Wednesday, April 18, 2012

Anumothana Sathuk!

Sathuk (Sadhu) mempunyai pelbagai maksud.


Kita selalu mendengar orang kata "Sathuk, Sathuk" tetapi tidak berapa faham maksudnya. Dalam bahasa Thai, perkataan Sathuk mempunyai 5 maksud. Antaranya ialah:

1. Sathuk dalam konteks Anumodana bermaksud bersetuju, terima, baik sekali atau suka sekali. Apabila kita bersetuju dengan seseorang, kita akan kata ok. Ok inilah Sathuk. Contoh, apabila kita lihat anak-anak kita bersopan-santun di hadapan orang tua, kita kata Sathuk, kemudian kita anumodana, kerana  berbangga hati. Apabila kita mendengar orang bercakap perkara yang baik, kita akan kata Sathuk kerana kita suka dan setuju. Selepas Bhikkhu beri ceramah Dhamma, kita akan balas dengan Sathuk. Sathuk dalam konteks ini paling banyak digunakan dalam masyarakat Siam Buddhis. 

2. Sathuk bermaksud menghasilkan kejayaan atau memberi faedah.

3. Sathuk bermaksud agar menjadi "baik" sebagaimana dilafazkan. Biasanya selepas mendengar Bhikkhu "memberi kata-kata kebaikan" (hai porn) kita akan sambut dengan berkata: "Sathuk." Maksudnya ialah agar kata-kata kebaikan itu menjadi kenyataan. 

4. Sathuk bermaksud "minta keizinan". Contoh, apabila kita mahu melakukan sesuatu di depan orang tua, kita akan berkata: Sathuk, saya mahu buat perkara itu ..." Minta keizinan ini bahasa Pali sebut Sathuk, bahasa Thai kata minta keizinan. Ini kita jarang guna.

5. Sathuk bermaksud "Selamat Datang", memberi sambutan yang baik dan sukahati. Contohnya, sewaktu Somdej Sangharaja pergi Nepal, penduduk Nepal yang datang menyambut beliau berkata: Sathuk, Sathuk, Sathuk sepanjang perjalanan. Ini pun janggal bagi kita.

Sathuk membawa pelbagai maksud tetapi jarang digunakan, kecuali satu dua yang berkaitan dengan Anumodana



Anumothana (Anumodana) bermaksud memberi penghargaan, pujian atau sukacita terhadap pahala atau kebaikan yang dibuat orang lain.


Anumodana boleh dilakukan melalui ungkapan, tulisan atau perlakuan. Contohnya, apabila orang beritahu kita bahawa dia pergi tambun di wat, kita pun berkata "Sathuk" sebagai Anumodana ke atas kebaikan atau bun yang dibuat. Adakalanya kita akan berkata: "Anumodana Sathuk." Maksudnya kita tumpang gembira, kita menghargai kebaikan yang dilakukan itu dengan ikhlas hati. Kita akan mendapat bun daripada Anumodana tersebut. Bun orang itu pun tidak berkurang. Bun ini dipanggil Anumodanamai-bun. (1 daripada 10 Bun kiriya Vatthu.)

Kita panggil ungkapan yang menunjukkan penghargaan atau sukacita terhadap kebaikan seseorang sebagai Anumodana Katha.  Kita panggil resit derma di wat sebagai Anumodana Bat. Kita panggil bun yang datang melalui Anumodana sebagai Anumodanamai-bun. Apabila kita pergi wat, kita akan nampak peti yang ditulis Anumodana iaitu peti derma.


Bhikkhu selalu bercerita kepada kita tentang kebaikan yang diperolehi daripada berbuat baik, membuat Sanghadana, memderma kepada wat, membina kutti, Ubosot, Chedi dan sebagainya. Cerita ini dipanggil Anumodana-Katha

Manakala Bhikkhu yang menerima pemberian berbentuk makanan, pakaian, kediaman atau ubat-ubatan daripada penganut mesti mengucapkan Anumodana. Jikalau ingkar, dikira menyalahi peraturan yang ditetapkan oleh Buddha. Anumodana ini boleh dilakukan semasa atau selepas menerima pemberian. Perkara ini dilakukan sejak zaman Buddha lagi sebagai "menghargai" pemberian daripada penganut.

"Anumothana Sathuk!" merupakan ungkapan yang selalu diungkapkan oleh penganut agama Buddha sebagai tanda penghargaan, penerimaan atau persetujuaan ke atas kebaikan orang lain.


Apabila kita mendengar orang bercakap Dhamma, kita juga akan berkata Sathuk. Ini perkara yang baik kerana kita "menghargai" kebaikan orang lain. Akan tetapi, kita harus beringat bahawa bukan semua "apa yang diperkatakan itu" baik. Mungkin perkara itu tidak baik. Apabika kita berkata "Sathuk", bermakna kita bersetuju dengan perkara yang tidak baik atau kita suka dengan perkara yang tidak baik. Oleh itu, kita mesti memastikan terlebih dahulu bahawa "apa yang dikatakan" itu baik sebelum kita berkata "Sathuk". Kita tidak boleh "Sathuk" kepada perkara yang tidak baik atau tidak betul.

Anumodana Sathuk terhadap perkara yang baik membawa manfaat yang besar. Dalam kitab Tipitaka dikisahkan bahawa seorang wanita yang pernah "Anumodana" telah dilahirkan di syurga.

Phra Anurut Thera bertanya kepada seorang Puteri Devata yang cantik jelita mengapa kulitnya begitu halus, seri wajahnya memancar ke segenap penjuru, pandangan matanya menikam kalbu, suaranya begitu merdu, kalungan bunga yang melilit kepalanya wangi semerbak dan sebagainya. Pendek kata Puteri Devata ini begitu mengagumkan setiap mata yang memandang sehingga terbawa ke alam mimpi. 

Puteri Devata berkata dia ialah kawan kepada Puteri Visakha Maha Ubasika yang berhati mulia yang telah membina Maha Vihara, kemudian dihadiahkan kepada Sangha di negeri Savatthi. Dia kagum melihat Maha Vihara tersebut dan membuat Anumodana dengan hati yang ikhlas. Bun daripada Anumodana itulah yang memyebabkan dia dilahirkan di syurga dan tinggal di mahligai yang terapung di langit.

Mungkin daripada kisah seumpama inilah kalimat Anumodana Sathuk seolah-olah melekat pada mulut orang Siam. Ini cuma kisah pengajaran yang tersirat. Kita mesti menggunakan akal yang waras mentafsir realiti maknanya. Perkara yang lebih penting ialah "melakukan sendiri" kebaikan. 

Kita mengucapkan "Anumodana" ke atas perbuatan baik orang lain bermakna kita "bersetuju" atau "menghargai" perbuatan itu. Apabila bersetuju dan menghargai, maka kita pun mesti melakukan perkara tersebut. Contohnya, apabila ada orang menderma kepada rumah kebajikan anak-anak yatim, kita "anumodana". Kita setuju, menghargai dan sukacita. Oleh itu, lain kali kita juga mesti menderma kepada rumah kebajikan anak-anak yatim. Sekiranya kita tidak buat, (kecuali tidak mampu) maknanya anumodana kita sekadar di mulut, tidak ikhlas. Jika ikhlas, kita kena ikut buat. 

Bhikkhu memberi ceramah Dhamma, kita anumodana sathuk. Akan tetapi balik ke rumah kita tidak mengamalkannya. Kita tipu diri sendiri. Anumodana yang sebenar ialah kita mesti melakukan perkara yang kita anumodana itu. Anumodana sekadar di mulut budak beringus pun boleh buat. Jika kita mahu bun jenis ini, pergilah duduk di pintu mana-mana wat, tunggu mengucapkan "anumodana" setiap kali ada orang pergi tambun. Rasa-rasanya boleh dapat bun? Dapat tetapi janggal. Orang yang siuman tidak buat begini. 

Seperti yang dikatakan di atas, perkara yang lebih penting daripada Anumodana ialah berbuat sendiri kebaikan yang dianjurkan Buddha. Hasilnya pasti lebih lumayan. 



8 comments:

Anonymous said...

Kho Anumothana Sathuk di atas keperihatinan dan kesabaran pihak KSB yang tidak berputus asa di dalam memberi tunjuk ajar dan penyebaran Dhamma walaupun kadang-kadang diserang oleh Phaya Mara..

pena reformasi said...

Terima kasih kerana memberi semangat dan sokongan yang berterusan.

Anonymous said...

Sekarang wat Thai banyak bina Phra Phrom, Kuan Im, Resi, apa pendapat Tuan Pena?

pena reformasi said...

Wat Thai Theravada sepatutnya membataskan pembinaan imej-imej yang berkaitan Theravada sahaja.

Anonymous said...

Tapi sekarang wat wat Thai Theravada sudah menjadi tokong minta nombor ekor, bukan lagi tempat sunyi untuk samathi. Oleh itu, San pra prom dan patung patung reusi, kuan im lebih banyak dikunjungi, wihan pulak dikunci.

pena reformasi said...

Sesetengah tempat imej Phra Phrom dan Kuan Yin dibina untuk dijadikan "bubu" bagi memerangkap duit penganut yang mempercayainya.

Anonymous said...

Orang siam Phrak kata apa semua sathuk. Phrak kentut pun sathuk.

Anonymous said...

KSB cekal