Sunday, April 1, 2012

Mengamalkan Dhamma Bukan Duduk Pejam Mata!

Istilah "Patibat Dhamma" yang kita fahami merujuk kepada perbuatan "mengamalkan Dhamma" bagi mencapai Magga, Phala dan Nibbana (Thai sebut Mark, Phon, Nippan) iaitu Samadhi-Pavana. Samadhi-Pavana ialah usaha membersihkan minda, meningkatkan kebijaksanaan mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan. Oleh itu, orang yang pergi mengamalkan Samadhi di wat atau samnakh tertentu lazimnya dipanggil pergi Patibat Dhamma. Namun, mengikut Phra Dhamma Pitaka (P.A Payutto) dalam buku Buddha-Dhamma, pemahaman begini adalah salah. Sebenarnya istilah "Patibat Dhamma" membawa pengertian yang lebih luas iaitu "mengambil Dhamma untuk digunakan dalam kehidupan harian" atau "menjalani kehidupan harian mengikut Dhamma". 


Dhamma begitu banyak. Dhamma yang manakah yang perlu diambil untuk digunakan (diamalkan) dalam kehidupan harian? Kehidupan manusia berbeza mengikut latar politik, ekonomi, sosial. Oleh itu, Dhamma yang diperlukan juga berbeza bergantung pada keperluan dan kepentingan. 


Walau bagaimanapun, terdapat beberapa Dhamma yang perlu diberikan keutamaan oleh semua kaum Buddhis untuk diterapkan ke dalam kehidupan harian.


1. Sila 5 - Ini merupakan syarat asas menjadi kaum Buddhis. Sekiranya dapat mengamalkan Sila 8 atau lebih tinggi lebih baik. Sebenarnya Sila ini tidak terhad kepada 5, 8, 10, atau 227 seperti yang kita fahami. Sila ialah moral yang menjadikan seseorang itu "orang baik" yang tidak terhad banyaknya. Walau bagaimanapun, sebagai permulaan untuk kehidupan yang bahagia, memadailah dengan Sila 5 terlebih dahulu. 


2. Phrom Vihara 4 - Metta, Karuna, Mudita dan Upekkha. Manusia mesti ada perasaan kasih sayang antara satu sama lain. Dunia akan hancur apabila hati manusia dipenuhi dengan kebencian. Oleh itu, kasih sayang - terutamanya kasih sayang tanpa sempadan - menjamin kebahagiaan masyarakat manusia. Kasih sayang mesti bermula dengan diri sendiri. Orang yang sayang kepada diri tidak akan melakukan sesuatu perkara yang bakal menyusahkan dirinya. Kemudian kasih sayang kepada keluarga, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan manusia sejagat. Kasih sayang kepada haiwan, alam persekitaran dan negara tumpah darah juga tidak boleh diabaikan. 


3. Kebajikan - Apabila kita ada cukup makan, cukup pakai, kita jangan lupa kepada orang lain yang nasibnya mungkin tidak sebaik kita. Kita mesti sedia berkongsi dan berkorban apa-apa yang patut. Kita mesti bermurah hati membuat kebajikan kepada mereka yang memerlukannya. Kita tidak boleh berbahagia di atas kesusahan orang lain. Kaum Buddhis tidak sepatutnya berasa berbahagia sekiranya orang di depan mata hidup derita. Mahayana nampaknya lebih ke depan dalam soal kebajikan berbanding Theravada. Menderma darah dan organ tidak harus dianggap sesuatu yang sukar dilakukan. 


4. Memajukan diri - Kaum Buddhis tidak boleh mengabaikan tanggungjawab membangunkan dan memajukan diri. Buddha mengajar kita agar rajin, tekun dan sabar. Iddhibat 4 dan Pala 5 misalnya adalah untuk kemajuan diri. Pendidikan moden dan pendidikan agama ialah faktor utama kemajuan diri. Pendidikan moden (sekular) tanpa pendidikan agama akan melahirkan manusia yang pincang sahsiahnya. Selepas berjaya mencapai kemajuan diri, kita mesti membantu orang lain. Ini matlamat Buddha. Baginda mencapai Nirvana, kemudian mengajar Bhikkhu mencapai Nirvana. Baginda berpesan kepada Bhikkhu, setelah mencapai tahap tertentu, mereka mesti mengajar kaum Buddhis. Kaum Buddhis pula setelah mencapai tahap tertentu, mesti mengajar orang lain juga. Kemajuan diri tidak seharusnya terhenti di situ tetapi mesti disumbangkan untuk kemajuan orang lain, masyarakat, agama, negara dan sebagainya. 


5. Bersifat adil - Keadilan sangat penting. Kita mesti adil dalam keluarga, adil dalam perhubungan manusia dan masyarakat. Sekiranya kita seorang bapa, kita mesti adil kepada semua anak-anak kita. Jikalau kita ketua kampung, kita mesti adil kepada semua anak kampung kita. Jikalau kita ketua negara, kita mesti adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Buddha mengajar kita tentang "Akhati" iaitu sifat tidak adil atau bias berpunca daripada 4 faktor iaitu (1) kerana sayang, (2) kerana benci, (3) kerana bodoh atau jahil, (4) kerana takut. Ketidakadilan membawa musibah kepada manusia. Bayangkan seorang hakim yang tidak adil menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah yang melakukan kesalahan ringan. Apa akan terjadi kepada keluarga dan anak-anaknya? Apa akan terjadi dengan pelajar sekiranya guru tidak adil dalam pemberian markah peperiksaan? Bahkan kita juga mesti adil kepada diri sendiri. 


6. Memberi kemaafan - Mustahil dalam perhubungan manusia tidak pernah berlaku pertengkaran kecil mahupun besar. Malahan perasaan tidak berpuas hati yang kecil pun boleh menimbulkan kemarahan. Oleh itu, kita mesti sedia memberi kemaafan. Kita tidak boleh berdendam atau simpan kemarahan untuk dibalas. Buddha amat menyanjungi orang yang memaafkan orang lain. 


Inilah antara 6 Dhamma yang penting untuk diamalkan dalam kehidupan harian. Banyak lagi Dhamma lain yang diperlukan dalam kehidupan harian. Namun, terpulang kepada keperluan masing-masing. 


"Patibat Dhamma" bukan sekadar duduk Samadhi, pejam mata "lihat itu dan ini" mengikut fikiran yang tidak terkawal, tetapi merangkumi ruang yang luas yang meliputi segenap sudut kehidupan manusia. 







5 comments:

Anonymous said...

Baca artikel dhamma dengar dhamma termasuk patibat dhamma juga ke tuan KSB?

Anonymous said...

Dalam kategori Bun kiriya vatthu. tambun.

Anonymous said...

Artikel yang bagus untuk bacaan umum.

Anonymous said...

Sawade

Syabas saya ucapkan kpd Tn Pena. Harap di masa akan datang penuhilah laman ini dgn pelbagai ilmu yg dpt semua org baca dan memanafaatkan segala ilmu itu utk membantu masyarakat kita dll.

Sadu sadhu

pena reformasi said...

Anon 11:19 AM, Terima kasih kerana membaca KSB. Saya akan berusaha menjadikan KSB sebagai ruang ilmu untuk tatapan umum terutama kaum Thai kita.