Tuesday, May 15, 2012

Adakah Kita Mempunyai Fizikal Dan Mental Terlatih?

Seorang ahli sukan menjalani latihan fizikal sahaja tidak cukup. Mereka mesti menjalani latihan mental juga. Fizikal yang kuat, tetapi mental yang lemah tidak mampu menjadikan seseorang atlet yang baik. Atlet tahap dunia mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang seimbang.

Kita pun umpama ahli sukan yang terpaksa berlumba dengan nafsu sendiri setiap hari. Jika kita mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang mencukupi, kita akan menang. Jika kita lemah, kita akan tewas. Oleh itu, latihan fizikal dan mental sangat penting. Melalui latihan barulah fizikal dan mental menjadi kuat.

Adakah kita mempunyai fizikal dan mental yang terlatih?

Dalam agama Buddha, latihan mental sangat mustahak bagi memperkuatkan diri. Sangha Malaysia dan pemimpin masyarakat Siam sepatutnya memberi keutamaan kepada program berkaitan latihan mental. Golongan remaja Siam turut terdedah kepada masalah sosial. Oleh itu latihan mental sangat diperlukan agar mereka mempunyai kekuatan melawan dugaan hidup.

Individu yang mempunyai mental yang terlatih pastinya  lebih yakin menghadapi dugaan hidup berbanding individu yang mempunyai mental tidak terlatih.

Individu yang mempunyai fizikal dan mental tidak terlatih itu individu bagaimana?

Buddha berkata individu yang mempunyai fizikal dan mental tidak terlatih apabila berhadapan dengan emosi yang baik (Sukha-vedana) dia akan terpengaruh dengan emosi tersebut. Emosi tersebut menguasainya dengan mudah. Dia begitu gembira dengan emosi yang baik itu.

(Emosi yang baik datang daripada perkara-perkara yang baik, misalnya bercinta berbalas, lulus peperiksaan, dapat kenaikan pangkat, kenaikan gaji, bonus, keluar makan bersama orang yang disayangi dan sebagainya).

Apabila emosi yang baik itu hilang, dia terus kecewa dan susah hati. Maka emosi yang buruk (Dukha-vedana) pun timbul dan menguasai dirinya. Dia sedih dan gundah-gulana.

(Emosi yang buruk datang daripada perkara-perkara yang buruk, misalnya kecundang dalam cinta, gagal dalam peperiksaan, tidak ada kenaikan pangkat dan gaji, tiada bonus, kehilangan orang yang disayangi dan sebagainya).

Kenapa dia boleh jadi begitu? Kerana fizikal dan mentalnya tidak terlatih.

Berlainan pula dengan individu yang mempunyai fizikal dan mental yang terlatih. Apabila berhadapan dengan emosi yang baik (Sukha-vedana), dia tidak terpengaruh dengan emosi tersebut. Emosi baik tidak menguasai dirinya. Apabila emosi baik hilang, dia tidak kecewa dan susah hati. Emosi buruk (Dukha-vedana) pun timbul tetapi tidak menguasainya. Dia tidak sedih, tidak gundah-gulana.

Kenapa dia boleh jadi begitu? Kerana fizikal dan mentalnya sudah terlatih.

Individu yang mempunyai fizikal dan mental tidak terlatih, apabila gembira, dia sangat gembira, apabila sedih, dia sangat sedit. Emosinya begitu "keterlaluan" sehingga tidak terkawal apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

Sebaliknya, individu yang mempunyai fizikal dan mental terlatih, apabila gembira, dia tidak terlalu gembita atau mungkin biasa-biasa sahaja. Apabila sedih, dia tidak sangat sedih atau mungkin biasa-biasa juga.

Contoh yang mudah apabila ada orang mati. Individu yang fizikal dan mentalnya tidak terlatih apabila orang yang disayanginya meninggal dunia, dia akan menjerit-jerit, melolong-lolong atau tersedu-sedan hingga menjadi seperti hilang waras kerana kesedihan. Sebaliknya, individu yang mempunyai fizikal dan mental terlatih sekadar bersedih tetapi tidak melampau kerana dia tahu bahawa kematian adalah perkara biasa.

Ahli sukan negara kita, terutama pemain bola sepak mempunyai mental yang kurang terlatih. Pemain kita turun dengan begitu bersemangat tetapi apabila ketinggalan satu atau dua gol, pemain kita terus lemah dan hilang semangat. Berbeza dengan pemain Eropah yang berlawan habis-habisan hingga wisel penamat kerana mereka mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Ini sekadar contoh. Realitinya mungkin sesetengah pemain bola sepak kita mempunyai kekuatan mental lebih tinggi daripada pemain Eropah.

Kaedah melatih fizikal dan mental ada pelbagai. Penganut agama Buddha memberi keutamaan kepada kaedah meditasi atau samadhi. Ceramah, bengkel, kem dan seumpamanya juga berkesan. Ceramah motivasi dan kem bina insan boleh dilaksanakan bersama dengan kaedah meditasi. Agama Buddha begitu kaya dengan kaedah membina insan, terpulang kepada kita yang mana menjadi pilihan.

(Rujukan: Kitab Phra Traipidok Thai)


1 comment:

Anonymous said...

Bagus artikel ini, melalui artikel ini sedikit sebanyak kita dapat menguji Adakah kita Mempunyai Fizikal Dan Mental Terlatih atau tidak? Kalau rasa tiada atau kurang, maka masih tidak terlambat untuk belajar dan menambah tahap fizikal dan mental yang tiada atau sedia ada.