Thursday, March 22, 2012

Vatta Samsara: Ketakutan Yang Tiada Kesudahan

Sebuah keluarga yang tinggal di pinggir hutan selalu diancam kumpulan gajah liar. Seorang ahli keluarga tersebut pernah dipijak gajah hingga mati. Mereka diberikan kediaman baru yang selamat tetapi mereka tidak mahu berpindah. Mereka memberi alasan bahawa mereka sudah biasa dengan suasana hutan. Mereka membelakangkan keselamatan diri. Ini sekadar contoh sifat tipikal manusia yang tidak mahu berubah biarpun keselamatan diri terancam. 

Kita pun sama. Buddha mengajar bahawa 4 perkara tidak boleh dielakkan iaitu lahir, tua, sakit dan mati. Empat perkara ini membawa kesengsaraan. Kita tidak takut tua dan kita tidak takut mati kerana kita sedar 2 perkara ini tidak mungkin dapat dielakkan. Kenapa kita mesti takut tua dan mati kerana kita pasti tua dan mati (kecuali mati muda). 

Namun, kita takut sakit. Kita tahu sakit yang berpunca daripada penyakit boleh dielakkan. Darah tinggi, lemah jantung dan kencing manis misalnya sangat ditakuti. Oleh itu, kita menggunakan pelbagai cara untuk menggelakkan penyakit berbahaya ini. Bahkan ada yang sanggup berhabis beribu-ribu untuk mengekalkan kesihatan diri. 

Kita juga takut lahir. Bukan kelahiran kita yang ditakuti, tetapi kelahiran orang lain. Kita takut kelahiran anak kita tidak sempurna. Kita takut anak kita dilahirkan cacat. Siapa yang jadi ibu bapa pasti ada perasaan takut begini. Selepas anak dilahirkan, perkara pertama ialah memeriksa anggota badannya - dari kepala sehingga ke hujung jari. Apabila didapati semuanya lengkap, hati berasa lapang. Ketakutan pun hilang. 

Kita takut dosa. Kerana takut dosa, kita pun membuat pelbagai pahala. Kita berharap pahala tersebut dapat menjaga kehidupan kita di dunia. Pahala juga dijadikan sebagai modal untuk kehidupan selepas mati. Sebab itulah sesetengah kita jadi gila pahala. 

Kita juga takut balasan Karma. Apabila kita melihat orang tua yang terlantar sakit bertahun-tahun tetapi tidak mati, kita berasa takut. Kita berfikir: "Karma apakah yang dibuatkan sehingga terpaksa menaggung penderitaan begini. Mintalah aku dijauhi Karma begini!"

Dalam kepercayaan agama Buddha, Karma memainkan peranan penting dalam menentukan kelahiran dan kehidupan manusia. Oleh itu, kita cuba mengelakkan Karma yang tidak baik. Namun, adakala kita tiada pilihan. Kita terpaksa melakukan Karma tertentu untuk mencapai keinginan tertentu. Kita takut sekiranya Karma betul-betul memberi hasil. 

Kita takut kebahagiaan yang dikecapi hilang. Kita takut orang yang dikasihi meninggalkan kita. Kita takut kehilangan semua orang yang dicintai. Kita takut kehilangan semua benda yang kita sayangi. Boleh kata ketakutan kita ada di mana-mana yang tidak habis disenaraikan di sini. 

Namun, apa yang kita tidak tahu ialah semua ketakutan tersebut hanya ada di Lokiya sahaja. Lokiya ialah duniawi. Semua ketakutan hanya terdapat di duniawi. Duniawi ialah sifat dunia. Syurga pun duniawi kerana mempunyai sifat yang tidak kekal seperti dunia. 

Sifat utama Lokiya ialah Vatta Samsara atau pusingan hidup yang tidak berkesudahan. Selagi kita hidup di Lokiya, kita akan tertakluk dengan hukum Vatta Samsara. Oleh sebab Vatta Samsara sifatnya berpusing, maka ketakutan kita juga berpusing yang tiada kesudahannya. Dunia takut cara dunia. Syurga takut cara syurga. Neraka takut cara neraka. Haiwan takut cara haiwan. Betapa takut sekali pun, ketakutan tersebut pasti berulang dan berulang kerana sifatnya yang berpusing tanpa titik noktah. Kehidupan kita umpama "bahan kitar semula" yang dikitar oleh Karma berulang-ulang tanpa kesudahan. 

Oleh sebab segala ketakutan hanya ada di Lokiya, untuk menghilangkan ketakutan kita mesti keluar dari Lokiya. Lawan kepada Lokiya ialah Lokuttara. Untuk tidak berasa takut kita mesti hidup di Lokuttara (Lokuttara Dhamma). Di Lokuttara tiada ketakutan. Di Lokuttara kita bebas daripada ketakutan. 

Anehnya, tidak ramai yang berusaha mencapai Lokuttara. Walaupun dipenuhi dengan ketakutan, namun kita masih juga berbuat baik jenis Vatta Samsara. Berbuat baik untuk terus kekal sebagai bahan kitar semula. 

Dhamma bahagian Lokiya semuanya berkaitan dengan bun (pahala) yang memberi hasil bun-kuson secara langsung terhadap kehidupan kita. hasil bun-kuson ini memberi faedah kepada diri dan orang lain. Malahan boleh memberi faedah kepada dunia juga. Berapa banyak Dhamma bahagian Lokiya kita amalkan, kita tetap akan kekal di dalam Vatta Samsara. Untuk bebas daripada Vatta Samsara yang dipenuhi dengan seribu ketakutan, kita mesti mengamalkan Dhamma tahap Lokuttara. 

Dhamma bahagian Lokuttara ialah Ariya Magga bagi membebaskan diri daripada Dukkha dan Vatta Samsara. Pembebasan ini kekal abadi, bahagia, tenteram dan suci. 

Untuk melepaskan diri daripada segala ketakutan, manusia tiada pilihan lain, selain mengamalkan Dhamma tahap Lokuttara. Ketakutan akan hilang apabila kita mencapai Lokuttara. 


9 comments:

sahabat ksb said...

Tn Pena, jika karma kita pd kelahiran ini akan menentukan kita dilahirkan sbg apa pd kelahiran yg akan datang...apa pula menentukan supaya kita dilahirkan pd kelahiran pertama?? tentu tiada kelahiran minus satu kan??..

pena reformasi said...

kelahiran pertama tidak penting dalam agama Buddha kerana Vatta Samsara berbentuk pusingan. setiap kelahiran atau kejadian ada sebab dan elemennya. kelahiran Phra Phrom yang dianggap Tuhan pencipta pun kerana Karma. yang penting sekarang bagaimana nak putuskan vatta samsara.

pena reformasi said...

Mahu lihat konsep permulaan dunia, lihat link ini: http://dhamma-bm.tripod.com/WBB/HTML/16.htm

sahabat ksb said...

kalo begitu sejauh mana kebenaran tentang Vatta Samsara ini, wujudkah kaedah-kaedah untuk mengujinya?? Phra Phrom sendiri tiada siapa yang pernah bertemu, siapa boleh buktikan samada ia benar-benar wujud??..

pena reformasi said...

Untuk menguji kita mesti mengamalkan Dhamma sehingga mencapai tahap tinggi, contohnya Jhana 4, Abinja 6, atau Vijja 3. Sebab itulah banyak perkara tidak diberitahu oleh Buddha kerana apabila minda kita mencapai tahap tinggi, kita akan tahu sendiri. Kita tak boleh mengkaji agama menggunakan kaedah mengkaji falsafah yang jawapannya berdasarkan "ramalan minda" atau "logik fikiran" tanpa amalan.

Anonymous said...

Acan Mun selalu duduk cakap dhamma sorang diri. Bila orang tanya Acan kata cakap dengan Devada. Adakah Acan Mun bohong? Saya rasa tak.

Anonymous said...

setuju.

sahabat ksb said...

saya pun selalu nampak orang bercakap seorang diri, tetapi tidak pasti dia sedang bercakap dengan siapa??..

pena reformasi said...

Dekat rumah saya pun ada orang cakap sorang diri ... orang gila!