Saturday, March 31, 2012

Alacchi Penyesat Umat

"Bhikkhu palsu" atau "Bhikkhu luar tradisi" ialah individu (atau kumpulan) berjubah kuning yang menggelar diri sebagai Bhikkhu (Sangha) tetapi berbuat perkara yang tidak wajar dibuat oleh orang yang bernama Bhikkhu atau Sangha, contohnya memberi nombor ekor, menilik nasib, buat ubat guna-guna, minyak pengasih, bermain perempuan, ada perempuan simpanan atau isteri dan sebagainya. Bhikkhu ini pada asalnya mereka jadi Bhikkhu secara sah, tetapi perlakuan dan perbuatan mereka berubah mengikut Kilesa. Permasalah "Bhikkhu palsu" ini berlarutan sejak zaman Buddha hingga sekarang tidak pernah habis. Bhikkhu begini dipanggil Alacchi.

Dalam Kamus Agama Buddha (P.A Payutto) memberi makna Alacchi sebagai "individu yang tidak tahu malu" atau "individu muka tebal". 

Pada zaman pemerintahan Raja Rama 1, telah digubal peraturan yang bernama Peraturan Sangha bagi membersihkan golongan Alacchi yang merosakkan agama Buddha.  Dalam Peraturan Sangha artikel ke-6 berbunyi: "... Bhikkhu hari ini jadi Bhikkhu tetapi tidak mengamalkan Dhamma-vinai. Menyara hidup dengan cara yang salah. Tubuh badan subur bagai lembu dan kerbau. Hanya tahu makan untuk menyuburkan tubuh. Menyuburkan kebijaksanaan tidak ada langsung.  Jadi Bhikkhu-Samanera yang tidak berguna dalam agama Buddha. Manakala orang ramai (kaum Buddhis) pun tiada kebijaksanaan. Mereka tidak sedar bahawa membuat dana (menyara Bhikkhu) begini tiada faedah sama sekali. Malah ada yang memberi wang yang merupakan sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Bhikkhu pula tamak, kumpul kekayaan dan menjalani hidup menyalahi peraturan Bhikkhu. Orang ramai yang menyara Bhikkhu begini umpama memberi kekuatan kepada perompak yang merompak agama Buddha. Dana yang diberi (orang ramai) itu tiada berfaedah, melainkan menjadi pemusnah agama Buddha."

Peraturan Sangha yang dilaksanakan tidak berapa berkesan kerana masyarakat sendiri telah menjadi sebahagian daripada "Alacchi". Walaupun hukuman rotan digunakan ke atas Alacchi yang keterlaluan sikapnya, namun masih tidak memberi kesan seperti dikehendaki. (Sekarang hukuman rotan telah dihentikan). Walau bagaimanapun Peraturan Sangha sedikit sebanyak dapat menjaga Sangha daripada barah Alacchi.

Pada zaman Buddha dahulu terdapat 2 Bhikkhu Alacchi yang terkenal iaitu Bhikkhu Assachi dan Bhikkhu Punappasuka. Kedua-dua Bhikkhu ini mempunyai pengikut yang ramai. Kesemuanya Alacchi. Mereka begitu berpengaruh di suatu pedalaman yang merupakan tempat kelahiran mereka. 

Antara perbuatan golongan Bhikkhu Alacchi termasuklah:

1. Tanam pokok, tanam bunga, petik bunga, gubah bunga, buat kalungan bunga, hadiah bunga kepada perempuan, minta orang hantar bunga dan adakala hantar sendiri kepada perempuan.

2. Minum mabuk, makan malam.

3. Berhiburan, memikat perempuan, menari dengan perempuan.

4. Tidur berkongi bilik dan berhimpit-himpit sesama rakan Bhikkhu.

5. Tidur bersama perempuan.

6. Belajar memanah, menunggang kuda dan bermain senjata.

7. Masa pergi "bindabat", Bhikkhu Alacchi kelihatan mesra, bertegur sapa dan bersembang-sembang dengan penduduk.


Banyak lagi kerenah Alacchi yang bertentangan dengan moral Bhikkhu tulen.

Cara hidup Alacchi biarpun bertentangan dengan moral Bhikkhu tulen, namun kerana telah biasa, penduduk terima sebagai cara hidup yang betul.

Pada suatu hari ada seorang Bhikkhu tulen dalam perjalanan hendak menziarahi Buddha di Kota Savatthi, telah melalui perkampungan Bhikkhu Alacchi dan "bindabat" di situ. Tiada seorang penduduk pun yang sudi memberi makanan. Mereka tidak suka kerana penampilan sopan dan tertib Bhikkhu tersebut berbeza dengan Bhikkhu Alacchi yang kasar dan liar. Mujur ada seorang wanita yang tahu Dhamma lalu di situ dan menjemput Bhikkhu itu bersantap di rumahnya. Wanita tersebut mohon Bhikkhu itu mempersembahkan kepada Buddha tentang golongan Bhikkhu Alacchi yang berkelakuan tidak senonoh berleluasa di daerah tersebut.

Buddha mengkritik perbuatan Bhikkhu Alacchi dan mengeluarkan ketetapan baru. Bhikkhu yang mencemarkan nama Sangha dengan membiarkan diri dipergunakan atau diperalatkan oleh penduduk dan mempunyai perlakuan tidak senonoh, Sangha boleh menegur dan menghalau keluar dari kawasan berkenaan. Sekiranya Bhikkhu Alacchi tidak mempedulikan arahan Sangha, maka Sangha boleh "membuat pengisytiharan" sebanyak 3 kali agar Bhikkhu Alacchi meninggalkan perbuatan tidak senonoh. Jikalau masih berdegil lagi, Bhikkhu Alacchi kena hukuman Sanghadisesa.

Masalah Bhikkhu Alacchi mencapai kemuncak selepas kemangkatan Buddha. Dalam zaman pemerintahan Maharaja Asoka, dikatakan terdapat 60,000 Bhikkhu Alacchi dipaksa tinggalkan kehidupan Bhikkhu (la sikkha).

Lihatlah betapa buruknya pengaruh perlakuan Bhikkhu Alacchi ke atas penduduk. Oleh sebab sudah biasa dengan perbuatan tidak bermoral Bhikkhu Alacchi, penduduk menganggap perlakuan tersebut sebagai betul. Apabila ada Bhikkhu tulen datang, penduduk tidak layan kerana menganggapnya tidak betul. Perkara begini juga berlaku di tempat kita. Mungkin perlakuannya berbeza sedikit dengan Alacchi dahulu kerana perbezaan masa, tempat dan persekitaran yang lebih moden.

Oleh sebab kita telah biasa dengan perbuatan yang salah, apabila ternampak perbuatan yang betul, kita tidak boleh terima; kita ingat salah. Masalah ini menjadi semakin rumit apabila perbuatan salah ini telah dibiasakan kepada kita sejak turun-temurun. Mengubah perkara yang salah kepada yang betul amat payah. Sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan akan ditentang penduduk.

Buddhadasa Bhikkhu pernah dikritik hebat apabila beliau menganjurkan reformasi Dhamma. Bahkan beliau pernah dilabel komunis. Luang Phor Panyananta juga pernah dikutuk orang kampung kerana pendekatan Dhamma beliau yang tegas. Acarn Cha dituduh kolot kerana membawa batil ke majlis penganugerahan pangkat di Bangkok. Kru Ba Sri Vi Chai pernah dituduh pembelot negara. Luang Phor Sod, Wat Pak Nam pernah ditembak tetapi tidak kena kerana dituduh menyesatkan umat. Than Bun, Wat Bangsek pernah digelar gila oleh sahabat Bhikkhu kerana mendekati golongan muda. Ini sekadar beberapa contoh halangan yang ditempuhi reformis agama Buddha bagi "memperbetulkan keadaan yang salah" sekian lama.

Namun, tanpa golongan reformis yang berani ini, sudah lama agama Buddha dikuasai golongan Bhikkhu Alacchi. Alacchi boleh menyesatkan penganut yang lemah pengetahuan Dhamma.




1 comment:

Anonymous said...

alacchi ada merata tempat.