Sunday, April 8, 2012

Online: Cara Mudah Dapat Pahala

Sewaktu saya kanak-kanak dahulu, masa masuk Phansa selama 3 bulan, orang kampung akan pergi ke wat mendengar Phra Sangha suatmon. Selepas Phra Sangha suatmon, giliran orang kampung pula suatmon. Selepas itu, bhikkhu akan memberikan desana (khutbah Dhamma). Sekali-sekali saya ikut sama. Bukan pergi suatmon atau mendengar desana, tetapi mahu pergi bermain dengan kwan-kawan. Jikalau dapat minum kopi atau teh bekas Phra Sangha minum, kira bernasib baik. Biasanya masa masuk Phansa bersamaan dengan musim buah-buahan. Maka bukan perkara pelik buah-buahan di wat sering menjadi sasaran kecurian oleh budak-budak nakal. Saya tidak terkecuali.

"Curi buah-buahan wat mati jadi Pret (Peta)!" Begitu orang tua-tua menakutkan kami, tetapi kurang berkesan. Budak-budak mana tahu takut.

"Buat bising masa Phra suatmon atau Phra Desana, mati dilahirkan semula jadi bisu dan pekak!" Ini pun peringatan juga, tetapi tidak menggerunkan kami.

"Suatmon dan dengar desana dapat bun (pahala)." Ini pun kami tidak peduli.

"Kumpul banyak bun barami, mati pergi syurga!" Kami tercengang seketika mendengarnya.

Orang tua-tua menggambarkan syurga suatu tempat yang memberi kesenangan dan kebahagiaan. Semua keinginan akan dipenuhi dengan segera. Ingin makan nasi, nasi terus terhidang di depan. Belum jamah, telah kenyang dengan sendiri. Ingat mahu tidur, ranjang emas terdampar di depan mata. Semuanya berbentuk ajaib. Ingat sahaja, terus muncul. Kesengsaraan sama sekali tiada. Ini pun kurang diberikan perhatian. Budak-budak hanya mahu bermain dan berhibur sahaja. Dhamma tidak pernah melekat di kepala. Setelah umur mencapai belasan tahun baru terbuka sedikit hati untuk mengenali Dhamma.

Dahulu bhikkhu memberi desana dengan membaca dhamma yang ditulis dalam daun lontar. Lazimnya, desana berkisar pada cerita-cerita teladan "berbuat baik mendapat baik, berbuat jahat mendapat jahat" dipilih. Cerita Jataka menjadi pilihan uatama di samping kisah kehidupan Buddha. Dhamma berkenaan Trilaksana, Ariya Sacca 4 dan Magga kurang diberikan perhatian, kecuali kepada golongan tertentu yang telah mempunyai asas pengetahuna agama.

Desana daripada cerita teladan ini amat sesuai dengan keadaan masyarakat Thai pada waktu itu. Cerita-cerita teladan mudah difahami. Phra Vessandorn merupakan teladan kepada mereka yang berbuat baik. Manakala Chuchok pengajaran kepada orang yang tamak haloba.

Desana berbentuk komunikasi sehala. Bhikkhu menyampaikan desana. Orang kampung kusyuk mendengar. Sesi soal jawab tiada. Jikalau tidak faham, tanyalah orang lain kemudian. Desana memberi pahala (bun) kepada kedua-dua pihak iaitu penyampai dan pendengar. Kerana mahu pahala, orang kampung begitu rajin pergi dengar desana di wat. Pahala ialah kebaikan. Mendengar desana, kita mendapat 3 kebaikan, iaitu:

1. Memberikan pengetahuan baru.

2. Menambahkan pengetahuan yang sedia ada.

3. memperbetulkan pengetahuan yang tidak betul atau salah.

Mendengar Dhamma dalam bahasa agama disebut Dhammassavanamai. Dhammassavanamai sebenarnya merangkumi 3 perkara iaitu mendengar desana, mendengar ucapan Dhamma dan berbincang Dhamma. Berbincang Dhamma disebut Dhammasakaccha.

Sekarang ini desana kurang popular. Cara penyampaiannya ketinggalan zaman dan membosannya. Lantas ceramah Dhamma atau ucapan Dhamma secara bersahaja (bukan membaca buku atau daun lontar) digunakan. Penyampaiannya pula berbentuk komunikasi dua hala. Ada sesi soal jawab yang boleh memantapkan pemahaman. Pemahaman yang betul amat penting.

Hari ini saya mahu menyentuh tentang Dhammasakaccha iaitu berbincang Dhamma. Berbincang Dhamma ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja; di rumah, di sekolah atau di tempat kerja mengikut kesesuaian masa. Membaca Dhamma secara online mendapat sambutan yang menggalakan. Begitu juga dengan perbincangan Dhamma secara online semakin mendapat sambutan ramai di seluruh dunia.

Dhamma online - web, blog, youtube, forum, Facebook, Twitter dan lain-lain begitu popular. Untuk mengetahui Dhamma kita tidak perlu pergi wat, membeli buku atau video. Buka komputer, akses internet semua ada. Kita boleh mencapat pahala dengan hanya duduk di rumah.

Dahulu forum Dhamma mendapat sambutan ramai. Di Thailand terdapat beratus-ratus forum Dhamma. Sekarang beralih kepada Facebook. Bhikkhu yang terkenal ramai menggunakan Facebook bagi menyampaikan Dhamma. Apa-apa pun boleh asalkan tujuannya tercapai. Tujuan berbincang Dhamma adalah bagi menambahkan dan memperbetulkan pengetahuan Dhamma. Daripada perbincangan, kita akan dapat pengetahuan baru dari pelbagai sudut pandangan. Pandangan setiap orang berbeza. Daripada pelbagai pandangan dapat kita membuat kesimpulan pandangan bagaimana untuk dijadikan pegangan dan amalan kita.

Cuma kita perlu ingat bahawa perbincangan harus dengan ketulusan hati untuk "menambahkan ilmu dan memperbaiki pemahaman Dhamma".

Berbincang Dhamma bukan untuk menunjuk-nunjuk, apatah lagi untuk mempertontonkan kehebatan, keangkuhan dan kesombongan kita. Kita tidak boleh jadi seperti katak yang mengembung sewaktu berbincang Dhamma. Kita tidak boleh jadi ketam yang suka mengangkat-angkat penyepitnya. Kita tidak boleh jadi seperti orang politik yang suka mencari salah pihak lawan. Kita tidak boleh jadi seperti maharaja yang hanya mahu menang sahaja. Jika tidak, kita hanya akan menambahkan dosa.

Perbincangan Dhamma yang betul yang bakal mendapat pahala sebagaimana yang termaktub dalam kitab agama ialah:

1. Sebelum berbincang hati mesti jujur, lapang dan tenang untuk berkongsi ilmu.

2. Sewaktu berbincang hati mesti ikhlas, telus, tidak bias dan berfikiran positif dalam perkongsian ilmu.

3. Selepas berbincang, hati mesti berasa gembira kerana telah memberi dan menerima pengetahuan baru.

Perbincangan mesti mengelakkan daripada menyakitkan hati orang lain dengan sengaja. Selepas perbincangan mesti berasa senang hati dan gembira. Jikalau kita berasa sakit hati, bererti kita gagal mendapat pahala. Lebih baik lain kali tidak usah berbincang kerana dosa yang kita dapat, bukannya pahala. Sakit hati, marah atau dendam ialah dosa. Senang hati, gembira atau bahagia ialah pahala.

Menyampaikan Dhamma, membaca Dhamma, mendengar Dhamma dan berbincang Dhamma secara online mendapat pahala sebagaimana dilakukan secara konvensional. Hanya teknik berubah. Isi dan tujuannya tetap sama.  Tambun online ini lebih menjimatkan masa, ruang dan wang ringgit.






No comments: