Sunday, March 25, 2012

Dana: Mencantikkan Hati!

Orang berkata dana (Thai: than) ialah jalan datangnya kekayaan. Maksudnya membuat dana boleh membikin seseorang itu menjadi kaya. Bhikkhu atau wat selalu mempromosikan "Dana sebagai jalan kekayaan" untuk menarik orang ramai membuat dana di wat berkenaan.

Jika begitu, Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun negara yang kuat membuat dana sebab itulah mereka kaya? Golongan Yahudi ramai yang kaya di dunia. Di Malaysia orang Cina kaya. Adakah mereka kaya kerana kuat membuat dana?

Orang yang miskin yang mengharapkan bantuan orang lain ialah orang yang tidak membuat dana?

Rasionalnya bagaimana orang miskin mahu membuat dana kerana mereka sendiri makan pun tidak cukup. Orang kaya mempunyai harta bertimbun, mereka boleh membuat dana sebanyak yang mereka suka.

Jadi, dana jalan datangnya kekayaan atau kekayaan yang mendorong membuat dana? Mungkin kedua-duanya betul.

Namun, orang tua-tua selalu berkata: "Orang yang kaya-raya kerana pada kehidupan yang lepas mereka banyak membuat dana (Dana-Parami)." Maksudnya orang yang kaya hari ini, misalnya Tan Sri Lim Goh Tong jadi kaya kerana dalam kehidupan yang lepas, dia  banyak membuat dana? Manakala orang yang banyak membuat dana hari ini, misalnya Tan Sri Lee Kim Yew akan jadi orang sangat kaya pada kehidupan akan datang? Hakikatnya kedua-dua tokoh usahawan ternama ini kaya-raya kerana hasil usaha keras. Setelah kaya mereka pun kuat memberi dana (membuat kebajikan sosial).

Sejauh mana benarnya kata-kata orang tua saya tidak pasti. Akan tetapi orang yang suka membuat dana ialah orang yang kaya budi. Tan Sri Lim Goh Tong dan Tan Sri Lee Kim Yew ialah orang yang kaya budi kerana mereka kuat membuat dana. Hanya orang yang kaya budi akan membuat dana. Orang miskin budi tidak akan membuat dana. Orang miskin budi ialah orang yang kedekut. Orang kedekut ini hanya membuat dana apabila dirasakan "ada balasan" tertentu. Dana begini tidak ikhlas kerana dibuat dengan harapan akan terima habuan.

Orang Siam percaya bahawa Sangha ialah "sawah pahala" yang hebat. Maksudnya jikalau mahu mendapat pahala yang banyak, buatlah dana kepada Sangha atau dipanggail Sanghadana. Amerika dan Eropah tiada Sangha. Jepun mungkin ada tetapi tidak ramai. Negara-negara ini kaya-raya. Sri Lanka, Thailand, Laos dan Malaysia ada Sangha, tetapi kekayaan penduduknya tidak boleh lawan negara maju. Malahan ramai yang miskin walaupun membuat Sanghadana (saibat) hampir setiap hari.

Thailand ada Sangha berpuluh ribu. Orang Thai Buddhis pula tambun dan tamthan hampir setiap hari dengan Sangha tetapi tidak kaya. Adakah Sangha yang dikatakan "sawah pahala" dengan Sangha yang kaum Buddhis buat Sanghadana sekarang tidak sama? Jika sama, kenapa orang Thai tidak kaya? Jika tidak sama, kenapa orang Thai masih mahu percaya bahawa Sangha hari ini masih jadi "sawah pahala"? Maka kepercayaan akan berbalik kepada kepercayaan orang-orang tua bahawa berbuat baik (membuat dana) hari ini untuk memetik hasilnya pada kehidupan akan datang?

Kepercayaan begini kedengarannya bercanggah dengan ajaran Buddha. Buddha mengajar kita mencapai hasil yang baik hari ini, di sini dan pada masa ini. Buddha mengajar kita mengamalkan Dhamma untuk mencapai pembebasan minda pada hari ini (kehidupan sekarang). Buddha tidak pernah mengajar kita Vipassana untuk mencapai pembebasan minda pada kehidupan yang lain. Cuma sekiranya kita tidak berjaya mencapai dalam kehidupan sekarang, kita boleh sambung pada kehidupan lain. Misalnya, Anagami yang tidak sempat Arahant dalam kehidupan sekarang, tetapi akan Arahant dalam kehidupan selepas mati, mungkin di Rupa-Brahma Bhumi atau di Arupa-Brahma Bhumi. Namun, pokoknya, Buddha menekankan kehidupan sekarang - buat baik sekarang untuk menikmati hasilnya sekarang juga.

Berbalik kepada negara atau individu yang kaya-raya. Mereka berusaha keras dan hasilnya mereka jadi kaya dalam kehidupan sekarang. Oleh itu, berbuat baik jangan memikirkan sangat tentang kehidupan selepas mati. Ada Bhikkhu yang suka mengajar kita berbuat baik untuk bekalan kehidupan selepas mati. Ini ajaran lain, bukan ajaran Buddha. Ajaran Buddha berbuat baik hari ini untuk kehidupan hari ini. Kehidupan selepas mati hanya "hasil" daripada kehidupan hari ini yang tidak perlu difikirkan sangat.

Apabila kita membuat dana kepada masyarakat atau Sanghadana kita harus memikirkan hasil hari ini. Misalnya, apabila kita memberi sedekah kepada fakir miskin kita mesti pastikan bahawa sedekah tersebut mampu meringankan sedikit sebanyak keperitan hidupnya. Kita membuat Sanghadana juga harus memikirkan faedah hari ini iaitu dengan dana kita Sangha dapat meneruskan kehidupan, mengamalkan Dhamma-vinai dan mengajar masyarakat tentang ajaran Buddha.

Dana bermaksud memberi (sedekah) dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan sebarang balasan. Namun, apabila kita membuat dana (sedekah) biarpun tanpa mengharapkan balasan, kita tetap akan mendapat pahala. Pahala ini menyumbang kepada corak kehidupan kita.

Dana merupakan satu daripada 10 cara mendapatkan pahala (Bun kiriya-vatthu 10).  Oleh sebab itulah ramai yang terkeliru antara Dana (than) dan Bun. Ini berpunca daripada kelaziman kita apabila memberi benda kepada Bhikkhu atau Sangha, kita panggil "tambun" (buat pahala). Sebaliknya, apabila memberi benda kepada orang biasa atau fakir miskin kita panggil "tamthan" (buat dana).

Hakikatnya, memberi atau menyedekah material (makanan, minuman, pakaian dan lain-lain) tidak kira kepada siapa - Bhikkhu, Sangha, orang biasa, fakir miskin atau orang tua ialah "tamthan" (buat dana) dan semuanya mendapat "bun" (pahala).

Dana terbahagi kepada 4 jenis:

1. Amisa-Dana/Amit-than (memberi material) iaitu memberi material seperti nasi, air, pakaian, kediaman, kenderaan, bunga, pelita, wang dan sebagainya. Amisa-Dana terdapat 3 kategori iaitu:

a) Memberi material yang lebih rendah kualitinya daripada yang kita gunakan mendapat pahala sedikit.
b) Memberi material yang setaraf kualitinya dengan yang kita gunakan mendapat pahala banyak.
c) Memberi material yang lebih tinggi kualitinya daripada yang kita gunakan mendapat pahala lebih banyak.

2. Apaiya-Dana (memberi kemaafan) iaitu memberi kehidupan kepada haiwan (tidak membunuh), melepaskan haiwan peliharaan (hairan kurungan) dan memadamkan kemarahan dan dendam dengan memaafkan musuh kita.

3. Vidya-Dana (memberi ilmu) iaitu memberi atau menyedekah ilmu, memberi tunjuk ajar dan nasihat agar kehidupan menjadi lebih baik.

4. Dhamma-Dana (memberi Dhamma) iaitu memberi pengetahuan Dhamma atau ajaran Buddha. Misalnya, mengajar atau memberi panduan tentang Ariya Sacca 4, dosa dan pahala, cara-cara membersihkan jiwa, kaedah meditasi dan sebagainya yang menyumbang kepada kebersihan perbuatan, pertuturan dan pemikiran. Memberi sedekah Dhamma umpama memberi pelita yang boleh menerangi kehidupan yang gelap. Orang yang hidup dalam Avijja (kejahilan) dan Kilesa (kotoran batin) umpama orang yang hidup dalam kegelapan. Dhamma mampu menghapuskan Avijja dan Kilesa dan menukar kehidupan daripada gelap kepada terang. (Dhamma-Dana menukar orang jahat kepada orang baik; menukar orang baik kepada oang mulia; menukar orang mulia kepada orang suci). Sebab itulah Dhamma-Dana merupakan dana yang paling mulia daripada segala dana.

Dana yang mendapat banyak faedah ialah:

1. Material yang digunakan dalam dana mesti suci - tidak diperolehi dengan cara yang salah atau daripada sumber yang tidak baik.

2. Invividu mesti suci - pemberi dan penerima mesti suci. Suci di sini ialah orang yang bermoral.

3. Matlamat atau niat yang suci - memberi dengan ikhlas dan yakin dengan hasil pemberian.

Memberi kepada kumpulan lebih baik daripada memberi kepada individu. Oleh itulah membuat Sanghadana (kumpulan Bhikkhu) lebih baik daripada seorang Bhikkhu. Memberi kepada seorang Bhikkhu pun boleh tetapi mesti atas nama Sangha. Maknanya barang pemberian tersebut boleh digunakan oleh semua Bhikkhu. Memberi sedekah kepada rumah kebajikan masyarakat lebih baik daripada memberi sedekah kepada seorang individu.

Benda-benda yang tidak patut dijadikan dana


Benda-benda terlarang bukan sahaja tidak mendapat pahala, bahkan membawa musibah kepada pemberi dan penerima. Antara benda yang terlarang ialah arak (minuman yang memabukkan), dadah, hiburan yang melalaikan, haiwan untuk pembiakan, bahan-bahan yang merangsang nafsu, senjata, racun (untuk kegunaan tidak baik) dan bahan-bahan yang membantu membuat kejahatan.

Kaum Buddhis haru beringat. Arak dan hiburan yang melalaikan dan merangsang nafsu tidak baik untuk diberikan kepada orang lain. Dalam masyarakat Siam, kawan mabuk ramai, tetapi kawan menangis kurang. Orang kaya Siam yang berbangga membawa masuk hiburan yang melalaikan dari Thailand untuk dipertontonkan di dalam Wat Buddha yang suci harus beringat. Karma tidak memilih bulu. Apabila tiba masa memberi hasil, tiada siapa dapat menyekat.

Apakah yang terjadi dengan Phor Than yang suka membawa hiburan yang melalaikan ke dalam wat mereka? Kehidupan di akhir hayatnya begitu menyeksakan. Ada yang kena penyakit jantung, penyakit kencing manis atau penyakit angin ahmar. Mungkin orang akan berkata penyakit adalah kerana pemakanan tidak seimbang dan senaman yang kurang. Betul begitu. Akan tetapi faktor Karma tidak harus ditolak ke tepi begitu sahaja. Namun, generasi yang lebih muda tidak pernah mengambil iktibar.

Kebaikan atau faedah (Anisong) daripada memberi dana:

1. Pemberi dana (pemurah hati) disukai orang ramai.

2. Orang ramai suka berkawan dengan pemberi dana.

3. Nama baik pemberi dana akan tersebar jauh (mnegharumkan nama).

4. Apabila mati, pemberi dana akan lahir di Sugati (Syurga).

Membuat atau memberi dana sesuatu yang baik dan hebat. Namun, pemberian itu harus ikhlas tanpa memikirkan balasan. Buddha berkata, matlamat dana yang paling mulia ialah "memberi dana demi untuk mencantikkan hati". Namun, masyarakat Siam mempunyai pelbagai tujuan apabila memberi dana. Ada yang percaya bahawa melalui Sanghadana dapat "menghantar" makanan kepada ibu bapa dan saudara mara yang sudah mati. (Jikalau mengharapkan orang yang hidup "hantar makanan" sebulan sekali atau dua kali, orang yang telah mati entah berapa kali mati kebuluran baru makanan sampai). Ada yang percaya untuk dijadikan sebagai bekalan selepas mati. (Sebelum mati, makanan sudah basi). Ada yang percaya dana perkara yang baik kerana dilakukan sejak turun temurun. (Tidak semua tradisi turun temurun itu baik).

Mencantikkan hati itu apa? Hati yang kedekut datang daripada Kilesa jenis mementingkan diri. Kilesa ini begitu liat. Kilesa jenis tangkai jering. Kilesa ini berpunca daripada sifat mementingkan diri yang tebal (Sakya Ditthi). Orang yang kuat mementingkan diri juga mempunyai sifat tamak yang kuat. Bagaimana masyarakat manusia akan hidup di dunia yang dipenuhi orang yang pentingkan diri dan tamak? Dunia dapat mengecapi kehidupan seperti hari ini kerana ada manusia yang bertimbang rasa, tidak tamak dan sudi berkongsi.

Salah satu cara mengurangkan sifat pentingkan diri dan tamak ialah dengan bersedekah (memberi dana). Orang yang suka bersedekah ialah orang yang berhati mulia dan kaya budi. Orang beginilah yang dikatakan mempunyai hati yang cantik.

Maka matlamat utama memberi dana adalah untuk membaiki hati agar cantik, tidak pentingkan diri, tidak tamak dan sedia berkongsi. Apabila kesemua Kilesa ini bersih daripada hati, maka hatipun suci.

Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima!


   

5 comments:

Anonymous said...

Good job

ThaiSiam said...

Paparan yang begitu baik. Kebanyakkan orang Siam kita masih keliru antara Thamthan dan ThamBun. Juga kebanyakanya dilakukan dengan Bhikkhu atau wat, jarang sekali aktiviti Thamthan org Siam dibuat diluar kawasan Wat atau tanpa Bhikkhu.

Anonymous said...

Than, Sin, Samathi, Panya. Orang Siam lekat dengan Than. Sin sikit-sikit. Samathi sangat kurang. Panya tiada. Sesat ramai. Siam oh Siam.

Anonymous said...

blog hidup segan mati tak mau.

Anonymous said...

tak habis-habis sifat hasad dengki manusia.jika tak suka jangan baca. ksb terbaik... terus menulis tuan.