dhammakaya.

Jadi, dakwaan si taksub ini bahawa jika mahu mencapai kejayaan dalam Patibat Dhamma mesti pergi Wat Dhammakaya sahaja tidak benar. Wat Suan Mokkh, Wat Pa Nanachat, Wat Mahathat, Wat Kow Tham Ko Pangan, Wat Sri Bun Reung (Bhikkhu Dr. Apisit) dan lain-lain pun mampu memberi Vimutti kepada pengamal Dhamma.

Selain Luang Phor Sod Wat Paknum, pengasas aliran Dhammakaya, saya belum nampak ada mana-mana Bhikkhu atau individu daripada kumpulan Dhammakaya yang layak dipanggil Ariya. Sedangkan wat-wat lain di Thailand, terutama wat aliran Vipassana telah melahirkan ramai Ariya. Saya tidak menafikan bahawa Bhikkhu daripada Wat Dhammakaya prihatin dengan masyarakat dan rajin menyebarkan Dhamma. Akan tetapi keprihatinan dan kerajinan dengan Ariya dua perkara yang berbeza.

Bhikkhu Wat Dhammakaya dan para pengikutnya sangat berdisiplin. Dalam majlis yang besar, puluhan ribu orang berkumpul, tetapi bunyi jarum terjatuh ke lantai boleh didengar. Mereka berkumpul dalam diam. Ini memerlukan disiplin yang tinggi. Wat-wat tempat kita, guruh berdentum pun tidak didengar kerana bising orang lebih kuat daripada bunyi guruh.

Kerana disiplin yang tinggi pengikutnya, tidak bermakna bahawa hanya di Wat Dhammakaya sahaja seseorang boleh mengecapi kejayaan dalam mengamalkan Dhamma. Jangan kerana terpegun dengan disiplin Bhikkhu dan pengikut Dhammakaya, kita lalu menjadi taksub dan menafikan keupayaan wat-wat Buddha yang lain. Disiplin yang tinggi memang diperlukan dalam patibat Dhamma. Wat Achan Cha, misalnya, juga menekankan disiplin yang tinggi. Pengamal Dhamma yang pergi ke sana mesti mengikut jadual yang ditetapkan.

Mengkagumi kejayaan Wat Dhammakaya tidak salah, tetapi jangan sampai menafikan keupayaan wat-wat lain. Pergi patibat Dhamma di Wat Dhammakaya digalakkan kerana lebih baik daripada duduk membuang masa. Namun, wat-wat lain pun ada menyediakan program patibat Dhamma yang boleh diikuti jika berminat.

Saya ingin tekankan di sini bahawa penganut agama Buddha tidak boleh taksub. Orang yang taksub umpama orang yang telah ditutup mata hatinya. Dia menolak semua benda, kecuali pegangannya. Bagaimana seandainya pegangan tersebut salah?

Penganut agama Buddha seharusnya memahami konsep Trilaksana dengan baik. Orang yang memahami Trilaksana tidak akan jadi fanatik. Saya yakin si fanatik Dhammakaya ini jahil tentang Trilaksana biarpun bertahun-tahun jadi Bhikkhu.

Semua wat yang mengajar Dhamma, mempunyai program patibat Dhamma, Samadhi atau Vipassana, mampu menjana kejayaan kepada pengamal Dhamma. Kejayaan tersebut bergantung pada diri sendiri. Wat atau Achan cuma memberi panduan. Buddha pernah berkata bahawa Baginda cuma menunjukkan jalan, sama ada umat manusia mahu ikut atau tidak terpulang kepada diri masing-masing.

















1 comment:

Anonymous said...

Halo sebenarnya aku org Thai dan org amaga Buddha. Wat Dhammakaya lagi membuat banyak masalah utk org Thailand apalagi semua bhante di wat kecil tidak mendapat makanan sekarang karena Dhammakaya brainwash org kampung yg biasanya kasih makanan kepada bhante di vihara kecil. Dhammakaya bohong bilang kepada org biasa, bila mereka kasih uang mereka dapat karma (punna) yg bagus. Inilah bukan dhammanya Acariya Buddha kita. Sayang sekali sekarang banyak org percaya Dhammakaya. Dhammakaya ini seperti korporasi besar yg mencurang org biasa dan ada korupsi. Aku harap semua anda yg membaca koment dari aku dapet tahu "the truth", aku minta semua anda ikuti dhamma Buddha tetapi jangan ikut Dhammakaya, mereka bukan bhante atau Wat yang baik. Buddham saranam gacami, anumodhana sathu krub. Sawadeekub dan aku harap semua anda sukses dan bahagia. Sadhu