Thursday, March 8, 2012

Protokol Sangha

Kadang-kadang kita terlupa. Kita terlupa bahawa Bhikkhu juga ada "protokol". Protokol Bhikkhu biarpun tidak dinyatakan secara langsung tetapi wajib dipatuhi. Wajib dipatuhi demi martabat Sangha yang disanjungi dan dihormati kaum Buddhis. Kaum Buddhis mesti tahu segala protokol setiap kali menjemput Bhikkhu atau Sangha ke majlis keramaian tertentu.

Untuk melihat lebih jauh, kita melihat yang dekat dahulu. Biasanya apabila kita mengadakan majlis tertentu di rumah, misalnya naik rumah baru apa yang kita lakukan? Kita akan pergi ke wat atau hantar wakil yang tahu "protokol" (peraturan) untuk menjemput Bhikkhu atau Sangha ke rumah kita. Biasanya kita akan pergi mengadap Ketua Bhikkhu dan memberitahu hajat kita. Berapa orang Bhikkhu yang diperlukan, tarikh, hari dan masa akan diberitahu kepada Ketua Bhikkhu dengan jelas. Siapa yang akan datang jemput Bhikkhu pada hari tersebut.

Apabila tiba hari yang dimaksudkan, kita akan sediakan tempat yang sesuai untuk Bhikkhu. Jikalau 8 orang Bhikkhu, kita akan sediakan 8 tempat atau lebih. Tempat itu pula mesti "strategik". Tidak manis sekiranya orang ramai lalu lalang terlalu dekat dengan Bhikkhu sehingga mengganggu Bhikkhu. Kanak-kanak yang berlari ke sani-sini ditegah daripada menghampiri Bhikkhu. Bukan apa, takut kanak-kanak perempuan terjatuh ke atas riba Bhikkhu. Tidak elok.

Jikalau kita perhatikan, apabila Bhikkhu tiba, akan ada orang menjerit: "Phra datang! Phra datang!" Jeritan ini sebenarnya sebagai isyarat bahawa "orang mulia" datang dan orang ramai yang berada di rumah kita mesti memberi hormat. Duduk mesti kelihatan sopan. Percakapn mesti diperlahankan. Masyarakat Siam menganggap kurang ajar bagi sesiapa yang berperlakuan tidak beradab ketika ada Sangha. Berdosa.

Pada hari tersebut Bhikkhu atau Sangha merupakan "tetamu" istimewa kita. Makan dan minum juga disediakan bersesuaian dengan jumlah Sangha. Masa sangat penting kerana Sangha mesti makan ikut masa.

Setiap protokol mesti dipatuhi. Lazimnya masyarakat Siam sudah arif dengan perkara ini. Maka tidak pernah timbul masalah. Naik rumah baru, kenduri kahwin, kenduri arwah dan sebagainya ada protokol masing-masing yang mesti dipatuhi. Jikalau tidak, orang akan tuduh kita selaku tuan rumah tidak tahu adab. Bagi masyarakat bandar yang kurang arif dengan protokol Bhikkhu, mereka akan minta individu yang arif untuk menjadi pemimpin dalam majlis berkenaan.

Melanggar protokol walaupun secara tidak sengaja, akan menyebabkan orang memandang tidak baik terhadap kita. Selaku kaum buddhis kita tidak boleh berkata: "Saya tidak tahu!" Orang tidak akan terima penjelasan kita. Jika tidak tahu, kenapa tidak rujuk orang yang tahu terlebih dahulu? Melanggar protokol bererti menghina Bhikkhu dan agama Buddha kerana protokol Bhikkhu ada kaitan langsung dengan Vinaya atau disiplin Bhikkhu. Ini juga akan mendedahkan kejahilan kita sebagai kaum Buddhis.

Sejak zaman Buddha lagi protokol ini diamalkan. Oleh itu, kita tidak boleh memandang ringan. Dari pergi menjemput Bhikkhu di wat, Bhikkhu datang ke rumah kita sehinggalah Bhikkhu pulang semula ke wat, semuanya ada peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.

Bagaimana dengan majlis nasional yang melibatkan pembesar negara?

Dalam agama Buddha, manusia dinilai kerana kebaikannya, bukan kerana pangkat, darjat atau kedudukannya dalam masyarakat. Oleh sebab Bhikkhu ialah "individu suci" maka tiada individu lain yang lebih mulia daripada Bhikkhu. Perdana Menteri, Menteri, YB mahupun Senator ialah manusia biasa yang dipenuhi kotoran batin, nafsu dan kemelekatan. Bahkan raja pun tidak lebih mulia daripada Bhikkhu.

Oleh sebab itu di Thailand, dalam majlis kebesaran atau majlis Di Raja, Bhikkhu atau Sangha diletakkan di kedudukan lebih mulia daripada individu lain. Semua orang akan memberi penghormatan kepada Bhikkhu. Sangha ialah "VVVIP' pada majlis tersebut.

Namun, di Malaysia, keadaannya berbeza. Bhikkhu diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. beberapa tahun dahulu, entah pemimpin dajal mana membawa sekumpulan Bhikkhu pergi menyambut Perdana Menteri. Bhikkhu berdiri di tengah panas bersama orang-orang lain. Siapakah Perdana Menteri sehingga terpaksa dibawa bersama Bhikkhu pergi menyambutnya? Bukan Perdana Menteri yang salah. Beliau tidak tahu apa-apa. Akan tetapi pemimpin Siam dajal itulah yang bersalah. Bhikkhu sendiri pun tidak betul kerana buta protokol sendiri. Jikalau kemaruk gelaran "Datuk" daripada PM sekali pun, jangan sampai menggadaikan  maruah Bhikkhu dan agama.

Banyak perkara yang tidak patut dilakukan oleh Bhikkhu. Bhikkhu tidak boleh ikut orang ramai. Orang ramai kibar bendera nyanyi lagi 1Malaysia misalnya, Bhikkhu tidak boleh ikut. Kibar bendera kerja mengampu dan membodek pemimpin. Biarkan pemimpin Siam dajal yang buat.

Bhikkhu jangan ikut. Bhikkhu berdiri menunggu kedatangan pembesar negara pun tidak boleh. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Baginda Buddha para Bhikkhu diminta berdiri menunggu kedatangan pemimpin. Buddha selalu dijemput ke istana. Baginda diberikan tempat duduk yang sesuai, bukannya berdiri di tengah panas. Pembesar negara, sebesar mana pun, mereka masih melekat pada duniawi. Sedangkan Bhikkhu ialah individu suci yang berusaha melepaskan diri daripada duniawi. Bhikkhu tidak boleh sama sekali melakukan kerja yang dilakukan orang biasa.

Biasanya Bhikkhu dijemput ke sesuatu majlis untuk merestukan majlis tersebut. Mengikut kepercayaan kaum Buddhis, majlis atau upacara yang direstukan oleh Bhikkhu akan mendapat berkat. Namun, kerana kejahilan dan kebodekan pemimpin, Bhikkhu dijemput datang menyambut pembesar. Syaitan pun ketawa.

Perkara begini jangan dianggap remeh. Ini melibatkan maruah agama kita. Bhikkhu sendiri patut dapat membezakan yang mana boleh dan yang mana tidak boleh. Jangan pula Bhikkhu pun tergila-gilakan gelaran "Datuk" sehingga sanggup berbuat apa sahaja mengikut tudingan jari orang lain.

Orang biasa menjalani kehidupan berkeluarga. Sedangkan Bhikkhu menjalani kehidupan suci yang dipanggil "Brahma Cariya" yang bermaksud menjalani kehidupan seperti Brahma (Phra Phrom). Brahma dianggap Kuasa Tertinggi atauTuhan pada zaman tersebut. Oleh itu, Bhikkhu Buddha ialah individu yang menjalani kehidupan suci seperti Tuhan. Kehidupan suci ini tidak boleh bergaul bebas dengan orang biasa kerana ada peraturan dan batasan tertentu.

Saya diberitahu oleh seorang ahli Perkasa bahawa Datuk Paduka Ibrahim Ali menjemput para Bhikkhu ke majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini, tetapi tiada Bhikkhu yang hadir. Saya menjelaskan bahawa Bhikkhu tidak sesuai ke tempat seumpama itu. Kebetulan orang yang dijemput Datuk Ibrahim Ali mempunyai pengetahuan tentang agama Buddha. Maka beliau tidak membawa Bhikkhu pergi. Sekiranya, yang dijemput ialah individu jahil yang buta agama, tetapi gila kuasa, dia akan membawa Bhikkhu pergi sebagaimana yang dilakukan pemimpin-pemimpin Siam yang lain.

Mahu menyalah pemimpin Siam seratus peratus tidak boleh juga. Bhikkhu bukan lembu yang boleh ditarik hidung sesuka hati. Sekiranya Bhikkhu menolak, tiada siapa boleh paksa. Kadang hairan juga. Kenapa Bhikkhu di Malaysia begitu galak mahu jumpa pembesar negara? Malahan Bhikkhu bukan Siam pun begitu. Ada yang sanggup bukan jubah dan pakai kot semata-mata mahu terima anugerah.

Terdapat 3 perkara besar yang boleh menyebabkan Bhiikhu boleh dicucuk hidung.

1. Tamak (duit, pangkat dan gelaran)

Bhikkhu yang tamak duit rela berbuat apa-apa sahaja asalkan dapat duit. Budak-budak Siam minum arak dalam wat, Tok Sami halau macam lembu. Akan tetapi pemuda Cina dari Kuala Lumpur minum arak dan bir di tengah wat, tiada siapa kata apa. Ini kerana geng Cina itu bawa duit masuk wat setiap tahun puluhan ribu. Orang yang selalu bawa duit masuk wat bebas bergerak di dalam wat. Dalam bilik tidur Tok Than pun dia masuk selamba sahaja. Tok Than tidak marah kerana duit. Cuba anak Siam masuk?

Sekarang ini ramai yang jadi Bhikkhu kerana mahu "kumpul kekayaan". Andainya dianugerahkan pangkat Datuk, itu kira bonus. Asalkan hajatnya tidak terbantut, dia sanggup berbuat apa-apa yang dikehendaki. Jangan kata kibar bendera, nyanyi lagu, tunggu PM, dan jumpa MB, jika disuruh menyalak, dia mungkin akan menyalak.

2. Perempuan.

Bhikkhu yang terjerat dengan skandal perempuan biasanya terpaksa akur kepada semua arahan orang lain yang mengetahui skandal tersebut. Mahu ingkar takut skandal terbongkar. Biasanya para komiti wat sangat pintar menggunakan isu sebegini untuk menjadikan Bhikkhu "orang suruhan" mereka.

3. Arak.

Terdapat Bhikkhu yang ketagih arak atau bir. Perbuatan mereka diketahui orang. jikalau Komiti tahu, Bhikkhu pun terpaksa akur dengan suruhan Komiti. Inilah puncanya kenapa kita tengok sesetengah wat, Komiti lebih berkuasa daripada Tok Than. Sebab tok Than ada skandal yang diketahui oleh Komiti wat.


4 comments:

Anonymous said...

Bhikkhu@Sangha@Sami sekarang ni tak sama dengan Bhikkhu@Sangha@ Sami zaman dulu, sekarang ni zaman glamour, zaman mengejar pangkat, bukan saja pangkat datuk, pangkat Phra Kru.., zaman mengejar kemewahan, dll...

Bhikkhu@Sangha@Sami sekarang Bhikkhu@Sangha@Sami moden...kik kik kik..

Anonymous said...

Sami moden jiwa rockers!

Anonymous said...

Pahit paparan yang ini tapi baik untuk renungan.

Anonymous said...

Ada satu tok than pagi pagi je berbau alkohol. Masa suad mon duduk seakan selamba je. Takakan putthasasana hilang dari bumi kita.