Friday, March 16, 2012

Individu Yang Sukar Dicari

Terdapat 2 jenis individu yang sukar dicari di dunia. Pertama, individu yang berjasa, berbudi atau berbuat faedah kepada individu lain terlebih dahulu tanpa mengharapkan balasan; dan kedua, individu yang tahu membalas jasa dan budi tersebut dengan ikhlas hati. Ini 2 jenis individu yang sukar dicari di dunia.

Individu yang berjasa, berbudi dan berbuat faedah kepada individu lain terlebih dahulu dipanggil Buppakari. Ibu  bapa merupakan buppakari kepada putera dan puterinya. Upaccaya dan guru merupakan buppakari kepada murid-muridnya. Baginda Buddha merupakan buppakari kepada penganut agama Buddha. Malahan raja atau sultan juga merupakan buppakari kepada rakyat. Manakala individu lain yang berjasa, berbudi atau berbuat faedah kepada kita dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan balasan merupakan buppakari kepada kita juga. Individu-individu begini sukar dicari di dunia.

Putera dan puteri yang tahu jasa, budi dan kebaikan ibu bapa; murid yang tahu jasa dan budi guru; penganut agama Buddha yang tahu jasa dan budi Baginda Buddha; rakyat yang tahu jasa dan budi raja; individu yang tahu jasa dan budi individu lain dinamakan Katanyu.

Apabila individu yang tahu jada dan budi buppakari, dan membalas jasa dan budi tersebut sama ada dengan material, dengan tenaga empat kerat, menghormatinya, mematuhi ajarannya, mendengar nasihatnya atau mengkhabarkan kepada umum (tidak menafikan jasa dan budi) dinamakan Katavethi. Maka individu yang tahu jasa dan budi orang lain dan membalasanya dengan ikhlas dinamakan Katanyukatavethi.

Katanyukatavethi merupakan perkara yang sangat penting dalam agama Buddha. Ibu bapa merupakan buppakari yang paling mulia bagi anak-anak. Oleh sebab itulah,  ibu bapa disamakan dengan Phra Arahant atau Phra Phrom bagi anak-anaknya. Betapa suci Phra Arahant, begitulah sucinya hati ibu bapa terhadap anak-anaknya. Betapa agung Phra Phrom (dianggapTuhan atau Yang Maha kuasa oleh golongan Brahmana), begitulah agungnya ibu bapa bagi anak-anaknya.

Betapa besarnya jasa ibu bapa sehingga diumpamakan bahawa diletakkan ibu di bahu kiri dan bapa di bahu kanan anak dan diberi mereka makan dan minum sehingga mati belum lagi terbalas jasa dan budi mereka.

Terdapat pelbagai cara untuk membalas jasa ibu bapa. Ibu bapa teramat bahagia sekiranya anak-anak mendengar nasihat mereka; buat yang disuruh dan elakkan yang ditegah. Apabila tua, setiap ibu bapa mengimpikan kebahagiaan bersama anak-anak. Menjaga ibu bapa ialah tanggungjawab anak-anak yang utama.

Dalam agama Buddha terdapat kaedah yang terbaik bagi membalas jasa ibu bapa, iaitu mengamalkan Dhamma sehingga tahap Lokuttara. Inilah impian semua ibu bapa kaum Buddhis agar anak-anaknya; lelaki mahupun perempuan mencapai kehidupan Lokuttara. Kehidupan Lokuttara adalah jaminan kebaikan bagi semua manusia. Minda Lokuttara tidak akan membawa seseorang ke lembah kejahatan.

Jika tidak mencapai Lokuttara, cukuplah sekadar jadi individu yang bermoral yang berpegang pada Sila 5. Ibu bapa pasti gembira mempunyai anak-anak yang bermoral.

Oleh sebab itulah masyarakat Siam menggalakkan anak lelaki jadi Bhikkhu supaya anak itu dapat mendalami Dhamma-vinai dan mengamalkannya sehingga tahap Lokuttara atau Ariya. Selepas itu, anak tersebut akan balik mengajar kepada ibu bapanya. Ajaran pertama, mengajar ibu bapa agar mempunyai Samma Ditthi atau Pandangan Yang Betul tentang kehidupan. Kaum keluarga yang lain juga akan turut menikmati kebaikannya.

Dalam kepercayaan masyarakat Siam, ada diceritakan bahawa ibu bapa yang akan masuk ke neraka akan diselamatkan oleh kain kuning (civorn) anak lelakinya yang jadi Bhikkhu. Kebenaran tersuratnya ialah anak yang jadi Bhikkhu mengajar Dhamma kepada ibu bapanya sehingga mereka jadi orang baik yang bebas daripada neraka.

Anak perempuan pun boleh mendalami dan mengamalkan Dhamma sebagaimana anak lelaki. Hasil kebaikannya sama juga. Kedua-dua anak lelaki dan perempuan yang baik menjadi kebanggaan ibu bapa.

Namun begitu, ibu bapa juga harus bijak mendidik anak-anak. Memanjakan anak bukan perkara yang baik. Anak yang manja lazimnya suka menengking dan melawan kata-kata ibu bapa. Ini tidak baik. Berdosa. Jadi, memanjakan anak seperti sengaja mencari dosa kepada anak.

Anak sendiri harus sedar tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Dan yang paling penting, anak-anak mesti jadi anak yang Katanyukatavethi. Jangan jadi anak derhaka, besar dosanya!

2 comments:

Anonymous said...

Campak mak bapak rumah orang tua dosa ke.

Anonymous said...

dosa. gaji riban-riban ibu bapa tak mampu jaga. kesian