Saturday, April 14, 2012

Raja Syaitan (1)

Sebelum ini KSB pernah tulis tentang Mara (Thai: Marn). Hari ini akan disambung lagi. Mara di sini bukan Majlis Amanah Rakyat. Mara di sini biasanya disinonimkan dengan syaitan atau iblis kerana sifatnya yang menghalang kepada kebaikan, menyeru kepada kesesatan dan mengajak kepada kelalaian.

Sebenarnya apa yang disebut Mara ini dapat dibahagikan kepada 5 jenis iaitu:

1. Khanda Mara - Khanda 5 iaitu tubuh badan yang uzur menjadi penghalang daripada membuat kebaikan. Oleh itu, jagalah kesihatan tubuh badan agar boleh membuat kebaikan.

2. Abhisankhara Mara - Merujuk kepada Cetana Kamma (melakukan Karma dengan sengaja) 3 perkara iaitu (1) Punna Bhisankhara (melakukan Karma yang baik, membuat pahala); (2) Apunna Bhisankhara (melakukan Karma jahat, membuat dosa); (3) Aneyaja Bhisankhara (membuat Karma dalam Arupa Jhana Kusala). 

Bagi sesetengah orang, mungkin berasa pelik. Membuat kebaikan atau membuat pahala (bun) pun termasuk dalam kategori Mara. Ini kerana membuat pahala, membuat dosa atau melakukan Samadhi tahap Arupa Jhana Kusala (tahap Phrom) masih menjadi punca kepada kelahiran semula (Patisonthi). Apabila berlaku kelahiran semula, bermakna belum bebas daripada Dukkha. Abhisankhara dikatakan Mara kerana menghalang manusia daripada bebas daripada Dukkha, sebaliknya kekal dalam Vatta Samsara yang tiada kesudahan. Dalam kata lain, Abhisankhara dikatakan Mara kerana menghalang manusia daripada mencapai Magga, Phala dan Nibbana. 

Kepada mereka yang suka membuat pahala (bun) berpada-padalah supaya tidak melekat dengan pahala sehingga mengabaikan Magga, Phala dan Nibbana. Pahala membuatkan seseorang kekal dalam Vatta Samsara. Selagi berada dalam Vatta Samsara, selagi itulah penderitaan tidak akan berakhir. Untuk mengakhiran penderitaan (Dukkha) seseorang itu mesti mengamalkan Magga, Phala dan Nibbana. Perkara ini harus difahami dengan baik supaya kita tidak "lalai dan sesat" dalam apa yang dipanggil pahala atau bun atau tambun itu.


3. Kilesa Mara - Mara ialah Kilesa iaitu Lobha (tamak), Dosa (marah) dan Moha (sesat) ialah Mara kerana menghalang kepada kebaikan, melalaikan dan menyesatkan. 

4. Macchu Mara - Mara ialah kematian. Kematian memusnahkan segala dalam kehidupan. Adakala ketika seseorang sedang maju dalam duniawi dan bukan duniawi, tetapi malangnya dia meninggal dunia terlebih dahulu sebelum mencapai kejayaan yang sebenar. Seseorang yang mengamalkan Dhamma tahap tertentu tiba-tiba meninggal dunia. Kematian telah menyekat peluangnya mencapai tahap lebih tinggi. Inilah yang dikatakan kematian ialah Mara.

5. Devaputta Mara - Mara ialah Deva Putera. Ini merujuk kepada Devata yang nakal yang sentiasa menyekat manusia daripada membuat kebaikan. Devata ini suka sangat mempengaruhi atau menggoda manusia agar menjauhi kebaikan. Devata yang tertinggi yang selalu menghalang kebaikan ialah Phaya Mara yang bernama Vasavatti. Phya Mara atau Raja Syaitan ini dikatakan tinggal di Syurga tingkat 6 bersama Devata lain. Phya Mara mengawal kumpulan Devaputta Mara. 

Phaya Mara inilah yang selalu mengacau Buddha. Sewaktu Putera Siddharta keluar dari istana untuk mengamalkan kehidupan samana, Phya Mara muncul dan mohon supaya Siddharta tidak melakukannya kerana masa untuk menaiki takhta sudah hampir tiba. Apabila menaiki takhta, Putera Siddhata akan jadi raja yang terkenal. Namun, Putera Siddharta tidak berjaya dipengaruhi. Sebaliknya, Baginda menghalau Raja Syaitan itu beredar pergi dengan kecewa. 

Sewaktu Baginda mengamalkan Dhamma dengan tekun dan seksa, Raja Syaitan ini muncul lagi dan berbisik bahawa Buddha tidak tertahan lagi melawan cabaran, Buddha sudah lemah dan kehabisan tenaga. Lebih baik mati sahaja.

Setelah Buddha berjaya mencapai Pencerahan Sempurna (Trassaru), Raja Syaitan ini datang lagi. Kali ini dia mohon Baginda supaya Parinibbana (mangkat). Dia takut Buddha membawa semua manusia ke Nibbana sehingga tiada roh yang akan ke syurga. Dikisahkan bahawa apabila manusia hendak mati, Raja Mara akan datang mempengaruhi manusia dengan pelbagai cara dan umpan untuk dibawa ke Syurga yang dihuninya untuk dijadikan kerabatnya.

Dahulu kita diberitahu bahawa Mara akan mempengaruhi kita membuat dosa agar kita jatuh ke neraka. Padahal hakikatnya Mara juga akan mempengaruhi kita membuat pahala sehingga kita menjadi lalai dan mengabaikan jalan Nibbana.

Namun, permintaan Raja Syaitan ditolak oleh Buddha. Buddha berkata selagi Dhamma-vinai (agama Buddha) tersebar luas, Baginda tidak akan Parinibbana.

Bukan setakat Buddha, Bhikkhu, Bhikkhuni, Upasaka dan Upasika juga selalu menjadi sasaran Raja Syaitan. Dia datang mengacau dengan pelbagai cara - menghiburkan, melalaikan, menyesatkan, menggembirakan, menyeronokkan, membimbangkan, menakutkan dan sebagainya.




No comments: