Friday, March 30, 2012

Mari Kita Berkenalan Dengan Perkataan Nibbana

Bahasa Pali sebut Nibbana. Bahasa Sanskrit sebut Nirvana. Bahasa Thai sebut Nippan. Nibbana bererti "padam daripada kepanasan" atau keadaan yang sejuk atau ketenangan tahap tinggi.

Nibbana merupakan perkataan biasa yang digunakan oleh masyarakat pada zaman Buddha. Apabila minda atau hati bersih daripada Kilesa, minda akan terasa "sejuk". Oleh sebab tidak tahu mahu menggunakan istilah apa, lalu dipinjam istilah Nibbana yang bermakna sejuk untuk diguna pakai pada minda yang bersih (bebas) daripada Kilesa.

Istilah Nibbana mempunyai 3 makna:

1. Vatthu Nibbana - Merujuk kepada material yang telah hilang kepanasan.

2. Satva Nibbana - Merujuk kepada haiwan liar yang telah dijinak.

3. Citta Nibbana - Merujuk kepada minda yang bebas daripada Dukkha atau minda yang tenang dan sejuk (kerana bersih daripada Kilesa).

Nirodha menjadi punca, Nibbana ialah hasilnya. Oleh itu, apabila ada Nirodha maka akan ada Nibbana. Sesetengah aliran mendakwa setelah menikmati keseronokan indera sepuas-puasnya, maka itulah Nibbana (kerana setelah mendapat kepuasan, minda pun tenang). Sesetengah pula mendakwa apabila mencapai tahap Samadhi tertentu, maka itulah Nibbana (kerana minda Samadhi juga ada ketenangan yang tinggi). Namun, Buddha berkata Nibbana yang sebenar ialah apabila minda bebas daripada Kilesa. Ini kerana apabila minda tiada Kilesa, minda akan tenang dan sejuk sebab tiada perasaan "diriku" dan "milikku" mengganggu. Keadaan ini berkekalan.

Perkataan Nibbuti bermaksud "ketenangan hati, kesejukan jiwa" yang merupakan ketenangan hati orang biasa yang bebas daripada permasalahan hidup. Parinibbana bermaksud "keadaan yang padam daripada kepanasan" iaitu padam segalanya (Kilesa dan Khandha 5) yang merujuk kepada "kematian" Arahant.

Nibbana mempunyai 3 jenis iaitu:

1. Tathangka Nibbana - Nibbana sekali-sekala atau pada ketika tertentu.

2. Vikkhampana Nibbana - Nibbana yang wujud daripada keadaan menekan (menahan) Kilesa melalui Samadhi.

3. Samuccheda Nibbana - Nibbanana yang muktamad dan abadi.

Tathangka Nibbana walaupun tidak "sejuk" dan kekal abadi, tetapi sangat bernilai kepada minda. Minda manusia memerlukan "ketenangan" sekali-sekali supaya tidak "kepanasan" (kerana tekanan) berterusan yang boleh menyebabkan seseorang itu gila. Nibbana jenis ini membantu minda kita mendapat istirahat yang cukup. Oleh itu, kita mesti berusaha mewujudkan Nibbana ini setiap hari, walaupun tidak kekal lama, lebih baik daripada tiada langsung.

Malangnya, terdapat sesetengah penganut (termasuk Bhikkhu) yang seolah-olah takut kepada Nibbana. Saya pernah sebut "Nibbana" di depan seorang Bhikkhu yang disanjungi ramai golongan muda Kelantan. Dia mengeluh panjang sambil berkata: "Ooi, Buddha terpaksa mengumpul Barami beratus-ratus kelahiran barulah dapat Nibbana!" Mungkin dia merasakan Nibbana itu mustahil bagi orang zaman sekarang. Dia silap.

Vikkhampana Nibbana ialah masa seseorang duduk Samadhi tahap Jhana 4, mindanya akan "tenang" dan "sejuk" seperti Nibbana sejati, tetapi apabila Jhana hilang, Nibbana juga ikut hilang.

Samaccheda Nibbana ialah Nibbana sejati yang kekal abadi yang dicapai Arahant setelah berjaya melepasi Sangjoyana 10.

Nibbana ialah ketenangan minda tahap tinggi. Minda yang bersih daripada Kilesa atau kotoran batin baru mampu mencapai ketenangan yang tinggi. Maka, Nibbana boleh dicapai di mana-mana sahaja. Kita tidak perlu tunggu mati untuk mencari ketenagan minda. Kita tidak perlu masuk hutan belantara dan duduk seorang diri untuk menenangkan hati. Di mana-mana pun ada ketenangan, terpulang kepada kita bagaimana ingin memperolehinya. Begitu juga dengan Nibbana. Kita tidak perlu tunggu mati berkali-kali untuk mencapai Nibbana.

Buddha mengumpulkan "Barami" (kebaikan) beratus-ratus tahun sehingga jadi Buddha dan menunjukkan jalan (kaedah) Nibbana kepada kita. Berlatih mencapai Tathangka Nibbana terlebih dahulu, kemudian beralih ke tahap yang lebih tinggi mengikut kekuatan minda. Perkara yang penting, jangan takut kepada Nibbana atau menganggap Nibbana sesuatu yang mustahil.


No comments: