Wednesday, March 28, 2012

Sejarah Imej Buddha



Phra Buddharup atau imej Buddha ialah imej yang dibina sebagai "pengganti" Baginda Buddha bertujuan untuk dipuja dan diperingati. Imej ini cuma simbolik yang diukir daripada gading, kayu, batu atau diperbuat daripada simen dan logam. Imej Buddha lazimnya merujuk kepada imej yang besar yang digunakan untuk dipuja. Imej Buddha yang kecil biasanya dipanggil "Phra Kreung". Walau bagaimanapun kedua-duanya boleh dipanggil imej Buddha.

Puja ialah bahasa Pali.  Istilah Puja di sini bermaksud memberi penghormatan, menghormati atau memuliakan (honour, respect, homage). Puja hanya diberikan kepada sesuatu yang tinggi dan mulia. (Dalam bahasa Melayu istilah puja telah tergelincir maknanya daripada makna asal. Oleh sebab itulah terdapat istilah puja hantu, puja semangat, puja nombor ekor dan sebagainya. Ini terjadi kerana ada pengguna bahasa yang jahil bahasa.)

Maka imej Buddha dibina untuk memuliakan, menghormati dan memperingati jasa-jasa Baginda yang telah menunjukkan Jalan Yang Benar ke arah Pencerahan Minda agar umat manusia dapat membebaskan diri daripada segala kebelengguan hidup. Kebelengguan ini membawa kesengsaraan yang besar kepada manusia. Apabila minda bebas daripada kebelengguan, maka manusia pun hidup bahagia dalam erti kata yang sebenar. Jasa-jasa Buddha tidak ternilai besarnya di muka bumi ini kepada penganut, maka wajarlah dimuliakan, dihormati dan diperingati sepanjang hayat.

Imej Buddha tidak pernah dianggap sebagai Tuhan atau Dewa Pencipta sebagaimana dakwaan golongan tertentu yang jahil agama. Golongan bodoh berlagak pandai.

Selain imej Buddha, kaum Buddhis juga memuja imej Sangha yang bertujuan sama iaitu sebagai penghormatan dan pengingatan ke atas jasa-jasa mereka yang mengajar penganut. Ajaran Buddha tidak akan sampai kepada kita tanpa Sangha. Bahkan sesetengah orang meletakkan gambar foto ibu bapa yang telah meninggal dunia di meja pemujaan untuk mengenang jasa-jasa mereka yang tiada bandingannya. Oleh itu, pemujaan bagi kaum Buddhis tidak sama dengan pemujaan kaki ekor yang puja pokok atau busut jantan. Berbeza juga dengan puja semangat padi atau puja jin jembalang.

Kepercayaan Brahmana dan agama Buddha pada mulanya tidak ada sebarang imej pemujaan. Selepas kemangkatan Baginda Buddha, penganut mengambil tanah, air dan daun bodhi dari 4 tempat suci (Sangvetniya-sathan) untuk disimpan di rumah sebagai peringatan dan pemujaan terhadap jasa-jasa Baginda. Empat tempat suci yang dimaksudkan ialah (1) Lumbini, tempat lahir; (2) Bodhgaya, tempat Trassaru; (3) Paranasi, tempat memberi khutbah pertama; (4) Kusinara, tempat Parinibbana.

Pada masa berikutnya, penganut membina lambang tertentu sebagai memperingati Buddha yang suci. Contoh, di Kapilavastu dibina bunga teratai sebagai lambang kelahiran insan suci; di Paranasi dibina Dhamma Cakra; di Raja Asoka telah membina Tiang Batu Asoka di tempat lahir. Selain itu, ada juga dibina patung Kuda dan Kijang.

Berkenaan imej Buddha, dalam Kitab Riwayat Hidup Baginda, ada diceritakan bahawa pada zaman Buddha, Raja Kosol menitahkan tukang istana mengukir imej Buddha daripada teras kayu Cendana. Ukiran ini sebagai memperingati Buddha yang pernah masuk Phansa/Vassa di Syurga untuk mengajar bonda Baginda. Sesetengah pakar berpendapat sekadar tertulis dalam kitab tetapi tiada bukti dapat diketengahkan.

Maharaja Asoka, penaung agama Buddha yang masyhur, sekitar 300 tahun selepas kemangkatan Buddha, telah menghantar duta agama (Dhamma-duta) seramai 500 orang ke Gandhara untuk menyebarkan ajaran Buddha. Gandhara terletak di Pergunungan Peshwar, sempadan Afghanistan dan Pakistan. Usaha murni Maharaja Asoka ini telah menjadikan Gandhara sebagai pusat ilmu agama Buddha yang terkenal pada masa tersebut sehingga diumpamakan sebagai "universiti agama Buddha yang pertama di dunia". Namun, ketika itu imej yang dibina menyerupai Buddha belum wujud.

Imej Buddha mula dibina sekitar 500-550 tahun selepas kemangkatan Buddha apabila kaum Greek yang diketuai Raja Milinda menakluki Gandhara. Baginda meluaskan kuasa ke negera sekitar dan membina ibu kota di Sakala. Raja Milinda bertemu dengan seorang Bhikkhu bernama Nagasena. Baginda mengemukakan beberapa soalan kepada Bhikkhu Nagasena dan jawapannya begitu memikat hati Baginda sehingga Baginda menganut agama Buddha. (Soalan Raja Milinda ditulis dan diterjemah kepada beberapa bahasa dan yang paling terkenal ialah "The Milinda Panha or Questions of King Milinda"). Raja Milinda telah membina pelbagai tugu dan lambang peringatan terhadap Buddha, termasuk imej Buddha di sekitar Gandhara.

Maka imej Buddha yang pertama dibina di Gandhara oleh Raja Milinda. bentuk imej Buddha ditiru daripada imej Dewa Greek kerana sebelum ini Greek telah membina imej Dewa Apolla dan Zius. Maka tidak hairanlah imej Buddha Gandhara mirip orang Eropah.

Selepas zaman Raja Milinda hingga 1200 tahun kemangkatan Buddha, penganut mula membina imej Buddha yang kecil-kecil untuk disimpan di dalam Chedi. Pembinaan imej Buddha ini semakin berkembang dari masa ke masa sehingga ke hari ini - imej Buddha sudah menjadi ciri-ciri agama Buddha yang penting.

Mungkin ada orang bertana bolehkah penganut agama Buddha memuja (menyembah) Buddha tanpa imej Baginda di depan?

Jawapannya boleh. Sebelum zaman Raja Milinda, penganut tidak ada imej Buddha, tetapi ramai yang menjadi Ariya. Orang tua-tua kita dahulu "puja phra" menghadap dinding tanpa sebarang imej Buddha. Yang penting hati "kenal siapa Buddha". Jikalau kita "tidak kenal siapa Buddha" sepuluh kali sehari puja Buddha pun tidak berguna. Kita puja jasa dan sifat-sifat keBuddhaan Baginda, bukan puja individu.  Jauh sekali puja "patung batu" atau "patung besi" yang duduk atau berdiri di depan kita. Kita puja "sesuatu yang suci yang berada di sebalik patung batu" di depan kita. Orang jahil kata kita sembah batu. Biarkan mereka dengan kejahilannya. Yang penting kita tahu apa yang kita buat.

Imej Buddha sekadar pengingatan dan penghormatan sebagaimana rakyat berdiri tegak menghormati bendera negara. Adakah rakyat menghormati kain berwarna yang dijahit dan diberikan lambang? Tentulah bukan. Rakyat menghormati atau memberi penghormatan kepada negara atau tanah air yang berada di sebalik bendera tersebut. Bendera hanya lambang. Walaupun lambang tidak boleh diperlakukan dengan tidak sopan, misalnya dipijak atau dijadikan kain sapu kaki. Bukan kerana kain itu mahal tetapi kerana ia lambang negara tercinta.

Buddha tidak pernah menyuruh penganut membina dan memuja imej Baginda. Imej ini dibina oleh penganut kerana ingin mengingati dan menghormati jasa-jasa Baginda. Baginda sendiri meminta penganut menjadikan Dhamma sebagai pengganti Baginda selepas kemangkatan Baginda. Oleh itu, imej Buddha bukan satu kewajipan. Ada boleh, tiada pun tidak mengapa. Yang penting Dhamma Baginda mesti diamalkan dengan betul.






3 comments:

Anonymous said...

Dulu saya diberitahu pakar budaya siam malaysia phra buddharup pertama dibina oleh phracao asok. mana yang betul tuan ksb?

Anonymous said...

Tuan KSB telah tulis yang betul, mau tanya apa lagi? Pakar budayak tu silap fakta.

Anonymous said...

tulang ukir Greek mahir dalam ukiran patung Tuhan.