Thursday, April 5, 2012

Kharawas Dhamma 4: Dhamma Untuk Keluarga

Belajar sekolah atau kelas Dhamma membuang masa. Ilmu Dhamma tidak boleh digunakan untuk mencari makan. Lebih baik tidak membuang masa hantar anak-anak ke sekolah Dhamma. Hanya ilmu sains, matematik, akaun, ekonomi, sejarah, geografi, bahasa dan sebagainya yang diajarkan di sekolah yang boleh menjamin masa depan. Beginilah antara beberapa rungutan sesetengah ibu bapa yang memandang sepi terhadap sekolah atau kelas Dhamma yang diajarkan di wat-wat Buddhis. 

Saya tidak menafikan bahawa rungutan mereka tidak semuanya salah. Ada yang betul. Ramai bapa-bapa dari kalangan orang Siam yang ada Sijil NakhTham A tetapi hidup umpama dada sifar ilmu. Sepatutnya orang yang ada sijil ilmu agama hidup terpuji yang menjadi teladan masyarakat dan generasi muda. Namun, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Sesetengahnya lebih teruk daripada orang yang jahil agama. 

Apa yang saya perhatikan, masalah in berpunca daripada 2 sebab utama.

1. Sikap individu yang tidak menghargai limu agama lalu mengabaikannya dan tidak dijadikan amalan dalam kehidupan. 

2. Sistem pendidikan Nakh Tham dan silibus yang ketinggalan zaman. Sistem ini tidak berjaya "membaiki minda" individu agar menghayati, menghargai dan seterusnya mengamalkan Dhamma dalam kehidupan harian. Dhamma yang diajar di wat-wat Buddhis ialah ajaran Buddha yang telah memberi Pencerahan kepada ratusan ribu manusia. Malangnya, sistem yang menjadi penyampai Dhamma kepada manusia kurang berkesan. Sijil hanya dijadikan hiasan dinding. Ilmu sekadar hafalan yang tidak pernah diamalkan. (Masalah sistem yang ketinggalan zaman ini pernah dibincangkan dalam forum agama di universiti di Thailand).

Daripada 2 punca inilah menyebabkan terdapat sesetengah ibu bapa yang memandang serong terhadap sekolah Dhamma. Sedangkan hakikatnya, Dhamma merupakan ilmu teragung yang mampu membentuk sahsisah manusia yang tiada mana-mana ilmu boleh menandinginya. Dalam kata lain hanya ilmu Dhamma berjaya "membentuk manusia menjadi manusia yang baik" di dunia ini. Orang yang ada ilmu Dhamma, secara langsung atau tidak langsung, apabila menzahirkanya, akan menjadi orang terpuji, berjaya dan berbahagia sepanjang hayat. Ilmu sains, matematik, akaun dan lain-lain tanpa ilmu Dhamma di jiwa, bakal menjerumuskan manusia ke lembah durjana. 

Seorang doktor harus mempunyai Dhamma sekiranya ingin berjaya dalam pembedahan. Seorang anggota polis mesti mempunyai Dhamma jikalau mahu menangkap pencuri. Penulis juga mesti ada Dhamma jika mahu menghasilkan penulisan yang baik. Dhamma yang saya maksudkan ialah Kharawas Dhamma 4. Ini cuma sekadar contoh. Banyak lagi Dhamma lain yang amat berfaedah kepada kehidupan harian. 

Jadi, untuk mengelakkan ibu bapa memandang serong atau memandang sepi sekolah Dhamma, sistem dan pendekatan harus diubah. Dhamma yang diajarkan harus berkesan pada jiwa pelajar. Pelajar harus berasa penting akan Dhamma. Ini memerlukan perubahan yang drastik. Memerlukan pembaikan yang menyeluruh. Siapa yang bertanggungjawab melakukannya? Guru-guru di sekolah Dhamma di wat-wat Buddhis. Jika tidak, pendidikan Dhamma akan jadi kaku, beku dan tidak bernilai. 

Kharawas Dhamma 4 (ฆราวาสธรรม) merupakan ajaran Buddha yang ditujukan khas kepada kehidupan masyarakat biasa (kehidupan berkeluarga). Dhamma ini mampu memberikan kejayaan kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dhamma 4 perkara ini merupakan "Akaliko" yang tidak akan ketinggalan zaman, tidak lapuk atau usang. 

Dhamma ini diceritakan oleh Buddha kepada Yak bernama Alavaka yang angkuh dan sombong (rujukan Tipitaka). Setiap individu dan keluarga harus mempunyai dan mengamalkan Dhamma ini sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. 

1. Sacca (สัจจะ)- Maksud asal Sacca ialah benar atau kebenaran. Tetapi Sacca di sini mencakupi maksud yang luas iaitu benar, integriti, ikhlas dan ada kesungguhan. Individu yang ada Sacca akan berpegang pada kata-kata, setia pada persahabatan, ada kesungguhan dalam pekerjaan, boleh diharap dan cakap serupa bikin. Sacca menjadikan seseorang dihormati dan disanjungi. 

2. Dama (ทมะ)- Membaiki diri, melatih diri, meningkatkan keupayaan diri, mengawal diri dan menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran yang sentiasa berubah-ubah. Orang yang ada Dama sentiasa meningkatkan keupayaan dan kemampuan diri mengikut keperluan semasa. Oleh sebab itulah orang yang ada Dama tidak pernah jemu-jemu menuntut ilmu, menambahkan pengetahuan. 

3. Khanti  (ขันติ) - Tabah dan sabar. Tabah kepada cabaran dan dugaan hidup. Tabah kepada permasalah yang bertali arus. Sabar terhadap tohmahan dan kutukan. 

4. Caga (จาคะ)- Berkorban, memberi atau menderma. Memberi kebajikan, bantu-membantu, tolong-menolong, dan sedia berkongsi apa-apa yang patut. Membuang kemarahan, ketamakan, dendam dan segala perasaan yang buruk dari hati termasuk dalam caga.

Dama merupakan "penghulu" kepada beberapa Dhamma yang lain. Sesiapa yang tiada Dhamma ini, maka kehidupannya menjadi mundur atau tidak maju. Dama yang bermaksud "membaiki diri" sekiranya sesiapa yang sedia "membaiki diri", pasti dia akan berjaya. Lihatlah orang yang berjaya di dunia, semuanya bersedia "membaiki diri" agar menjadi lebih baik. Syarikat-syarikat Jepun yang maju juga kerana sentiasa "membaiki diri" supaya prestasi dapat ditingkatkan dari masa ke masa. 

Orang yang tidak bersedia "membaiki diri" akan berdiri di tempat yang sama biarpun berpuluh tahun berusaha. Usaha tanpa "membaiki diri" hanya membawa sedikit kejayaan umpama pisau pemotong daging yang tumpul. Daging boleh dipotong tetapi hasilnya akan lebih cepat sekiranya pisau diasah tajam. 

Seorang pengusaha kedai membaiki motosikal pada asalnya mungkin pengusaha kedai membaiki basikal sahaja. Kerana ada Dama, dia meningkatkan diri mempelajari cara membaiki motosikal mengikut keperluan semasa. Akhirnya dia bukan sahaja pengusaha kedai membaiki motosikal bahkan pengedar motosikal. 

Mereka yang ingin kepada kejayaan, kemajuan dan kebahagiaan mental dan fizikal mesti mempunyai Dama. Apabila mempunyai Dama, Dhamma yang lain pun akan datang dengan sendiri.  
  
Sistem pendidikan Dhamma harus relevan dengan perubahan zaman. Dhamma Buddha tidak akan lapuk dan usang, tetapi sistem pendidikannya mesti diubahsuai agar selaras dengan keperluan generasi semasa. 









1 comment:

Anonymous said...

suka posting ini.