Monday, March 19, 2012

Harta Kekayaan Dalam Agama Buddha


Dalam agama Buddha terdapat 2 jenis harta atau kekayaan. Pertama, harta yang berbentuk material seperti wang ringgit, tanah, rumah, emas, kereta dan lain-lain. Kedua, harta yang tersimpan di dalam hati. Atau harta luar dan harta dalam. Harta dalam yang tersimpan di dalam hati dipanggil "Ariya Sab" (harta yang mulia @ noble treasures). Harta ini senang disimpan dan tidak takut dirompak. Sekiranya pandai, harta jenis kedua ini dapat dijadikan sebagai faktor bagi menambah harta jenis yang pertama. Oleh sebab itulah, Buddha sangat menyanjungi harta jenis kedua. Bagi Buddha, orang yang ada harta jenis kedua tidak boleh dipanggil miskin biarpun harta jenis pertama tiada.

Terdapat tujuh harta yang mulia, antaranya ialah:

1. Saddha - kepercayaan yang bersebab, keyakinan dalam pegangan dan perbuatan yang baik (confidence).

2. Sila - sahsiah, moral atau akhlak mulia. Menjaga perbuatan dan pertuturan dengan baik serta tingkah laku yang sopan (morality, good conduct, virtue).

3. Hiri - malu hendak membuat kejahatan (moral shame, conscience)

4. Ottappa - takut hendak membuat kejahatan (moral dread, fear-to-err).

5. Phahu-sacca - banyak belajar, kaya ilmu (great learning).

6. Caga - kemurahan hati, suka memberi, bersedekah dan berkebajikan (liberality).

7. Panya - kebijaksanaan, berfikir dengan matang, munasabah, tahu membezakan baik dan buruk, faedah dan tidak berfaedah (wisdom).

Dhamma 7 perkara di atas juga dipanggil Bhahukara-Dhamma atau "Dhamma yang banyak membantu" (virtues of great assistance) kerana ia menjadi pendorong kepada perkara-perkara baik yang lain; menjana faedah diri dan faedah orang lain dengan meluas. Harta 7 perkara yang disanjungi Buddha ini banyak kegunaan dan faedahnya kepada kehidupan harian manusia. Baginda amat menggalakkan umat mencari harta jenis ini.

Dalam kehidupan moden hari ini, kekayaan kedua-dua jenis harta ini harus seimbang. Kaya harta jenis pertama semata-mata tetapi miskin harta jenis kedua boleh menyebabkan manusia sombong, tinggi diri dan hilang sifat manusia. Kaya harta jenis kedua, tetapi miskin harta jenis pertama pun sukar untuk menjalani kehidupan harian.

Pada zaman Buddha dahulu, ramai penduduk Magadha yang kaya (setthi) kedua-dua jenis harta ini. Mereka kuat bersedekah dan mempunyai balai jamuan yang besar untuk memberi makan secara percuma kepada orang ramai dan fakir miskin. Pada masa yang sama mereka merupakan pengamal ajaran Buddha yang tekun. Padana zaman sekarang, sukar hendak mencari jutawan yang kaya kedua-dua jenis harta. Majoritinya, kaya harta jenis pertama, tetapi miskin harta jenis kedua.


       
      

No comments: