Sunday, March 18, 2012

Menjalani Kehidupan Mengikut Buddha-Dhamma

Mengharungi kehidupan harian merupakan perkara yang besar bagi setiap manusia. Setiap detik manusia terpaksa  berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan - masalah pribadi, masalah rumah tangga, masalah jiran tetangga, masalah sosial, masalah ekonomi dan masalah politik serta masalah kesihatan. Kesemua masalah ini mempunyai kerumitan yang berbeza-beza antara individu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sesetengahnya bisa menitiskan air mata. Sesetengah pula bisa menangis teresak-esak. Dalam tawa ada tangisan. Dalam tangisan ada kesakitan yang mendalam.

 Oleh sebab itulah, Buddha berkata untuk dilahirkan sebagai manusia itu sukar dan untuk menjalani kehidupan yang bahagian lagi payah.

Kehidupan harus dipenuhi dengan kebahagiaan. Apabila berjumpa, selepas bersalam, orang akan tanya apa khabar? Jawapannya "baik" yang bermaksud bahagia kerana setiap manusia biasa mencari kebahagiaan dalam kehidupan. Oleh hal yang demikian, kebahagiaan merupakan matlamat utama kehidupan.

Dalam agama Buddha, terdapat dua jenis kehidupan iaitu kebahagiaan duniawi dan kebahagiaan bukan duniawi. Kebahagiaan duniawi ialah kebahagiaan manusia biasa atau kharawat yang bercirikan dunia. Manakala kebahagiaan bukan duniawi ialah kebahagiaan yang lahir daripada Samadhi (jhan-samabat) dan keadaan yang tenang daripada kilesa.

Kebahagiaan Duniawi

Terdapat 4 jenis kebahagiaan duniawi atau manusia biasa iaitu: (Berdasarkan Kamus Buddhasas - Phra Dhammapidok Prayut Payutto)

1. Kebahagian lahir daripada memiliki harta iaitu manusia berasa bangga dan gembira kerana memiliki kekayaan yang dicari dengan titik peluh sendiri dengan cara yang halal.

2. Kebahagiaan lahir daripada menggunakan harta iaitu manusia berasa bangga dan gembira apabila dapat menggunakan harta yang dicari sendiri dengan cara yang halal untuk menyara hidup, keluarga dan membuat kebajikan dan perkara yang berfaedah.

3. Kebahagiaan lahir daripada keadaan yang tiada hutang iaitu manusia berasa bangga dan gembira kerana bebas daripada sebarang hutang.

4. Kebahagiaan lahir daripada gaya hidup yang baik, tingkah laku yang baik, berfaedah dan tidak membawa musibah. Manusia berasa bangga, gembira dan puas hati kerana mempunyai gaya hidup yang baik, perbuatan dan perlakuan yang baik, tidak menyusahkan diri dan orang lain sama ada melalui fikiran, pertuturan atau perbuatan. Gaya hidup yang baik termasuk pemakanan yang baik dan rehat yang cukup yang membawa kepada kesihatan yang baik.

Kebahagiaan duniawi semata-mata tidak lengkap. Kaum Buddhis juga mesti berusaha mencari kebahagiaan bukan duniawi yang terhasil daripada Samadhi (jhan samabat).








     

No comments: