Tuesday, April 10, 2012

Dhamma Cakra: Cahaya Kebenaran Yang Tiada Bandingan

Dalam Sattama Sutta dikisahkan bahawa setelah Buddha menghebahkan Dhamma yang pertama atau yang dipanggil Dhamma Cakra menyebabkan seluruh dunia ini menjadi terang benderang. Dunia Deva (Deva Loka), dunia Mara (Mara Loka) dan dunia Phrom (Brahma Loka); segala makhluk, masyarakat Samana Brahmana, masyarakat Devata dan masyarakat manusia juga diterangi cahaya terang benderang yang tiada bandingannya; bahkan lebih terang daripada cahaya yang dipancarkan oleh Devata atau Phrom.  (Masyarakat pada masa dahulu percaya bahawa Devada dan Phra Phrom yang mempunyai kuasa tertinggi mampu memancarkan cahaya ke seluruh alam).

Malahan di Lokan Tarika Naraka (neraka) yang terbuka luas, tidak ada penutup atau penghadang tetapi gelap gelita hingga tidak dapat melihat sama sekali (tiada cakkhu vinyan) - pancaran cahaya bulan dan cahaya matahari yang kuat pun tidak tersampai; tetapi turut menjadi terang benderang oleh cahaya Dhamma Cakra Buddha. Makhluk yang menghuni neraka itu dapat mengenal antara satu sama lain melalui cahaya Dhamma Cakra tersebut lalu berkata: "Tuan yang berbahagia, dengar kata makhluk lain yang tinggal di sini selain kita pun ada!"

Ini merupakan keajaiban yang ke-4 yang wujud bersama kewujudan Buddha. (Sattama Sutta).

(Keajaiban pertama berlaku sewaktu ibunda Siddharta mengandung (Phra Bodhisatta turun ke rahim ibu). Keajaiban kedua berlaku masa putera Siddharta dilahirkan (Bodhisatta keluar dari rahim) dan keajaiban ketiga masa Putera Siddharta mendapat Pencerahan Sempurna (Trassaru) menjadi Samma Sambuddha.)

Menurut Buddadasa Bhikkhu, lazimnya kitab agama ditulis dalam "bahasa Dhamma". Bahasa Dhamma ini berbeza daripada bahasa manusia. Bahasa Dhamma lebih kurang sama dengan bahasa sastera yang banyak menggunakan simbolik, perumpamaan, perbandingan, personifikasi, imbas kembali, imejan dan sebagainya yang apabila ditafsirkan mengikut disiplin bahasa manusia, pengertiannya akan terlencong. Teknik personifikasi (memberi sifat manusia kepada benda) sering menyebabkan pembaca kitab agama terkeliru. Teknik personifikasi digunakan bagi mumudahkan pemahaman. Akan tetapi, jikalau tidak biasa dengannya akan menyebabkan kita terkeliru. Begitu juga Buddha memberikan "Atta" kepada Khandha 5 yang bersifat Anatta untuk mudah difahami.

Dalam sutta di atas, "cahaya terang benderang" yang tiada bandingannya yang wujud bersama Dhamma Cakra Buddha ialah "cahaya hati" atau "cahaya kebenaran". Cahaya kebenaran ini ada dipancarkan oleh Brahmana, Devata dan Phrom tetapi cahaya Dhamma Cakra lebih terang lagi. Malahan dibanbingkan pula dengan cahaya bulan dan matahari yang merupakan cahaya yang betul tetapi tidak dapat menandingi cahaya Dhamma Cakra.

Betapa hebatnya cahaya Dhamma Cakra sehingga mampu menerangi hingga ke seluruh alam termasuk dunia Devata dan Brahma. Bahkan terpancar hingga ke neraka dan alam haiwan. Sebab itulah Buddha merupakan guru kepada manusia dan Devata. Gajah liar pernah dijinakkan oleh Buddha. Kuda menjadi tercengang mendengar murid Buddha (Asavagosa) menyampaikan Dhamma.

Di neraka yang bernama Lokan Tarika yang terbuka luas, tiada penutup atau penghadang tetapi gelap gelita, turut terang benderang apabila Buddha membabarkan Dhamma Cakra. (Neraka ini atas daripada neraka Avechi.) Neraka jenis Lokan Tarika walaupun terbuka dan tidak ada penutup, tetapi gelap gelita sehingga penghuninya tidak kenal antara satu sama lain. Macam mana mahu kenal kerana tidak dapat melihat langsung kerana terlalu gelap. Gelap gelita yang hitam pekat.

Digambarkan bahawa neraka ini begitu sejuk. Penghuninya tinggal di bahagian atas. Manakala bahagian bawah dan dasarnya mempunyai air berasid. Apabila terjatuh ke dalam akan hancur menjadi seperti debu.

"Gelap gelita" ini sebenarnya merujuk kepada "gelap hati" atau "gelap minda" sehingga tidak dapat melihat kebenaran. Gelap minda atau minda yang gelap berpunca daripada Pandangan Yang Salah (Micca Ditthi). Ini kerana neraka Lokan Tarika dihuni oleh makhluk yang mempunyai Pandangan Yang Salah sahaja. Makhluk yang melakukan Akuson Kammabot menghuni di neraka Avechi. Ini bermakna penghuni neraka Lokan Tarika ada peluang menerima cahaya Dhamma Buddha. Mereka berpeluang mengenali Pandangan Yang Betul (Samma Ditthi). Dalam maksud yang lain, penghuni neraka yang mempunyai Micca Ditthi, apabila mendengar Dhamma Buddha, pandangan mereka akan berubah menjadi Samma Ditthi.

Kita di sini sebenarnya beruntung kerana turut mendapat cahaya Dhamma Cakra. Bayangkan, bagaimana jika kita dilahirkan di tempat yang tiada ajaran Buddha. Tentulah kita tidak dapat mengenali kebenaran. Jikalau kita tidak menggunakan peluang ini dengan bijak, maka rugilah kita dillahirkan di bumi bertuah ini.









No comments: