Saturday, April 7, 2012

Mara: Kita membesar Bersama Syaitan!

Mara (Thai: Marn) dalam bahasa Pali bererti "mati" atau "penyebab kepada kematian". Kamus Rajabanditsathan memberikan pelbagai makna iaitu; sejenis "Devata" yang berhati jahat (hati dipenuhi dosa) yang sentiasa menghalang manusia melakukan kebaikan (pahala); Yak; pembunuh; dan pemusnah. Dalam agama Buddha, Mara merujuk kepada "penghalang kebaikan (bun-kuson)" yang kesemuanya ada 5 jenis yang dipanggil Bencapitha-Mara (Khanda Mara, Kilesa Mara, Abisankhara Mara, Maccu Mara dan Devaputera Mara). Kesimpulannya Mara ialah penghalang dan penyekat kepada kebaikan.

Mara dalam bahasa Melayu, disamakan dengan syaitan atau iblis. 

Dalam riwayat hidup Buddha, Mara wujud banyak kali iaitu untuk menggoda Baginda Buddha, menyekat Baginda daripada menyebarkan ajaran dan mohon Baginda segera mangkat.

Dalam sebuah Sutta diceritakan bahawa tiga Puteri Mara iaitu Puteri Tanha, Puteri Oradi dan Puteri Raga pernah menggoda Baginda Buddha tetapi tidak berjaya.

Pada suatu hari tiga Putera Mara mengadap Raja Mara selaku ayahanda mereka. Raja Mara duduk kesedihan seorang diri. Puteri Mara ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang menyakiti hati Raja Mara. Mereka mahu pergi menjerat lelaki itu dengan hawa nafsu dan membawa menghadap Raja Mara sebagaimana pemburu membawa gajah liar dari hutan. Lelaki itu pasti akan berada di bawah kuasa Raja Mara.

Raja Mara memberitahu bahawa itu bukan lelaki biasa tetapi Arahant. Tiada siapa mampu menjeratnya dengan nafsu kerana dia telah bebas daripada nafsu syaitan. Oleh sebab itulah Raja Mara bersedih hati.

Puteri Mara tidak peduli. Mereka pergi mengadap Baginda Buddha. Mereka mohon untuk menghiburkan Buddha. Namun, Baginda tidak menghiraukannya kerana fikiran Baginda sedang fokus pada keadaan Baginda yang telah bebas daripada Kilesa.

Puteri Mara beredar keluar dan berbincang seketika untuk mencari jalan supaya dapat menggoda Buddha. Mereka berpendapat bahawa minat lelaki berbeza-beza. Mereka lalu menjelma menjadi ratusan wanita muda yang cantik jelita dan menghadap buddha sekali lagi. Mereka mohon untuk menghiburkan Buddha tetapi tidak dipedulikan oleh Baginda. Mereka keluar lagi untuk berbincang.

Kali ini 3 Puteri Mara menjelma menjadi ratusan gadis muda yang belum kahwin kerana berpendapat lelaki suka kepada perawan. Seperti biasa, Buddha tidak mempedulikannya. Mereka menjelma pula sebagai wanita yang sudah melahirkan anak, tetapi tetap tidak diberikan perhatian oleh Buddha.

Kemudian ketiga-tiga Puteri Mara itu menjelma menjadi pelbagai wanita, beratus-ratus banyaknya, misalnya wanita beranak dua, wanita pertengah usia dan wanita dewasa, tetapi semuanya gagal menggoda Buddha. Fikiran Buddha tetap fokus pada keadaan (Baginda) yang telah bebas daripada Kilesa.

Puteri Mara begitu kecewa dan sakit hati kerana gagal menggoda Buddha untuk dibawa kepada Raja Mara. Puteri Mara lalu berfikir bahawa lelaki tersebut seorang Arahant yang tidak mungkin dapat dijerat dengan nafsu syaitan.

Biasanya, apabila Puteri Mara menggoda Samana atau Brahmana lain yang belum bebas daripada nafsu dengan cara begini, hati Samana atau Brahmana tersebut akan pecah berderai; atau darah akan mengalir keluar melalui hidung; atau akan menjadi gila; atau hati akan hilang tumpuan; atau akan jadi seperti daun dilayur api sehingga layu dan terkulai.

Puteri Mara yang bernama Tanha bertanya kepada Buddha.

"Tuan kesedihan hati sehingga bersendirian di hutan begini?"

"Tuan telah tinggalkan harta kekayaan atau sedang mencarinya?"

"Tuan telah membuat apa-apa kejahatan di rumah?"

"Kenapa Tuan tidak berkawan dengan orang ramai atau Tuan gagal berkawan dengan orang lain?"

Buddha lantas menjawab.

"Kita telah menang ke atas rupa (bentuk) yang menarik dan memikat hati. Kita telah tahu bahawa ketenangan minda sangat berfaedah. Sebab itulah kita tidak bersahabat dengan sesiapa kerana persahabatan itu tidak membawa sebarang faedah kepada kita." (Tiada sesiapa di atas muka bumi ini yang setaraf dengan Baginda untuk dijadikan sahabat.)

Selepas itu, Buddha menjelaskan bahawa Baginda telah mencapai pencerahan minda, ketenangan tertinggi, bebas daripada segala kebelengguan dan kemelekatan. Baginda juga telah bebas daripada "Okha 4". Okha ialah lembangan atau tasik besar yang diumpamakan seperti Kilesa. Lembangan air akan menenggelamkan sesiapa sahaja yang tidak reti berenang. Arus air yang deras akan menghanyutkan semua orang yang terjatuh ke dalamnya. Empat Okha yang utama ialah Kama (kenikmatan deria), Bhava (tempat lahir), Ditthi (pegangan) dan Avijja (kejahilan). Oleh itu, segala objek nafsu tidak mungkin dapat mempengaruhi Baginda.

Selepas itu, Puteri Mara pun berkata seperti orang yang tertewas: "Baginda merupakan Ketua yang menjaga sekumpulan Bhikkhu (yang telah berjaya memutuskan nafsu serakah) dan kumpulan manusia yang begitu ramai. Baginda tiada kesedihan kerana telah bebas daripada kematian dan bakal memimpin umat manusia menuju Nibbana.

Buddha berkata Baginda akan memimpin umat manusia dengan cara yang benar. Apabila Baginda memimpin umat manusia (menuju Nibbana) dengan cara yang benar, kenapa kaum bijak pandai harus berasa cemburu?

Akhirnya, Buddha berjaya "menghalau" Puteri Mara yang cantik jelita pulang.

Dengan hati yang gundah gulana, ketiga-tiga Puteri Mara balik menghadap Raja Mara. Dari jauh Raja Mara telah nampak Puteri Mara balik lalu berkata: "Orang bodoh hendak merobohkan gunung dengan batang teratai, korek gunung dengan kuku dan mengunyah batang besi dengan gigi. Sesiapa yang mahu mengganggu Samana Gotama (Buddha) umpama mengikat bongkah batu besar di atas kepala, kemudian lompat ke laut, atau umpama orang yang melanggar tunggul kayu dengan dada!"

Jikalau dilihat kepada makna Mara yang diberikan di atas, kita dapat simpulkan bahawa semua yang menjadi penghalang kepada kebaikan ialah Mara. Dalam diri kita juga ada Mara. Kilesa Mara merupakan Mara yang selalu menghalang kita daripada membuat kebaikan dan menarik kita kepada kejahatan. Jadi, apabila kita menghadapi kesusahan, jangan cepat menuding jari kepada orang lain. Mungkin Mara di dalam diri kita - yang membesar bersama kita - menjadi puncanya. Mara ini membenih dan membesar bersama kita sejak kita mengenali dunia. Setiap hari, asyik meniup telinga kita agar melakukan kejahatan. Setelah kita kenal dan sedar akan kewujudannya, maka eloklah kita berusaha membunhnya agar kehidupan kita bebas daripada kejahatan.
 

No comments: