Wednesday, March 14, 2012

Sampavesi Dan Kelahiran Semula

Anda percaya bahawa selepas mati, anda akan dilahirkan semula dalam kehidupan baru? Ini bermakna anda mempunyai peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan dalam kehidupan sekarang? Sekiranya anda tidak percaya, tamatkan pembacaan di sini. Anda tidak perlu membuang masa dengan apa yang anda tidak percaya. Sebaliknya, jika anda percaya, boleh baca sehingga habis.

Sampavesi (สัมภเวสี) satu istilah yang mungkin baru bagi seseorang. Namun, tidak bagi saya. Sejak lama dahulu saya selalu dijinakkan dengan istilah ini. Akan tetapi pemahaman tentang maksudnya yang sebenar masih kabur sehinggalah saya dewasa.

Sampavesi merupakan sesuatu yang amat menarik dalam agama Buddha. Sampavesi merupakan bukti kukuh yang menunjukkan bahawa manusia mati akan hidup semula dalam kelahiran baru. Namun, terdapat kaum Buddhis yang tidak berapa faham dengan Sampavesi yang sebenar. Malahan bagi yang memahami, pemahaman mereka pula berbeza-beza mengikut alairan atau mazhab. Walau apapun, perkara ini sangat mustahak dikaji dan difahami kerana ia melibatkan semua orang.

Saya dan anda tidak akan terlepas daripada Sampavesi.

Sampavesi merujuk kepada makhluk dunia yang masih mencari tempat lahir (bhava) iaitu masih tertakluk dengan hukum Vatta Samsara (pusingan hidup). Selagi belum mencapai Arahant, semua orang tetap jadi Sampavesi.  

Namun, sesetengah kaum Buddhis tersalah faham. Mereka menganggap Sampavesi merujuk kepada makhluk dunia yang sedang mencari-cari tempat lahir; iaitu belum dapat tempat lahir yang baru selepas mati dari kehidupan sekarang.

Pemahaman begini amat ketara di kalangan Mahayana. Mahayana percaya bahawa orang yang telah mati akan berada di ruang "di antara tempat lahir" (antara Bhava) selama 7 hari, 15 hari, atau1 bulan bagi menunggu kelahiran semula (Patisandhi/Patisonthi) dalam mana-mana satu daripada 4 jenis kelahiran. Makhluk yang berada di ruang "di antara tempat lahir" ini ialah Sampavesi kerana masih menunggu kelahiran baru. Kepercayaan begini pun ada di kalangan kaum Buddhis Theravada kerana terpengaruh dengan Mahayana. 

Namun, mengikut Theravada, makhluk yang berada di ruang "di antara tempat lahir" tidak ada. Ini kerana selepas mati, Citta (menggunakan istilah Citta agar mudah difahami tetapi sebenarnya ialah Karma) terus dilahirkan semula. Citta/Vinyan (sebenarnya Karma) yang bermundar-mandir tanpa tubuh atau tiada tempat lahir sama sekali tidak ada. Citta mesti ada tubuh sebagai tempat tinggal. 

Dalam Pali ada menyebut yang bermaksud: "Citta ada gua iaitu tubuh sebagai tempat tinggal." Umpama api yang mesti ada "elemen" lain baru akan menyala. Arang, kayu api, kertas, petrol dan sebagainya merupakan umpan api. Tanpa umpan, api tidak menyala. Jiakalau ada umpan, barulah kita dapat melihat api. Api tidak akan menyala tanpa "elemen" yang dipanggil umpan tersebut.

Sekiranya si mati terpaksa pergi menunggu di ruang di antara tempat lahir (antara bhava), maka tempat lahir (bhava) akan bertambah lagi satu. Daripada 31 bhava-bhumi yang asal kepada 32. Hakikatnya tidak begitu. Buddha cuma memberitahu ada 31 bhava-bhumi sahaja iaitu Apaya (abai) 4, Syurga Kama-Vacara 6, Rupa-Brahma(Rup-Phrom) 16, Arupa-Brahma (Arup-Phrom) 4, dan Dunia manusia 1.

Orang mati yang masih ada Kilesa akan dilahirkan di mana-mana bhava dengan segera sebagaimana yang terdapat dalam Pali "Suttap Buddho Viya, seperti tidur kemudian terjaga". Tidak perlu menunggu tempat lahir yang baru. Lahir di mana, di tempat mana, terpulang pada kekuatan Karma kerana Karma yang akan membawa kepada kelahiran baru.

Maka, seseorang yang melihat saudara maranya yang telah mati "muncul" semula dalam bentuk manusia, ini bermakna saudara mara tersebut telah dilahirkan di bhava yang baru, tetapi dalam kehidupan Oppatika, mungkin dilahirkan sebagai Petta, Asura atau Devata. Golongan ini merupakan Athitsamanakai yang tubuhnya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kita hanya boleh melihat sekiranya mereka sengaja "mewujudkan" diri agar kita dapat melihatnya. Ini pun dengan tujuan tertentu, mungkin untuk membawa perkhabaran kepada kita agar kita tahu bahawa mereka sudah dilahirkan.

(Dalam kisah Raja Bimbisara, saudara mara Baginda yang telah mati "muncul" kerana mahu minta "suan bun" (pahala). Kisah inilah yang menjadi titik tolak kepada upacara tambun bulan 10 (Saipret) yang diamalkan masyarakat Siam.)

Setiap kelahiran tidak menentu masanya,  mungkin sementara, mungkin kekal lama. Ada orang yang hanya dilahirkan selama 7 hari sebagai manusia, kemudian mati dan dilahirkan ke alam lain. Begitu juga bagi yang dilahirkan di neraka mahupun syurga. Karma setiap orang tidak sama. Karma menentukan kelahiran semula seseorang selepas kematiannya.

Dalam agama Buddha, orang mati tidak perlu menunggu "hari penghakiman" sebelum diputuskan akan ke alam mana (syurga atau neraka) kerana Karma bergerak tanpa henti sepanjang masa. Setiap pergerakannya ada hasil dan balasan. Pergerakan Karma dipanggil Vatta Samsara. Oleh itu, manusia sebenarnya "tidak pernah mati" tetapi bertukar bentuk dan tempat tinggal.

Contohnya, individu yang banyak berbuat baik apabila mati akan dilahirkan di syurga. Setelah Karma baiknya habis, dan dia (Devata) tidak berbuat baik selama di syurga, sebaliknya berbuat jahat, selepas mati akan dilahirkan ke alam manusia lagi. Selama di alam manusia, dia berbuat jahat, dia akan dilahirkan di neraka. Begitulah "pusingan kehidupan" yang tidak pernah berhenti selagi tidak Arahant.


(Bacaan tentang 31 Bhumi/Bhum dalam bahasa Thai, klik di sini)






1 comment:

Anonymous said...

Memang kelahiran sebagai manusia amat sukar. Insaflah.