Monday, February 27, 2012

Yoniso-manasikara: Teknik Berfikir Buddha

Istilah Vipassana berasal daripada Vi (viset/istimewa) + Passana (pemahaman, penglihatan). Maka Vipassana bermaksud pemahaman atau penglihatan yang istimewa. Apakah pemahaman atau penglihatan yang istimewa? 

Penglihatan atau pemahaman yang istimewa ialah  penglihatan atau yang terang dan jelas mengikut kebenaran hakiki yang terkandung dalam alam semesta, khususnya perihal Dukkha dan jalan-jalan menghapuskan Dukkha; bukannya mengikut pandangan sendiri, kepercayaan yang diwarisi atau teori-teori tertentu.

Daripada keterangan ini, jelaslah bahawa Vipassana bukan sembarangan. Vipassana mesti melibatkan pemaham dan penglihatan (mata hati) yang terang dan jelas tentang kebenaran hakiki (Paramattha Sacca). Kebenaran hakiki ini tidak dicipta, tetapi wujud bersama alam semesta (Dhammachat). Kebenaran ini diketemukan oleh Buddha lalu dihebahkan kepada umat manusia. Bagi umat manusia yang mahu melihatnya, mereka mesti mengamalkan Vipassana. Tiada kaedah lain untuk melihat kebenaran hakiki selain Vipassana.

Keupayaan memahami kebenaran hakiki atau Trilaksana memerlukan kebijaksanaan yang tinggi.  Pemahaman ini mampu menghapuskan Dukkha, kesesatan dan memperbetulkan tanggapan salah terhadap Sangkhara. Jadi, Vipassana merupakan proses menjana kebijaksanaan pada tahap tinggi. 

Vipassana boleh dilakukan bila-bila masa sahaja apabila fikiran tenang. Fikiran yang kecamuk tidak mungkin dapat melakukan Vipassana. Sekiranya fikiran berkecamuk, tidak tenang kerana gangguan tertentu, kita mesti   melakukan Samatha Samadhi terlebih dahulu. Samatha Samadhi boleh membantu menenangkan fikiran. Setelah fikiran tenang, barulah kita melanjutkan Vipassana, iaitu mengambil mana-mana Dhamma untuk difikirkan dengan teliti berdasarkan fatka-fakta atau alasan-alasan yang munasabah. Vipassana bukan sekadar "kata-kata yang menghafal sesuatu" sahaja.

Berfikir sewaktu melakukan Vipassana dipanggil Pavana. Pavana ialah berfikir tentang Dhamma (sesuatu perkara) yang wujud di minda kita dengan bijak dan teliti. Kaedah atau teknik berfikir begini dinamakan Yoniso-manasikara. Pavana memerlukan kegigihan dan ketabahan yang harus dilakukan setiap masa sehingga berjaya menemukan kebenaran.

Yoniso-manasikara ialah kemahiran menggunakan fikiran dengan betul, iaitu berfikir secara teliti bermula dari akar umbi, pokok, dahan, ranting dan sebagainya. Maksudnya setiap perkara dipertimbangkan dengan bijak; dilihat sudut positif dan negatif; baik dan buruk; diambil kira hetu dan paccaya; atau dipecah-pecahkan menjadi bahagian-bahagian yang kecil agar mudah dibuat rumusan. Semua ini memerlukan kemahiran dan kebijaksanan, tidak dipengaruhi ditthi, tidak memihak atau bias.

(Manasikara =Attention, mental advertence, reflection. Yoniso-manasikara =Thorough attention or wise consideration.)

Yoniso-manasikara merupakan kaedah atau teknik berfikir cara Buddha.  Baginda tidak nampak teknik fikiran yang lain untuk melihat kebenaran selain Yoniso-manasikara. Penganut agama Buddha seharusnya memahami teknik berfikir ini dengan baik. Teknik ini mampu memberikan hasil yang baik, masuk akal, dipandang tinggi dan diterima intelektual dunia. Tentulah lucu sekiranya orang yang mengaku beragama Buddha - agama menjana kebijaksanaan - tetapi jahil teknik berfikir Yoniso-manasikara.

Dalam sebuah Sutta, Buddha pernah berkata bahawa Baginda tidak nampak apa-apa Dhamma dalam diri yang mempunyai faedah yang besar bagi Bhikkhu yang belum Arahant, melainkan Yoniso-manasikara. Bhikkhu yang mempunyai (mengamalkan) Yoniso-manasikara mampu menghapuskan kejahatan (Akusala) dan mewujudkan kebaikan (Kusala). Baginda tidak nampak apa-apa Dhamma dalam diri seseorang yang menjadi punca melahirkan Samma Ditthi yang belum lahir dan menyuburkan Samma Ditthi (Pandangan yang Betul) yang telah lahir, selain Yoniso-manasikara. Baginda tidak nampak apa-apa Dhamma yang mampu menyekat Vicikicca (keraguan tentang kebenaran) yang belum wujud dan menghapuskan Vicikicca yang telah wujud selain Yoniso-manasikara. Baginda mengatakan bahawa Yoniso-manasikara membawa faedah yang besar kerana mampu memelihara kebenaran. (องฺ.เอก. ๒๐/๖๐/๑๓,๑๘๖/๔๑)

Yoniso-manasikara bukan sahaja digunakan dalam Pavana atau Vipassana semata-mata, bahkan harus digunakan setiap kali kita ingin membuat keputusan tentang sesuatu. Teknik ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan kesilapan. 

No comments: