Friday, April 13, 2012

Vatta Samsara: Tiada Pangkal, Tiada Hujung

Sewaktu Buddha berada di Chetawan Maha Vihara, seorang Brahmana masuk menghadap dan bertanya tentang berapa kappa masa yang telah berlalu

Buddha memberitahu:

"Oh, Brahmana, kita memberi perumpamaan begini. Sungai Gangga bermula dari mana dan berakhir di lautan mana, biji-biji pasir di sepanjang (dasar) sungai itu bukan sesuatu yang mudah untuk dikira jumlahnya. Kappa (jumlah masa) yang telah berlalu lebih banyak daripada biji-biji pasir di dasar sungai Gangga. Oleh itu, bukan perkara mudah untuk mengira berapa kappa yang telah berlalu - seratus kappa, seribu kappa atau 100 ribu kappa?

"Kenapa begini?

Kerana Vatta Samsara (pusingan hidup makhluk) tidak dapat ditentukan di mana permulaan dan di mana pengakhirannya.  Selagi Avijja menjadi penghalang kepada makhluk dan makhluk dicengkam oleh Tanha, selagi itulah makhluk akan terus mengembara (dari satu kehidupan ke satu kehidupan) di mana permulaan dan pengakhiranya tidak ada kepastian. Makhluk yang mengembara dalam Vatta Samsara telah merasai kesengsaraan, kepanasan, kemusnahan dan kehilangan serta menambahkan tanah perkuburan sepanjang masa."

Brahmana sangat sukacita mendengar penjelasan Buddha lalu mengisytiharkan dirinya sebagai penganut agama Buddha sepanjang hayat.

Gangga Sutta

คงคาสูตร

(สังยุตนิกาย นิทานวรรค ข้อ ๔๓๕ หน้า ๒๑๗ บาลีฉบับสยามรัฐ)
-------------------------------------------------------------------
1 Yojana = 16 kilometer


1 Kappa = Sejak dunia wujud hingga dunia berakhir 1 kali.


Perumpamaan begini. Terdapat sebuah kotak lebar 100 Yojana, panjang 100 Yojana dan tinggi 100 Yojana. Dalam setiap 100 tahun dimasukkan 1 biji benih sawi dalam kotak tersebut. Buat begitu sehingga benih sawi penuh kotak. Itulah jangka masa 1 Kappa. 


___________________________________________

"Oh, mereka yang nampak bahaya dalam Vatta Samsara sekalian! Vatta Samsara tidak mungkin dapat ditentukan permulaan dan pengakhirannya. Selagi Avijja menjadi penghalang kepada makhluk dan makhluk bergelumang dengan Tanha, selagi itulah mereka terpaksa mengembara berulang-alik sehingga tidak dapat ditentukan di mana pengakhiran dan di mana permulaannya.

"Oh, mereka yang nampak bahaya dalam Vatta Samsara sekalian! Umpama seorang lelaki memotong rumput, kayu, ranting kayu, daun kayu (di muka bumi), dikumpulkan, kemudian diikat dan setiap ikat sebesar 4 jari. Semuanya diletakkan di satu tempat dan dijadikan perbandingan.

"Ikat ini bonda kita. Ikat ini bonda kepada bonda kita. Ikat ini bonda kepada bonda, kepada bonda kita. Buatlah perbandingan seterus. Akhirnya ikatan rumput, kayu, ranting kayu dan daun-daun habis. Tetapi bonda kepada bonda kita (salasilah bonda kita) belum habis."

Kenapa begini?

Kerana Vatta Samsara ini tiada dapat ditentukan di mana permulaan dan pengakhirannya. Selagi Avijja menjadi penghalang kepada makhluk dan makhluk bergelumang dengan Tanha, selagi itulah mereka terpaksa mengembara tanpa kesudahan sehingga tidak dapat ditentukan pengakhiran dan permulaannya. Dengan ini, mencukupilah untuk kita semua berasa bosan dan jemu dengan Vatta Samsara dan berusaha meninggalkannya.

พระสูตรเกี่ยวกับความยาวของวัฏสงสาร
จาก "ภูมิวิลาสินี" หน้า ๔๕๓ - ๔๕๖
โดย พระธรรมธีรราชมหามุนี
(วิลาศ ญาณวโร ป.ธ.๙)
-----------------------------------------------------------------


Dalam Sutta lain diberikan perumpamaan antara air mata manusia dengan air laut. Dikatakan bahawa air mata manusia yang mengalir keluar akibat kesengsaraan, kedukaan dan kehilangan (benda yang dikasihi) yang berulang-kali lebih banyak daripada air dari 4 lautan - utara, timur, selatan dan barat. Betapa lamanya kewujudan manusia di Vatta Samsara sehingga air matanya lebih banyak daripada air 4 lautan. Kerana terlalu lama hingga tidak dapat mengira jumlah tahunnya, maka pengakhiran dan permulaan kehidupan juga tidak dapat ditentukan. Selagi manusia dibelenggu Avijja dan Tanha, pusingan kehidupan tidak akan berhenti, oleh itu tidak dapat dipastikan di mana pengakhirannya. Oleh sebab Vatta samsara berbetuk pusingan, apabila pengakhirannya tidak dapat dipastikan, maka permulaannya juga tidak dapat dipastikan.

Umpama sebuah kipas yang sedang berpusing. Siapakah dapat memastikan di mana daun kipas mula berpusing dan di mana akan berhenti, kecuali kipas itu telah berhenti berpusing.


(สังยุตนิกาย นิทานวรรค อัสสุสูตร ข้อ ๔๒๕ หน้า ๒๑๓ บาลีฉบับสยามรัฐ)

-----------------------------------------------------------


Pemahaman tentang Vatta Samsara dan jangka hayatnya sangat penting - permulaan dan pengakhirannya sangat penting. Pemahaman ini dapat membantu mereka yang suka bertanya di mana dan bagaimana dunia bermula dan di mana dan bagaimana dunia akan berakhir? Pertanyaan ini sebenarnya datang daripada pengajian agama dari sudut falsafah yang fokus kepada "ramalan" dan "tekaan" semata-mata. Orang yang mengamalkan Dhamma sebenar jarang mengemukan soalan begini kerana mereka sedar jawapan kepada soalan ini tidak membantu membebaskan diri dan minda daripada kesengsaraan. Lagipun, setelah minda mencapai tahap tertentu, perkara ini akan terjawab dengan sendiri.

Seperkara lagi, soalan begini pengaruh daripada agama lain yang menyatakan dengan jelas masa dunia bermula, proses membina dunia dan bagaimana dunia akan berakhir. Kepercayaan begini sebenarnya wujud sejak sebelum zaman Buddha lagi. Golongan Brahmana yang percaya kepada konsep Tuhan Pencipta (พระเจ้าผู้สร้าง) selalu melontarkan soalan begini kepada Buddha. Malahan Buddha sendiri sebelum menjadi Buddha pun berpegang kepada kepercayaan ini. Setelah mendapat kebuddhaan, Baginda sedar bahawa kepercayaan Tuhan Pencipta cuma konsep yang terdapat dalam minda manusia yang terhasil daripada upadana Atta. Manusia sejenis makhluk yang penakut. Setelah melihat Atta pada diri tidak kekal abadi (mati), maka manusia mencari Atta di luar diri untuk dijadikan pelindung. Dari sinilah lahirnya konsep Maha Attaman.

(Rujukan)

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih Tuan menyiarkan tulisan ini sangat berguna. Pusingan kehidupan manusia tiada kepastian kerana bergantung pada Karma. Betulkah Tuan?

pena reformasi said...

Ya, bergantung pada Karma. Karma dicetuskan oleh Avijja dan Tanha.