Sunday, March 11, 2012

Atta - Anatta Dan Atta - Niratta

Dalam Suttanibat, terdapat beberapa penegasan daripada Buddha berkenaan Phra Arahant, antara ialah Phra  Arahant merupakan individu yang telah mencapai matlamat kehidupan yang mulia; individu yang mempunyai amalan yang betul iaitu tiada Atta dan Niratta (atau Attang dan Nirattang). Maksudnya Arahant merupakan individu yang tiada Atta dan tanpa Atta atau tiada Diri dan tanpa Diri.

Kitab Mahanithed menghuraikan bahawa "Atta" atau "Attang" ialah (1) Atta Ditthi iaitu pandangan atau kepercayaan bahawa ada Diri (Personality-Belief); (2) Sassata Ditthi iaitu pandangan atau kepercayaan bahawa ada Diri yang abadi selama-lamanya; (3) Niratti atau Nirattang iaitu Ucchet Ditthi iaitu pandangan atau kepercayaan tentang Diri yang lenyap (Diri hanya wujud masa hidup, tetapi selepas mati tiada apa yang tinggal sama sekali; lenyap terus).

Dalam huraian yang lain, "Atta" atau "Attang" merupakan perkara/benda yang "dipegang", manakala "Niratta atau "Nirattang" meruapakan perkara/benda yang mesti "dilepaskan" (ditinggalkan).

Daripada huraian di atas, dapat dikatakan bahawa Phra Arahant ialah individu yang mempunyai amalan yang betul; individu bijak yang telah mempunyai pemahaman yang betul; tiada pegangan tentang Atta (Diri) dan tentang tanpa Atta (Diri yang lenyap); tiada benda yang dipegang dan tiada benda yang mesti dilepaskan (ditinggalkan).

Kitab Mahanithed memberi huraian lanjut bahawa individu yang ada benda yang mesti dilepaskan, maka individu tersebut ada benda yang dipegangnya. Sedangkan Phra Arhant telah bebas daripada benda yang dipegang dan benda yang mesti dilepaskan.

Pemahaman tentang "Atta" dan "Niratta" seperti huraian di atas sangat penting bagi memahami maksud "Anatta" yang sebenar.

Lazimnya, orang biasa mempunyai "pegangan" (upadana) dalam Diri (Atta) dengan begitu kuat. Pada peringkat kasar, berpegang pada rupa atau tubuh badan sebagai Diri.

Apabila fikiran semakin meningkat, tubuh badan bukan Diri yang sebenar kerana selalu berubah dan tidak kekal, maka "pegangan" beralih kepada Citta  (minda) atau rohaniah dan sifat-sifat yang berkaitan rohaniah seperti perasaan, emosi, daya ingatan, daya fikiran, keupayaan mengenal objek dan sebagainya.

Dalam maksud lain, manusia "berpegang" pada mana-mana bahagian dalam Khandha 5 sebagai Diri atau mungkin "berpegang" pada kesemuanya sekali iaitu rohani dan jasmani sebagai Diri. (Khandha 5 = Rupa, Vedana, Sanya, Sankhara dan Vinyan). Penganut agama Buddha, terutama orang Thai selalu menganggap Vinyan sebagai Diri yang disamakan dengan roh/soul. (Dalam agama Buddha, vinyan ialah keupayaan indera mengenal objek luaran. Tiada kaitan dengan roh atau semangat).

Apabila fikiran meningkat semakin tinggi, pegangan (kepercayaan) manusia berubah lagi. Manusia merasakan Khandha 5 (rohani dan jasmani) bukan Diri yang sebenar kerana Diri yang sebenar berada di tempat lain. Diri inilah yang menguasai atau melindungi Khandha 5. Maka para bijaksana atau pemikir bertungkus-lumus mencari Diri di luar tersebut. Akhirnya ada antara pemikir ini mendakwa telah berjaya menemui Diri yang dimaksudkan. Mereka menggelarkan Diri yang dianggap Diri tertinggi itu sebagai Paramatman, Brahma, Maha Kuasa, Maha Pencipta, Tuhan dan sebagainya.

Para pemikir ini mempunyai pengetahuan dan daya fikiran yang tinggi mengatasi orang biasa. Kepercayaan tentang Tuhan begitu mengagumkan dan sukar untuk dinafikan oleh orang biasa. Ini kerana daya fikiran orang biasa begitu rendah berbanding daya fikiran golongan pemikir ini. Mereka ini pemikir agung yang berupaya mempengaruhi fikiran orang lain.

Namun, betapa tinggi tahap fikirannya, betapa hebat kepercayaannya, selagi masih berkonsepkan Diri, maka kepercayaan itu bukan kebenaran sejati (Paramattha-Dhamma) atau kebenaran tertinggi. Kebenaran yang masih berkonsepkan Diri tidak boleh jadi kebenaran sejati kerana masih dikuasai oleh "pegangan" (upadana). Kebenaran sejati atau kebenaran tertinggi tiada Diri dan bebas daripada segala "pegangan".

Kebenaran sejati ada, tetapi golongan pemikir yang mencarinya tidak menjumpainya kerana mereka terbawa-bawa dengan kepercayaan lama. Mereka mencari kebenaran tertinggi tetapi tidak meninggalkan kebenaran sammutti yang pernah menjadi pegangan sebelum ini. Sebelum ini mereka percaya bahawa Khandha 5 ialah Diri, tetapi sampai satu tahap mereka menolaknya lalu mencari kebenaran yang lebih tinggi. Dalam usaha mencari kebenaran yang lebih tinggi, konsep lama tentang Diri tidak ditinggalkan lalu mereka jumpa Diri yang lain yang juga bukan kebenaran sejati.

Dua perkara yang dibawa bersama dalam usaha mencari kebenaran tertinggi ialah:

1. Konsep berkaitan Atta. Konsep Atta yang difahami sejak dahulu terbawa-bawa dalam pencarian golongan pemikir menyebabkan apa yang mereka jumpa bukan kebenaran tertinggi. (Mereka mendakwa telah jumpa kebenaran tertinggi, tetapi hakikatnya bukan).

2. Pegangan (Upadana). Pegangan terhadap konsep Atta dijadikan panduan mencari kebenaran tertinggi. Inilah kesilapannya. Akibatnya golongan pemikir tidak dapat melihat kebenaran tertinggi yang dicari dengan sempurna.

Golongan pemikir bukan tidak berupaya menjumpai kebenaran tertinggi. Akan tetapi mereka telah menutup kebenaran tertinggi dengan Atta dan Upadana yang menjadi kepercayaan sebelumnya. Dalam maksud lain, kerana begitu lama mempercayai konsep Atta dan melekat dengan konsep tersebut menyebabkan fikiran mereka terbelenggu dan tidak bebas. Mereka membuat tafsiran yang silap dan salah terhadap kebenaran tertinggi. Akibatnya, satu Atta dilepaskan, tetapi berpegang pada Atta yang lain.

Kebenaran tertinggi bersifat Asankhata Dhamma. Asankhata Dhamma boleh diketahui dengan sempurna selepas bebas daripada Sankhata Dhamma. Maksudnya Asankhata Dhamma merupakan kebenaran tertinggi yang boleh diketahui selepas seseorang berjaya membebaskan diri daripada pegangan terhadap konsep Diri.

Atta atau Diri hanya sammutti atau kelaziman yang dicipta manusia, bukan kebenaran sejati. Lawan kepada sammutti ialah paramattha. Untuk sampai kepada paramattha, seseorang mesti bebas daripada sammutti.

Punca kepada kesilapan (kesesatan) mentafsir kebenaran tertinggi ialah konsep Atta dan pegangan (kepercayaan) terhadap konsep tersebut. Atta sebenarnya tiada, cuma tanggapan yang dibuat manusia semata-mata dan dipercayai sebagai benar.

Diri merupakan satu konsep untuk memudahkan interaksi manusia. Apabila kita telah ketahuinya, kita tidak perlu melekat padanya, maka Diri tidak membawa masalah kepada kita. Sekiranya kita pernah yakin bahawa Diri ialah kebenaran sejati, maka kita perlu meninggalkannya. Kita tidak perlu mempedulikannya. Selain itu, kita juga tidak perlu mencari Diri yang lain yang berada di luar tubuh badan kita.

Kebenaran sejati, kebenaran hakiki tiada kaitan dengan Diri. Konsep Diri yang kekal abadi dan tidak berubah-ubah bercanggah dengan Nirvana. Apabila Diri kekal abadi, bagaimana kita boleh melepaskan Khandha 5 daripada kesengsaraan? Jikalau Khandha 5 ialah Diri yang kekal (lawan dengan Anicca), apabila Khanda 5 terjerumus ke dalam kejahatan, maka Khandha 5 tidak mungkin boleh menjadi baik kerana ia "kekal" sebagai jahat mengikut konsepnya yang kekal abadi.

Oleh sebab tiada Diri yang kekal abadi (yang ada cuma Diri dalam sammutti), maka Vtta Samsara boleh berlaku. Setiap manusia yang ada Karma akan mengalami proses "kelahiran semula" berulang kali sehingga Arahant. Proses ini, mengikut kepercayaan agama Buddha, melibatkan beberapa alam iaitu alam manusia, alam haiwan (dunia), alam dewa (syurga) dan alam petta/aveci (neraka). Manusia berubah-ubah mengikut Karma. Perubahan ini ialah bukti bahawa tiada Diri yang kekal abadi. Sekiranya ada Diri (atta) yang kekal abadi, mustahil pusingan hidup atau vatta samsara boleh berlaku.

Kebenaran tahap sammutti, konsep Diri (Atta) diterima pakai untuk memudahkan interaksi manusia. Manakala kebenaran tahap tertinggi (paramattha sacca) konsep Diri (Atta) tiada kerana yang ada ialah Anatta(bukan Diri).

Kebenaran tentang Anatta bukan mudah difahami kerana kita telah dibiasakan dengan konsep Diri. "Aku" dan 'kamu" merupakan bayangan yang menutupi mata kita daripada melihat Anatta. Anatta dapat difahami mengikut tahap fikiran seseorang. Namun, untuk memahami sepenuhnya dengan sempurna, memerlukan tahap fikiran yang luar biasa iaitu tahap Arahant.

(Tulisan ini berdasarkan buku "Trailaksana" Phra Dhammapitaka P.A Payutto)












No comments: