Saturday, March 17, 2012

Dukkha, Siapa Yang Buat?

Orang zaman dahulu, zaman Buddha, mempunyai etika yang tersendiri dalam perhubungan antara aliran atau kepercayaan. Pada masa tersebut, terdapat begitu banyak aliran atau kepercayaan di Magadha. Setiap ketua aliran mahupun pengikutnya tidak bermusuhan seperti hari ini. Jika ada pun mungkin perasaan tidak berpuas hati, tetapi tidak bermusuhan secara terbuka seperti hari ini. Mereka selalu berjumpa, berbincang bagi mencari kebenaran. Aliran atau kepercayaan yang dirasakan betul akan diikuti. Aliran yang dirasakan tidak betul akan ditolak atau ditinggalkan. Ramai pengikut aliran atau kepercayaan lain yang menjadi pengikut Buddha selepas mendengar khutbah Baginda. Bhikkhu Sariputra dan Bhikkhu Mogganlana merupakan dua Paripajaka/Paripachok daripada aliran lain.(Aliran/kepercayaan lain yang bukan agama Buddha dipanggil Diarathi. Sami Diarathi dipanggil Paripajaka).

Menjadi satu kelaziman kepada Buddha pergi ke kediaman aliran atau kepercayaan lain bagi bertukar-tukar pendapat dengan mereka. Di bawah ini dikisahkan bagaimana Buddha pergi ke kediaman golongan Paripajaka Diarathi.

Pada suatu pagi, sewaktu hendak pergi bindabat (pindapata) di Kota Rajagaha, kerana masa masih terlalu pagi, maka Buddha singgah di kediaman golongan Paripajaka.

Seorang Paripajaka bertanya kepada Baginda tentang Dukkha. Paripajaka berkata golongan Brahmana yang mengajar tentang Karma mempunyai ketetapan yang berbeza-beza berkenaan Dukkha. Antaranya ialah: (1) Dukkha merupakan perkara yang dibuat sendiri (berpunca daripada diri sendiri); (2) Dukkha dibuat oleh orang lain (berpunca daripada orang lain): (3) Dukkha dibuat sendiri dan dibuat oleh orang lain; (4) Dukkha bukan dibuat sendiri dan bukan dibuat oleh orang lain, tetapi terjadi dengan sendiri.

Paripajaka ingin tahu apakah ketetapan Buddha tentang perkara ini? Jika mereka ingin berucap tentang Dukkha, ucapan bagaimana dikatakan tidak bercanggah dengan ketetapan Buddha?

Buddha berkata bahawa Dukkha terjadi kerana ada sebab-musabab (Hetu-Paccaya) yang saling berkaitan. Apakah sebab-musabab Dukkha? Phassa ialah sebab-musabab kepada Dukkha. Beginilah ucapan yang tidak bercanggah dengan ketetapan Baginda Buddha. (Penjelasan penuh Buddha ialah tentang Paticca-samuppada, tetapi di sini hanya disebut Phassa. Phassa ialah "kontak" antara pancaindera dengan objek di luar. Contohnya, mata "melihat" bunga akan melahirkan perasaan suka atau benci atau neutral. Perasaan ialah vedana. Daripada vedana jadi tanha (nafsu), upadana (kemelekatan) dan seterusnya sehingga Dukkha.)

(Tipitaka: 15/127/382)

Berdasarkan kisah di atas, jelaslah bahawa Buddha tidak memberi ketetapan tentang Dukkha yang dikaitkan dengan "diri sendiri" atau "orang lain" sebagai puncanya. Sebaliknya, Baginda menjelaskan bahawa Dukkha terjadi kerana sebab-musabab yang tersendiri yang berpunca daripada Phassa.

Pemahaman yang betul tentang punca Dukkha amat penting supaya kita tidak terjerumus ke dalam Sassata Ditthi (diri yang kekal) dan Uccedha Ditthi (diri yang lenyap terus) yang merupakan antara 10 Ditthi yang ditegah oleh Buddha daripada mendekatinya. Dan yang lebih mustahak adalah apabila kita mempunyai pemahaman yang salah tentang Dukkha, kita tidak mungkin berjaya menghapuskan Dukkha.

Rasionalnya, bagaimana kita boleh menghapuskan Dukkha jikalau kita belum mengenalnya dengan betul?




No comments: