Friday, March 9, 2012

Dosa Itu Apa?

Sebelum berhias diri agar kelihatan cantik, kita mesti mandi dan cuci badan agar bersih terlebih dahulu. Begitu juga apabila kita hendak membuatkan hati kita segar, ceria, bersih dan suci, kita terlebih dahulu mesti berhenti dan menjauhi dosa.

Dosa itu apa?

Benda yang rosak ada pelbagai nama. Buah yang rosak kita panggil buah buruk (busuk). Makanan yang rosak kita panggil makanan basi. Kereta yang rosak kita panggil kereta mati. Buah buruk, makanan basi dan kereta mati menggambarkan keadaan yang rosak. Keadaan yang rosak bermakna keadaan yang tidak baik, tidak sempurna dan tidak berguna lagi. Buah buruk dan makanan basi terpaksa dibuang. Kereta rosak boleh dibaiki.

Minda atau hati juga ada yang rosak yang boleh dipanggil dengan pelbagai nama. Hati busuk, hati kotor, hasad dengki, dendam, cemburu dan sebagainya merujuk kepada hati yang rosak. Dalam agama Buddha, hati yang rosak atau keadaan hati yang rosak dipanggil "bap" (Pali: Papa). Bap dalam bahasa Melayu ialah dosa.  Jadi, dosa dalam agama Buddha merujuk kepada keadaan minda atau hati yang rosak atau kualiti hati yang rendah. Tidak kira rosak dalam bentuk apa, semua dipanggil dosa (bap). 


Sewaktu baru-baru mendapat Pencerahan Sempurna (Trassaru), Buddha dikunjungi si syaitan yang mohon agar Baginda wafat. Baginda Buddha memanggil si syaitan itu sebagai "Si ada dosa" (phu mi bap) kerana hatinya tidak baik minta Baginda wafat. Jikalau hatinya baik, dia tidak akan minda Buddha wafat. 

Dosa dalam agama lain merujuk kepada perbuatan mengingkari perintah Tuhan. Sedangkan bap dalam agama Buddha merujuk kepada keadaan hati atau minda yang rosak. Kerana minda atau hati rosak, seseorang itu melakukan kejahatan. Minda atau hati yang tidak rosak tidak akan melakukan kejahatan. Maka bap dan dosa sama-sama mendukung kejahatan. Sebab itulah boleh disama-ertikan.

Punca dosa

Punca kepada dosa dalam agama Buddha sangat berbeza dengan agama lain. Agama lain mengajar bahawa dosa terjadi apabila manusia mengingkari perintah Tuhan.

Baginda Buddha melalui Pencerahan Sempurna telah mengenali Kilesa yang merupakan punca kepada dosa dengan betul mengikut kebenarannya. Baginda juga telah mengetahui cara-cara menghapuskan Kilesa dengan baik. Baginda merumuskan punca kepada dosa dengan menarik sekali iaitu:

"Dosa tak ada pada individu yang tak buat dosa."

"Siapa buat dosa, dia berdosa."

"Siapa tak buat dosa, dia suci."

Dosa merupakan hal peribadi yang tidak boleh diwarisi atau dijangkiti. Siapa buat dosa, dia akan mendapat dosa. Siapa tidak buat dosa, dia terlepas daripada dosa. Bapa buat dosa, itu hal bapa. Anak buat dosa, itu hal anak. Kawan buat dosa, itu hal kawan. Buat dosa umpama makan nasi. Bapa makan nasi, bapa kenyang. Anak tidak makan, anak lapar. Mustahil bapa makan nasi, tetapi anak juga kenyang.

Dosa lahir dalam diri individu. Siapa yang buat jahat, dosa akan merosakkan hatinya sedikit demi  sedikit dan lama-lama akan rosak semuanya. Hati yang rosak akan mengundang kesusahan, keperitan dan penderitaan hidup.

Kaedah Cuci Dosa

Kaedah mencuci dosa antara agama Tuhan dengan agama Buddha bagaikan langit dengan bumi. Tuhan mempunyai kuasa muktamad - mengampuni dosa manusia.

Sedangkan, Buddha berkata: "Suci atau tidak seseorang merupakan hal peribadi orang tersebut. Tidak ada kaitan dengan orang lain. Tiada sesiapa boleh membersihkan atau menyucikan dosa-dosa orang lain!" Maksudnya  seseorang itu bersih atau tidak daripada dosa tiada kaitan dengan orang lain. Dosa soal individu yang tiada kaitan dengan orang lain mahupun Tuhan.

Kaedah mencuci dosa dalam agama Buddha mudah sekali.

Contoh, kita masukkan sesudu garam ke dalam gelas dan kacau hingga cair. Cuba rasa.

"Masin!"

Kita ambil air garam dalam gelas dan dituang ke dalam baldi. Cuba rasa.

"Tak berapa masin!"

Kita ambil air dalam baldi dan dituang ke dalam tangki air. Cuba rasa.

"Tawar."

"Garam sudah hilang ke mana?"

"Tidak. Kandungan garam masih ada seperti asal."

"Kenapa tidak masin?"

"Sebab kandungan air bertambah hingga menghilangkan masin garam. Kandungan garam masih ada, tetapi kerana air terlalau banyak, kemasinannya hilang. Keadaan ini dipanggil "ada tetapi seperti tidak ada". Oleh sebab kemasinan hilang, maka boleh sahaja dianggap air itu seperti tiada garam.

Kaedah mencuci dosa dalam agama Buddha ialah kita mesti membuat kebaikan banyak-banyak agar pahala yang terkumpul dapat menghilangkan dosa kita. Namun, kita mesti mematuhi 2 syarat iaitu "berhenti" dan "menjauhi".

"Berhenti" terus daripada membuat dosa yang pernah atau sedang dilakukan. "Menjauhi" dosa yang belum dilakukan.

Bagi sesiapa yang pernah membuat dosa (rasanya semua orang pernah buat dosa, sikit atau banyak) yang telah insaf dan ingin pulang ke pangkal jalan tidak perlu risau. Berbuat baik banyak-banyak, berhenti daripada berbuat jahat yang pernah dibuat dan menjauhi kejahatan yang belum pernah dilakukan, pasti dosa-dosa akan jadi seperti sesudu garam dalam tangki air iaitu "ada seperti tidak ada."

Tiga pintu dosa ialah tubuh (3), mulut (4) dan hati (3).

Dosa atau kejahatan manusia boleh dikawal sepenuhnya jikalau seseorang itu ada minda atau hati yang bersih.   Hati yang menjadi besar dan memberikan arahan kepada anggota tubuh untuk melakukan kejahatan. Hati yang rosak punca kepada kejahatan. Hati yang bersih menyumbang kepada kebaikan. Oleh itu, usaha membersihkan hati sangat mustahak.

Sebelum hati berjaya dibersihkan, kita perlu ada 2 perkara untuk mengawal hati iaitu Hiri dan Ottappa. Hiri ialah malu dan Ottappa ialah takut membuat dosa.





1 comment:

Anonymous said...

terima kasih sangat-sangat kerana setidak-tidaknya dia dapat mencerahkan sedikit minda saya mengenai 'dosa'.