Saturday, March 3, 2012

Parasit Agama Dan Pemimpin Yang Parasit!

Apabila kita hendak pergi memancing ikan, perkara yang mesti diambil berat ialah umpan. Memancing ikan kelah, pakai buah kelapa sawit pun boleh. Jika mahu memancing ikan keli, umpan cacing tanah pilihan utama. Ikan keli sungai suka cacing tanah.

Begitu jugalah apabila kita hendak memancing duit kaum Buddhis, kita mesti menggunakan Bhikkhu. Kaum Buddhis sangat percaya kepada Bhikkhu. Maka tidak hairanlah apabila semakin banyak Bhikkhu dijadikan cacing tanah untuk memancing kaum Buddhis jenis ikan keli. Ini ikan keli jenis tidak boleh diajar. Bodoh sesat. Ikan keli bodoh kerana tidak tahu dalam umpan ada mata kail. Sami lagi bodoh kerana rela dijadikan cacing tanah. Pemancing tidak bodoh. Pemancing dapat habuan.

Samnak Song atau tempat tinggal Bhikkhu tumbuh merata tempat di Malaysia. Tumbuhnya begitu mudah kerana kerajaan kita pun tidak berapa cerdik. Asalkan pintar menggunakan alasan agama, kerajaan boleh diperdaya dan diperbodohkan sesuka hati. Jadi, jikalau anda mahu memperbodohkan kerajaan, membangangkan kerajaan atau menglembukan kerajaan, pergilah sewa rumah untuk dijadikan tempat menipu orang, kemudian minta lesen atas nama persatuan agama. Pasti diluluskan. Inilah cara paling mudah mencari makan. Jadi parasit agama.

Samnak Song ialah tempat tinggal Bhikkhu yang kecil kawasannya. Jikalau besar, dinamakan Vihara atau Wat. Mengikut agama Buddha, Samnak Song, Vihara atau Wat tidak boleh dibuka sesuka hati. Ini tempat suci. Ada peraturan tertentu yang wajib dipatuhi.

Di Thailand pihak berkuasa agama akan membuat tinjauan sebelum meluluskannya. Beberapa pertimbangan diambil kira - kedudukan atau lokasi, keluasan tapak atau tempat, keperluan penduduk sekitar, jumlah penduduk yang memerlukannya, bagaimana ia beroperasi dan lain-lain. Pendek kata, bukan senang hendak dibuka kerana takut disalah gunakan. Walaupun peraturannya ketat, namun penyalahgunaannya masih terjadi.

Di Malaysia, buka Samnak Song semudah buka tin Coca-cola. Oleh itu, tidak hairanlah apabila banyak penipu yang cari makan dengan agama membuka Samnak Song atas nama persatuan agama Buddha.  Lazimnya, mereka menggunakan nama Pusat Kebajikan Agama" atau "Pusat Pendidikan Agama Buddha" atau "Pusat Meditasi Buddha" atau apa-apa sahaja nama yang seangkatan dengan agama Buddha.  Macam pusat urut badan dan batin yang menggunakan nama Pusat Refleksologi, pusat judi siber menggunakan nama permainan internet, pusat mabuk menggunakan nama disko atau karaoke atau pusat pelacuran menggunakan nama pusat hiburan.

Nama-nama "suci" begini, apabila dilihat oleh pihak Pendaftar Pertubuhan, dia terus jadi bodoh dan bangang; maka tanpa usul periksa akan diluluskan. Selepas itu, siapa mahu bikin apa di tempat itu, tiada siapa peduli. Tiada siapa pantau. Mahu menipu, mahu melacurkan agama,  mahu buat maksiat, zina, karaoke, disko, kasino semuanya tiada siapa yang ambil pusing termasuk Pendaftar Pertubuhan.

Untuk menjadi lebih gah, pemilik Samnak Song akan memperdaya orang politik agar jadi Penaung atau Penasihat persatuannya. Pemimpin MCA, Gerakan dan DAP yang beragama Buddha sering jadi sasaran. Pemimpin Umno pun ada yang dijadikan alat. Pemimpin Pas lebih berhati-hati. Sesetengahnya, namanya sahaja beragama Buddha tetapi soal agama bodoh macam kaldai. Jika tidak bodoh, kenapa mahu jadi Penaung atau Penasihat persatuan yang ditubuhkan untuk menipu orang. Sesetengahnya, pemimpin politik itu sendiri yang jadi penipu. Dia ditipu sehingga sesat dan sasau, kemudian dia menipu orang lain. Orang lain itu terdiri daripada orang MCA, Gerakan, DAP, Umno, Pas dan PKR. Kerana pengaruh politik, kerja menipu ini jadi mudah baginya. Apatah lagi sekiranya dia ada gelaran "Datuk" dan seangkatan dengannya. Gelaran "Datuk" ini mudah memancing ikan keli.

Untuk menjadi lebih hebat, pemimpin politik atau Datuk penipu ini akan jemput pula YB atau Menteri untuk merasmikan persatuan. Atas nama agama, YB dan Menteri ikut jadi bodoh. Majlis dibuat secara besar-besaran. Ribuan orang hadir. Maklumlah Menteri datang. Datang beramai-ramai untuk menunjukkan kebodohan kepada orang lain. Jikalau mahu lebih hebat lagi, lebih besar lagi, Perdana Menteri dijemput datang. Seandainya Perdana Menteri sudi datang, beliau pun turut diperbodohkan. Jikalau Perdana Menteri pun boleh diperbodohkan atas nama agama, adakah Menteri-menteri lain cerdik?

Jadi Perdana Menteri, Menteri Kabinet, YB, orang besar dan pemimpin politik mesti bijak agama agar tidak mudah ditipu dan dijadikan alat oleh parasit agama. Malaysia ada pelbagai agama. Maka semua agama wajib diketahui. kalau tidak tahu, tanya orang yang tahu. Jangan sampai diperbodohkan. Malu kepada rakyat yang tahu.  Dan bodoh tidak cukup, dungu lagi kerana selain merasmikan persatuan, diberikan pula bantuan kewangan. Tidak cukup merasmikan "rumah lanun" diberikan lupa duit kepada lanun. Betapa bodohnya pemimpin kita. Kerana agama, lebih tepat kerana jahil agama, diri dengan mudah jadi mangsa penipuan terhormat.

Agama Buddha memisahkan urusan agama daripada politik. Buddha larang Bhikkhu bermain politik atau melibatkan diri dengan politik Namun, parasit agama telah melakukan sebaliknya iaitu mencampurkan agama dengan politik.

Pokok pangkalnya bermula daripada parasit agama. Parasit agama ini sedar bahawa kaum Buddhis masih ramai yang percaya kepada agama secara membabi buta. Mereka mempunyai kepercayaan yang mendalam dan sukar digugat tetapi tidak cerdik. Parasit agama juga sedar bahawa kaum Buddhis sangat percaya dan hormat kepada Bhikkhu (atau Tok Sami). Maka untuk memancing duit kaum Buddhis yang pemurah hati, Bhikkhu mesti dijadikan umpan. Bukan semua Bhikkhu boleh dijadikan umpan. Bhikkhu yang bijak tidak boleh ditipu. Cuma Bhikkhu yang bodoh lagi tamak yang boleh dijadikan cacing tanah. Hari kebesaran agama Buddha, misalnya Hari Wesak, Kathina, Loy Krathong (tiada kaitan dengan agama) dan sebagainya merupakan hari-hari yang sesuai "menjual pahala dan syurga" kepada kaum Buddhis. Pasti tiada siapa yang bantah atau menafikannya kerana hari-hari begini otak umpama telah dikunci. Siam, opp Bumiputera Siam, Cina dan India dua kali lima. Asalkan ada Bhikkhu, pahaka dan syurga, poket kering pun tidak mengapa.

Kasihan aku kepada Baginda Buddha yang mengajar umatnya agar bijak tetapi sebaliknya yang terjadi. Aku tidak kata semua kaum Buddhis bodoh, tetap ramai yang begitu. Jikalau semua kaum Buddhis bijak, parasit agama, Samnak Song, Pusat Meditasi, mahupun Wat yang meniu boleh hidup sampai hari ini. Keadaan jadi lebih parah sekiranya Bhikkhu sendiri jadi parasit agama.

Orang politik, YB, Menteri mahupun Perdana Menteri pun mudah tertipu dengan Bhikkhu parasit ini.  Bahkan raja pun boleh tertipu. Rakyat tidak usah cakap lagi. Bhikkhu parasit begitu licik. Dia tahu orang politik sangat memerlukan undi dalam pilihan raya. Dia mengadakan majlis secara besar-besaran. Puluhan ribu rakyat pelbagai kaum dijangka hadir. Dia jemput pemimpin datang. Pemimpin yang dahaga undi meleleh air liur. "YB tolong saya, saya tolong YB!" Tanpa usul periksa YB terus setuju untuk datang.

Apabila kita simpulkan penipuan ini seperti pusingan Karma, maka hasilnya ialah: Parasit agama (orang biasa atau Bhikkhu) tipu Orang Besar. Orang Besar tipu orang biasa (rakyat). Orang biasa tipu diri sendiri. Pusingan ini tiada penghujung. Yang untung parasit agama kerana dapat duit atau peruntukan daripada orang besar dan derma daripada rakyat yang ketagih syurga. Orang besar untung apabila diberikan undi. Kalau diperhalusi orang besar pun parasit juga kerana sudi datang untuk memancing undi. Namun, kedua-dua parasit ini menggunakan "kebaikan, kemajuan dan pembangunan" dalam penipuan masing-masing. Yang terus bodoh dan rugi ialah rakyat jelata kerana disuapkan pahala dan kata-kata retorik yang tiada sebarang nilai.

Apabila dilihat dalam jangka masa panjang yang rugi akhirnya ialah agama Buddha itu sendiri. Apabila penganut agama Buddha hilang kepercayaan kepada Samnak Song, Vihara atau Wat, apa akan terjadi dengan agama Buddha?

Oleh itu, sudah tiba masanya kaum Buddhis semua menggembleng tenaga membasmi parasit agama yang menipu ini. Kerajaan dan pemimpin harus dicelikkan mata agar mereka tidak mudah diperbodohkan dalam soal-soal agama. Apabila pemimpin diperbodohkan, rakyat pun mudah diperbodohkan kerana lazimnya rakyat akan ikut pemimpin mereka.

Kita tidak boleh membiarkan kaum Buddhis jadi seperti ikan keli bodoh yang apabila dilontarkan cacing tanah terus menyambar dan akibatnya mata kail tersangkut pada mulut.










2 comments:

Anonymous said...

Tepat dan padat. Sekarang sami gila politik gila gelaran datuk. Orang politik gila kuasa gila undi piliharaya.

Anonymous said...

Banyaknya para prak yg buat "amulet" dan takrud seperti di wat Kulim tu.

Asalkan warga Buddhis gemar saiyasat dan wattu mongkhon, thamma dan winai Akan akan hilang.