Friday, March 16, 2012

Tugas Dan Tanggungjawab Kaum Buddhis

Apabila ada orang tanya kita menganut agama apa? Kita akan menjawab agama Buddha. Apabila ditanya lagi selaku penganut agama Buddha, apakah tugas dan tanggungjawab kita terhadap agama Buddha? Kita mungkin mula tergagap-gagap kerana tidak tahu jawapannya. Tidak tahu tidak mengapa. Mari kita lihat apakah tugas kaum Buddhis terhadap agamanya.

Tugas kaum Buddhis secara kasar boleh dibahagikan kepada 4 jenis utama.

1. Belajar Dhamma.

Sebagai penganut agama Buddha, tetapi tidak tahu agama Buddha mengajar apa bererti kita belum dapat menjalankan tugas sebagai kaum Buddhis. Asas yang perlu diketahui oleh kaum Buddhis ialah Ariya Sacca 4 bagi menyelesaikan masalah kehidupan. Selain itu, kaum Buddhis mesti mengetahui Trilaksana iaitu Anicca, Dukkha dan Anatta; mengetahui Sila 5, Sila 8. Semakin banyak pengetahuan, semakin baik untuk kita. Jikalau ada peluang, timbalah ilmu Dhamma terus daripada kitab Tipitaka. Buku-buku, video, atau ceramah agama daripada pakar agama merupakan sumber ilmu yang penting. Akan tetapi mengkaji kitab Tipitaka seolah-olah kita mempelajari Dhamma langsung daripada Baginda Buddha.

2. Mengamalkan Dhamma

Belajar Dhamma sahaja tidak cukup tetapi mesti diamalkan. Dhamma yang dipelajari tetapi tidak diamalkan tidak membawa faedah. Mengamalkan Dhamma tidak semestinya pergi Samadhi Vipassana. Banyak Dhamma yang berkaitan dengan kehidupan harian yang perlu diamalkan agar kehidupan kita tidak terkeluar daripada batasan agama.

3. Menyebarkan Dhamma

Setelah kita tahu kebaikan Dhamma hasil daripada amalan kita, kita mesti menyebarkan dan mengembangkan Dhamma tersebut kepada orang lain. Penyebaran dan pengembangan Dhamma boleh sahaja melalui penulisan, ceramah, perbincangan mahupun percakapan. Kita melakukannya sebagai wakil kepada Baginda Buddha. Silap sekiranya kaum Buddhis beranggapan bahawa tugas menyebarkan Buddha-Dhamma terletak di bahu Bhikkhu semata-mata. Kita selaku Ubasok dan Ubasika turut memikul tanggungjawab ini. Penyebaran dan pengembangan Dhamma boleh melanjutkan usia agama Buddha. Apabila usia agama Buddha panjang, maka ramailah umat manusia yang akan mendapat pencerahan minda tentang kebenaran sejati.

4. Mempertahankan Agama Buddha

Apabila terdapat pihak cuba memecah-belahkan Sangha, mengganggu-gugat agama Buddha atau memesongkan ajarannya, kita selaku penganut mesti bangun mempertahankan agama kita. Kita tidak boleh membiarkan agama kita musnah di depan mata. Namun, seperkara yang harus difahami ialah "musuh utama" agama ialah penganut itu sendiri. Orang luar tidak mampu menghancurkan agama kita, melainkan dengan keizinan kita. Keizinan yang dimaksudkan di sini ialah amalan kaum Buddhis yang terkeluar daripada ajaran Buddha menyebabkan agama menjadi lemah dan mudah dihancurkan. Amalan yang tidak betul, terpesong atau salah merupakan musuh utama agama.

Ini cuma 4 tugas utama. Sekiranya diperincikan, boleh menjadi berpuluh-puluh. Sasasa Pitthi biarpun dikatakan kulit agama, namun mesti dipelihara juga. Pokok yang besar mesti ada kulit yang melindungi isi dan terasnya. Jikalau kulit dibuang, pokok mungkin akan mati.

Walau bagaimanapun, terlalu menekankan Sasana Pitthi akan menyebabkan terasnya terabai. Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat Siam kita. Sedangkan di Barat, tempat yang agak baru bagi agama Buddha bertapak, mereka langsung kepada teras. Jangan terkejut apabila muda-mudi Amerika, Jerman, Britain atau Russia lebih tahu apa itu Magga 8 daripada anak-anak muda kita. Jangan terperanjat apabila mereka bertanya soalan tentang ajaran Buddha yang kita tidak tahu sama sekali.

Selaku penganut agama Buddha, kita mesti tahu tugas-tugas kita terhadap agama kita. Setelah tahu, berusahalah menjalankan tugas tersebut dengan baik.




1 comment:

ThaiSiam said...

Kebanyakkan orang Siam, hampir 100% menganut agama Budhha, tapi berapa ramai yang mengamalkannya..

Tentang Sarsana Pitthi, memang hampir 100% orang Siam kita amalkan..