Sunday, March 11, 2012

Kilesa-Tanha-Upadana: Musuh Sebenar Manusia!

Ajaran yang mengatakan musuh manusia ialah manusia lain yang berada di luar adalah salah dan sesat. Ajaran begini menggalakkan permusuhan sesama manusia. Pembunuhan, penembakan, pengeboman dan segala pemusnahan lain yang disasarkan kepada musuh berpunca daripada ajaran begini. Ajaran begini membuatkan dunia tidak aman.

Oleh sebab itulah Buddha menolak ajaran begini. Dengan kebijaksanaan yang tinggi, Buddha mengetahui bahawa musuh manusia berada di dalam diri manusia itu sendiri. Musuh kita berada di dalam diri kita. Kilesa ialah musuh utama manusia, musuh utama kita. Musuh utama ini mencambahkan musuh-musuh lain antaranya Tanha dan Upadana.

Kilesa - Tanha - Upadana itu apa? Bagaimana ketiga-tiga ini berkaitan?

Kilesa ialah kotoran batin yang membuatkan hati tidak ceria, tidak bersih dan tidak bertenaga. Kilesa mencetuskan kejahatan. Akar umbi kejahatan ialah lobha (tamak), dosa (marah) dan moha (sesat). Daripada 3 akar umbi inilah, ratusan kejahatan bercambah keluar sehingga membikin onar satu dunia. Tanha salah satu onar yang besar.

Kilesa ada 3 tahap iaitu, tahap kasar, tahap tengah dan tahap halus.

1. Kilesa tahap kasar ialah Upakilesa 16 berada di bahagian luar yang ditunjukkan melalui perbuatan dan percakapan. Kilesa ini dibendung dengan Sila.

2. Kilesa tahap tengah ialah Anusaya 7 berada di bahagian tengah dan tidur diam di lubuk hati yang ditunjukkan melalui hati. Kilesa ini dibendung dengan Samadhi.

3. Kilesa tahap halus ialah Samjoyana 10 berada di bahagian dalam yang membikin minda terbelenggu dan tidak bebas yang ditunjukkan melalui pemikiran. Kilesa ini dibendung dengan Panya.

Tanha ialah nafsu, kehendak, keinginan atau kemahuan. Tanha ada 3 iaitu Kama-tanha, Bhava-tanha dan Vibhava-tanha.

1. Kama-tanha ialah kemahuan terhadap kenikmatan inderia (mahu seronok, mahu sedap, mahu manis, mahu lawa dan sebagainya).

2. Bhava-tanha ialah kemahuan untuk jadi itu, jadi ini (mahu jadi orang kaya, mahu jadi Menteri, mahu jadi Senator, mahu jadi cerdik, mahu jadi kacak, mahu jadi jelita dan sebagainya).

3. Vibhava-tanha ialah kemahuan untuk tidak jadi itu, tidak jadi ini (tidak mahu jadi orang miskin, tidak mahu jadi orang berpenyakit, tidak mahu jadi kurap, tidak mahu jadi pengemis dan sebagainya).

Upadana ialah pegangan (secara salah) atau kemelekatan yang berpunca daripada Tanha dan Kilesa. Upadana ada 4 iaitu:

1. Kamupadana - Upadana terhadap keseronokan inderia (sensuous Clinging)

2. Ditthupadana - Upadana terhadap pandangan. (Clinging of views).

3. Silabbatupadana - Upadana terhadap peraturan dan ritual. (Clinging to mere Rules and Ritual)

4. Attavadupadana - Upadana terhadap kepercayaan ada Diri. (Clinging to the Personality-Belief)

Upadana-Khandha merupakan asas atau tapak upadana. Khandha yang menjadi upadana ialah Khandha 5 iaitu Rupa, Vedana, Sanya, Sankhara dan Vinyan.

Untuk selamat, aman dan bahagia, manusia wajib membunuh ketiga-tiga musuh ini. Kilesa merupakan ketua musuh yang apabila berjaya dibunuh, musuh-musuh lain juga akan turut mati.



No comments: