Sunday, April 15, 2012

Raja Syaitan (2)

Sebenarnya, sesiapa sahaja, manusia, dewa, atau Phrom yang menjadi penghalang kepada kebaikan akan digelar sebagai Phaya Mara atau Raja Syaitan. Sekiranya seorang Bhikkhu tertentu menghalang Bhikkhu lain atau manusia seluruhnya daripada membuat kebaikan, Bhikkhu tersebut juga dikenali sebagai Mara. Orang biasa yang menghalang kebaikan juga dipanggil Mara. Persatuan yang menghalang orang membuat kebaikan juga digelar Mara. Pendek kata, semua makhluk yang menghalang, menyekat atau membenteng orang lain membuat baik, dinamakan Mara. 

Phaya Mara atau Raja Syaitan ini bukan sembarangan. Dia bijak membaca fikiran manusia. Dia bijak mengintai kelemahan manusia. Dia tahu manusia mahu apa, itulah benda yang diberikan asalkan manusia lalai daripada membuat kebaikan. Bhikkhu sasaran utama Raja Syaitan. Dia tahu Bhikkhu merupakan penyampai khutbah Dhamma kepada umat manusia. Apabila manusia mengamalkan Magga, Phala dan Nibbana, tiada lagi "roh-roh" yang akan dibawa naik ke syurga. Raja Syaitan percaya selepas manusia mati, ada roh yang keluar dari tubuh manusia. Roh ini akan dibawa ke syurga Paranimita Vasavatti untuk dijadikan kerabat Mara. Ramai Bhikkhu yang tersungkur oleh godaan Raja Syaitan. jika Raja Syaitan gagal, dia hantar anak gadisnya yang bernama Puteri Tanha dan Puteri Raga datang menggoda.

Di sebuah wat di Kelantan, Puteri Tanha yang muda (20-an) lagi jelita tetapi sudah berkahwin selalu datang jemput bhikkhu muda keluar ... pergi mana tiada siapa tahu. Orang kampung hanya tahu pergi sahaja. Entah pergi mana. Puteri Tanha ini pun pelik. Sudah berkahwin tetapi tinggal berasingan dengan suaminya. Khabarnya suaminya balik tinggal di kampung kerana terpaksa jaga ibunya yang uzur. Suami jenis Devata yang baik hati. Isteri tidak mahu ikut. Tidak ikut suami tidak mengapa kerana isteri askar pun kadang ada yang tidak ikut suaminya. Akan tetapi pergi bawa bhikkhu muda keluar makan angin bukan sesuatu yang elok. Setakat makan angin boleh dimaafkan lagi. Jika makan benda lain ... ah, sengal gigi memikirkannya.

Jikalau bhikkhu jenis materialistik, Raja Syaitan akan hantar barang untuk menggoda. Misalnya kereta, Pajero yang gagah lagi hebat. ramai yang terliur. Bhikkhu yang tergoda dek syaitan, maka dengan senang hati beli Pajero itu. Kereta yang lama disimpan. Maknanya ada dua buah kereta. Bhikkhu ada dua buah kereta, berpinar-pinar mata orang melihatnya. Apa boleh buat, godaan Raja Syaitan begitu hebat.

Sekarang Raja Syaitan tahu manusia suka kepada hiburan yang merangsang nafsu, maka hiburan inilah yang disogokkan kepada umat Buddha.Raja Syaitan ini menjelalah ke segenap perkampungan Siam bagi menyogokkan hiburan murahan. 

Sudah ramai Phor Than dan bhikkhu, termasuk yang diwar-warkan sebagai pengamal Dhamma yang gigih, tersungkur dek pujuk rayu Raja Syaitan. Hari kebesaran agama mahupun hari jadi Phor Than semuanya jadi sasaran Raja Syaitan. Penyanyi dari Thailand menjadi pilihan Raja Syaitan untuk menggoda Phor Than. Dia tahu bahawa Phor Than hanya luaran sahaja nampak mempunyai Dhamma Dhammo, tetapi dalaman dipenuhi Kilesa. Pemimpin wanita sampai menangis gembira melihat orang ramai datang menyaksikan hiburan Raja Syaitan. Phor Than pun tersengih-sengih suka hati. Menghiburkan hati orang adalah baik. Akan tetapi selaku bhikkhu, mereka mesti menghiburkan hari umat dengan Jhana Samabat, bukan dengan hiburan atau nyanyian. Ini semua Kilesa. 

Raja Syaitan juga pernah mempengaruhi Phor Than Thit dengan mempelawakan persembahan penyanyi terkenal. Akan tetapi seperti yang diketahui umum Than Thit bukan sembarangan Phor Than. Baliau banyak makan garam. Beliau menolak pelawaan Raja Syaitan. Maka konsert yang meruntun nafsu gagal mencemarkan Wat Maccimmaram. Bhikkhu seperti Phor Than Thit inilah yang kita mahu. Sewaktu orang memperlawakan jawatan Than Chao Khun, Phor Than Thit menolak. Beliau tidak mahu jawatan. Beliau bukan jenis gila jawatan. Beliau tidak "menonjolkan" diri sebagai "pengamal Samadhi" tetapi penampilannya begitu menarik dan selaras dengan Dhamma vinai Buddha. Betullah kata orang, jangan tafsir buku daripada kulitnya. 

Raja Syaitan tidak berhenti di situ. Dia datang pula ke Wat Sukhontaram. Dia mempelawakan konsert sempena sambutan Pesta Songkran. Kali ini Raja Syaitan berjaya. Phor Than Soon juga bukan bhikkhu sembarangan. Mungkin keputusan bukan di tangan beliau. Lagipun Pesta Songkran Wat Sukhontaram dianjurkan bersama Kementerian dan Persatuan Siam. 

Dengar khabar, Raja Syaitan ini telah membuat perjanjian dengan sebuah wat di Bachok, Kelantan untuk membuat persembahan konsert sempena Hari Wesak yang suci. Dunia melalui PBB terima Hari Wesak sebagai hari keamaman dunia, tetapi kita meraikannya dengan hiburan murahan. Betul bahawa wat lain pernah mengadakan konsert tetapi itu bukan Hari Wesak. Kita patut memelihara kesucian Hari wesak supaya wat bebas daripada hiburan dan minuman keras. Bukan sebaliknya. Phor Than, jikalau mahu berlumba-lumba siapa lebih hebat meruntun Kilesa masyarakat, tidak usahlah pilih Hari Wesak. Pilih hari lain. 

Ini sekadar beberapa contoh. Masih ramai Bhikkhu atau Phor Than yang berkaliber tertewas oleh pujuk rayu Raja Syaitan. Hiburan memang amat menarik hari orang ramai. Buddha pernah berkata manusia suka kepada Kama Guna 5 kerana Kama Guna 5 ini ada kenikmatannya. Akan tetapi menarik oirang ramai masuk wat dengan umpan hiburan bukan kaedah Buddha. Kaedah Buddha ialah menarik orang masuk wat dengan Dhamma. Jikalau mahu hiburan, pilihlah hiburan yang berlandaskan seni budaya yang tidak meruntun nafsu serakah.

Selain menyogokkan hiburan, Raja Syaitan ini menjelma dalam bentuk pemimpin masyarakat Siam dan yang seangkatan dengannya. Jelmaan ini seperti yang berlaku pada Paka Phrom sewaktu didatangi Buddha. Bayangkan Phrom pun dirasuki Raja Syaitan. 

Pemimpin masyarakat Siam ini akan melakukan apa-apa sahaja bagi memenuhi agendanya tanpa memikirkan implikasi jangka masa panjang terhadap kaum Siam, agama dan adat budayanya. Lebih membimbangkan apabila mereka membawa bersama syaitan-syaitan dari luar ke dalam masyarakat Siam atas nama tetamu kehormat. Syaitan-syaitan ini bakal menjadi perosak yang merosakkan masyarakat Siam dari dalam umpama ulat dalam buah nangka. 

Mujurlah bukan semua pemimpin Siam yang lemah dan mudah ditewaskan oleh Raja Syaitan. Mereka masih tegak berdiri memperjuangkan masa depan orang Siam. Kini, kepada merekalah orang Siam bergantung harap.

Pendek kata, Raja Syaitan sedang bermaharajalela di bumi yang didiami masyarakat Siam Buddhis. Siapa lemah akan jadi mangsa. Pesta Loi Krathong, Songkran, Kathina disogokkan hiburan murahan dari Thailand bagi mencemarkan kesucian institusi agama dan melalaikan umat daripada menumpukan Dhamma vinai. Sikit masa lagi perayaan wesak yang suci juga bakal dicemari. Mungkin tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa milinium baru ialah milinium yang menyaksikan ketewasan Sangha kepada Mara.

Kenapalah Phor Than atau bhikkhu yang mengamalkan Dhamma vinai begitu mudah tertewas oleh Raja Syaitan? Soalan ini amat menarik untuk direnungkan. 

Penganut agama Buddha harus berjaga-jaga. Phaya Mara atau Raja Syaitan ini boleh menjelma dalam bentuk apa sahaja yang diingininya. Dia akan mengerahkan konco-konconya untuk melalaikan dan menyesatkan pengikut Buddha. Dia berdendam kepada Buddha. Dia gagal menewaskan Buddha lantas pengikut Buddha dijadikan sasaran.

Bagaimana mahu mengelakkan diri daripada ancaman Raja Syaitan?

Setelah gagal menewaskan Buddha, Phaya Mara duduk termenung memikir-mikirkan sebabnya. Apabila mendapat tahu sebabnya, dia membuat satu garisan di atas tanah. Akhirnya dia menggariskan 16 garisan mewakili 16 sebab mengapa Budhda berjaya melepaskan diri daripada godaannya. Antaranya ialah:

1. Dana Parami
2. Sila Parami
3. Nekkhamma Parami.
4. Panya Parami.
5. Viriya Parami.
6. Khanti Parami.
7. Sacca Parami.
8. Athitthana Parami
9. Metta Parami.
10. Upekkha Parami

11.อาสยานุสยญาณ
12. อินทริยปโรปริยญาณ
13. มหากรุณาสมาปัตติญาณ
14. ยมกปาฏิหาริยญาณ
15. อนาวรณญาณ
16. สัพพัญญุตญาณ

(Buat permulaan cukuplah kita mengetahui setakat Parami 10 jenis.)

Untuk mengelakkan diri daripada ancaman Mara, seseorang itu mesti menyuburkan Parami 10 yang juga merupakan jejak langkah Bodhisatta.

7 comments:

ThaiSiam said...

Khun Pena, sebenarnya majoriti masyarakat Siam terutamanya generasi muda menyokong aktiviti seperti yang dianjurkan oleh Raja Syaitan ni. Manakala dipihak Sangha pula tiada halangan dan menyokong apa yang dicadangkan.Apa yang bolih kita buat, sekiranya majoritinya menyokong.

Saya pun tak pasti samada wat-wat di sebelah Perlis, Kedah dan di Thailand ada menganjurkan konsert seperti yang bakal diadakan di kg Balai. Setahu saya, dulu pernah dianjurkan di wat Than Neung, tapi setelah dikritik hebat oleh kaum Buddhis, maka aktiviti hiburan sempena Hari Wesak dihentikan.

Semoga dipihak Khanak Song Thai Kelantan dapat mengeluarkan arahan atau memberi nasihat. Pandangan saya, pertunjukan hiburan bolih diadakan dalam wat di hari kebesaran lain, tapi bukan sempena sambutan Hari Wesak.

Anonymous said...

Wat sungai siput pun ada menganjur konsert Carabao. Dengar kata wattu mongkol hari tu jual habis habisan.

Anonymous said...

Khonthai akhir zaman. Mahu hasil baik tapi buat cara salah.

Anonymous said...

Raja setan amok hingga Terengganu buat Loy Katong hantar ke moyang dia.Phor Than seluruh Kelantan dengar cakap dia belaka.

Anonymous said...

Biasa dengar orang kata, "dunia sekang, dunia wang. Tanpa wang tak boleh buat apa, no money no talk". Maka, wat dan phodarn pun sama, banyak wg yg disalur ke wat mlui thambun "pokok bunga duit" banyak dibuat oleh mrk yg mengajurkan konsert tarian/nyayian dan mabuk dlm wat, kemudian serahkan duit thambun kpd wat. Ini salah siapa?

Anonymous said...

Sawasdee kah

Fenomena bawa masuk permainan, nyanyian, tarian, pakaian seksi, mabuk, sembelih itu dan ini dalam wat sebenarnya tak patut dipraktikkan, tapi saya melihat sekarang fenomena ini menjadi-jadi tambah pula Phor Than akan dpt duit yg lumayan jika perkara ini diteruskan. Sudah tiba masanya generasi baru bezakan yg mana patut dibuat dlm wat dan yg mana patut dibuat di dewan serbaguna yg sepatutnya dibina utk aktiviti ini. Ingat wat adalah utk upacara keagamaan saja dan ianya sepaptut suci bkn dikotori dgn fenomena tersebut. Saya tahu satu saja kelemahan dlm masyarakat siam kita ialah tiada undang-undang yg digunakan utk pantau segala apa yg kita lakukan dan tiada denda atau tindakan yg sewajarnya jika melakukan aktiviti yg tak sepatutnya dlm wat, dan yg paling penting sekali adalah peranan Phor Than dan masyarakat setempat utk tidak melibatkan diri dlm aktiviti yg boleh menjejaskan imej dan agama buddha serta bangsanya. Wat kita byk aspek materialistik tetapi leaking dlm aspek kerohanian. So what should we do now???????

Anonymous said...

Undang2 kita adalah "Sil5" dan "Hiri Ottapa". Jika kaum Buddhis terutama kita khon Siam yg selalu dianggap orang Buddhis sedar dan praktikkan perkara ini maka perkara2 yg berkaitan dgn "abaiyamook" tak akan dibawa masuk di dalam wat atau di mana sekali pun.