Wednesday, March 21, 2012

Sila 5: Membawa Kebahagiaan, Kekayaan Dan Kebebasan Manusia

Sila 5 merupakan moral yang asas bagi manusia. Sila ini telah diamalkan sejak sebelum zaman Buddha Gotama lagi. Selepas kelahiran Buddha, moral asas ini diterima pakai oleh pengikut Baginda. Sila bermaksud normal. Orang yang ada pegangan Sila ialah orang yang normal. Manakala yang tiada Sila ialah tidak normal. Normal ini merujuk kepada kehidupan harian. Orang yang melanggar Sila bererti orang itu menjalani kehidupan yang luar biasa - kehidupan yang jahat. Orang yang mengamalkan Sila ialah orang yang menjalani kehidupan biasa. Biasa bererti belum mencapai tahap yang baik. Untuk mencapai tahap yang baik, manusia mesti mengamalkan Dhamma.

Oleh sebab itulah Putera Siddharta keluar meninggalkan istana, meninggalkan kemewahan dan keseronokan duniawi untuk mencari kehidupan yang baik, mulia dan sempurna. Sila yang diamalkan masyarakat selama ini tidak berjaya membawa kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan dalam kehidupan. Adakah kehidupan masyarakat ketika itu langsung tiada kebaikan? Ada. Akan tetapi kebaikan bagi Buddha ialah kebaikan jenis yang bebas daripada kejahatan. Berbeza dengan kebaikan kita yang bercampur aduk dengan kejahatan. Pencarian Putera Siddharta akhirnya berjaya apabila mendapat Pencerahan Sempurna (Trassaru) selepas 6 tahun menempuh perjalanan yang sukar.

Ariya Sacca 4 merupakan kunci yang dijumpai Baginda bagi meleraikan permasalahan manusia. Paticca-Samuppada merupakan punca kepada segala permasalahan. Sila merupakan asas kepada penyelesaian permasalahan tersebut.

Lazimnya manusia hidup dalam keadaan tidak normal iaitu membunuh, mencuri, berzina, berbohong, mabuk dan sebagainya. Buddha mengajar mereka menjalani kehidupan normal iaitu mengamalkan Sila. Setelah kehidupan menjadi normal, barulah manusia boleh menjalani kehidupan yang baik dan mulia. Maka, Sila ialah pengantara atau pemisah antara kehidupan jahat dengan kehidupan baik.

Oleh sebab zaman sekarang, sukar mencari orang baik, maka orang yang mengamalkan Sila 5 sudah dikatakan orang baik. Sedangkan pada zaman Buddha, orang baik mesti mengamalkan Magga 8. Apabila amalan meningkat sehingga ke tahap Lokuttara dinamakan orang mulia (Ariya). Apabila meningkat lagi sehingga mencapai pembebasan minda atau Vimutti (minda bebas daripada Kilesa/Asava dengan sempurna) dinamakan Arahant.

Sila 5 ialah:

1. Menahan dan menghindari daripada membunuh makhluk hidup.
2. Menahan dan menghindari  daripada mencuri.
3. Menahan dan menghindari daripada seks bebas dan zina.
4. Menahan dan menghindari daripada bercakap bohong.
5. Menahan dan menghindari daripada meminum minuman beralkohol, dadah atau benda yang boleh menjejaskan kesedaran diri.

(Menahan bermakna berhenti atau meninggalkan perbuatan yang pernah dilakukan. Manakala menghindari bermakna menjauhi atau mengelakkan daripada perbuatan yang belum pernah dilakukan.)

Pada penghujung upacara "Rap Sin", Bhikkhu akan merumuskan dengan berkata: "Silena Sugating yanti; Silena Phoga sampada, Silena Nibbuting yanti; Tasma silang viso thaye." 

Kemudian, orang ramai akan jawab: Sadhu!

Adakah kita faham apa yang dikatakan Bhikkhu itu? Sadhu (Sathuk) bererti "baik, bagus atau setuju". Jikalau kita tidak faham apa yang dikatakan Bhikkhu, "Sadhu" kita tidak ikhlas. Sadhu ikut sedap mulut dan ikut-ikutan tanpa mengerti apa kandungannya? Sebenarnya apa yang dilafazkan Bhikkhu itu ialah faedah-faedah yang bakal diterima oleh pengamal Sila. Faedahnya banyak tetapi dirumuskan kepada 3 yang utama.


1. Silena Sugating yanti - Sila membawa kebahagiaan kepada kita.

Apabila kita tidak membunuh, mencuri, berkelakuan salah dalam seks, berbohong dan mabuk, kita akan berasa bahagia, tenteram, sejahtera dan harmoni. Sila mengawal perlakuan kita. Kita tidak kacau orang, orang tidak akan kacau kita. Perlakuan yang baik tentulah akan menjadi kesukaan dan kesayangan orang lain.


2. Silena Phoga Sampada - Sila membawa harta kepada kita


Harta di sini terbahagi kepada dua iaitu harta luaran dan harta dalaman (rujuk posting yang lepas). Phoga Sampada ialah harta kegunaan harian untuk makan, minum dan pakai. Guru Attha Katha memberi huraian bahawa Phoga Sampada termasuk Ariya Sab iaitu harta yang tersimpan di dalam hati. Orang yang  mempunyai Sila bererti moralitinya tinggi. Orang yang bermoral ialah orang yang berkualiti. Sila 5 apabila dikembangkan sebenarnya akan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita. Pekerja yang bermoral lebih disukai dan dihormati. Pemimpin yang bermoral menjamin keadilan kepada rakyat. Moraliti boleh menentukan kejayaan seseorang. Sila juga merupakan asas kepada harta dalaman (harta yang mulia) yang disanjungi Buddha. Dengan ada Sila kita akan mendapat kekayaan luaran dan dalaman sekaligus.


3. Silena Nibbuting yanti - Sila membawa kita mencapai Nirvana.


Sila asas kepada Samadhi.  Samadhi asas kepada Panya. Panya pencerus Nirvana. Jadi, orang yang mahu mencapai Nirvana, terlebih dahulu mesti ada Sila. Nirvana ialah kesucian minda daripada Kilesa-Asava. Sebelum mencapai tahap kesucian sepenuhnya, minda mesti bebas daripada kebelengguan Kilesa dan Upadana. Maka Sila (melalui Samadhi-Vipassana) merupakan pencetus kepada kebebasan minda manusia daripada kemelekatan dan kotoran batin sehingga ke tahap Nirvana.

Tasma silang viso thaye - Sila sesuatu yang sangat  istimewa yang harus diamalkan dan dijadikan pegangan dalam kehidupan harian. Ini bahagian rumusan. Sila dikatakan "sesuatu yang sangat istimewa". Viso ialah istimewa. Istimewa bagaimana? Istimewa kerana memberi faedah yang tidak terbatas kepada manusia. Selain penganut agama Buddha, penganut agama lain juga menekankan Sila, cuma dengan nama yang lain.

Dalam setiap upacara agama Buddha, akan dimulakan dengan upacara Rap Sin (terima Sila). Jikalau upacara Rap Sin pun kita tidak jelas, adakah upacara seterusnya akan menjadi jelas?  Jika permulaannya sudah salah adakah perkara seterusnya akan betul?

Selain tidak faham maksud Sila secara keseluruhan dan faedah-faedah yang diperolehi daripada Sila, ada penganut agama Buddha yang menghina diri dan agama sewaktu pergi Rap Sin. Orang yang dimaksudkan ialah orang mabuk. Apabila kita telah minum mabuk, tidak perlulah pergi duduk Rap Sin. Mencemarkan upacara sahaja. Kita mabuk, kita salah setakat mabuk. Akan tetapi apabila kita turut pergi minta Sila, kesalahan kita bertambah.

Minta Sila (Thai: Khor Sin) yang dilakukan masyarakat Siam kita tidak lebih daripada tradisi. Sedangkan Sila sesuatu yang baik untuk diamalkan, tetapi ada yang menganggapnya sebagai ritual. Ini satu kesalahan yang serius yang tidak ramai menyedarinya. Kepada yang mengamalkannya, baguslah. Namun, ada yang tidak mengamalkannya. Selepas upacara Rap Sin selesai, belum pun keluar dari wat, ada yang "terus langgar" Sila.

Kita pergi "minta Sila" daripada Bhikkhu, tetapi kita tidak mengamalkannya. Ini berdosa. Kita minta  atas nama Ti-Ratana. Oleh itu, kita berbohong kepada diri sendiri, Buddha, Dhamma dan Sangha. Kita mempersendakan kesucian agama sendiri. Dosanya bukan kecil.

Kita tidak mengamalkan Sila, dosanya setakat itu sahaja, tetapi apabila kita pergi minta Sila daripada Bhikkhu tetapi tidak mengamalkannya, dosanya bertambah kerana kita berbohong dan mempersendakan kesucian Ti-Ratana.  Sebagai penganut agama Buddha, kita tidak boleh mempermainkan kesucian Ti-Ratana. Ti-Ratana ialah Buddha, Dhamma dan Sangha. Sangha di sini ialah Ariya Sangha. Bukannya tok sami gila politik di wat kita. Jangan salah faham.

Kesimpulannya Sila berbentuk sejagat yang diamalkan oleh semua agama dan kepercayaan. Sekiranya manusia tiada pegangan Sila, dunia akan hilang keamanan dan keharmoniannya. 





5 comments:

Anonymous said...

Blog agama Buddha versi bahasa Malaysia terunggul setakat ini. Syabas.

Anonymous said...

Sawasdee Tuan KSB! Posting makin mantap. Kampung saya puak khimao talay pergi rapsin bau arak.

Anonymous said...

Kebanyakkan org Siam tidak dpat membezakan antara Rap Sin dan mengamalkan Sin; apa yang dilakukan sebab tok nenek kita dah amalkan turun menurun. manakala dipihak Sangha pula jarang memberi penerangkan secara terperinci tentang Sila yng telah diberi dan hasil yg bakal dinikmatui oleh pengamalnya bukan sekadar melafazkan saja,lepas tu tak ikut.

Anonymous said...

jangan main main dengan Sila.

Anonymous said...

Orang ada Sila tak kutuk orang lain.