Monday, May 14, 2012

Habuan Daripada Mengamalkan Dhamma


Dalam Macchima Nikaya ada menjelaskan bahawa jika kita mengamalkan Dhamma, kita akan mendapat 6 habuan mengikut tahap amalan kita. Saya sengaja menggunakan istilah "habuan" agar senang difahami kerana orang sekarang bekerja sikit minta habuan. Jadi mengamalkan Dhamma, kita harap atau tidak, kita minta atau tidak, kita akan terima "habuan" tersebut. Baginda Buddha tidak suruh kita bekerja percuma. Oleh itu, jangan bimbang, semua kerja Dhamma yang kita buat pasti ada habuannya.

1. Nirvana. (Ariya/Lokuttara)

Ini habuan yang paling utama. Habuan ini merupakan matlamat utama agama Buddha. Baginda mengajar kita Dhamma agar kita mengamalkannya. Apabila mengamalkan Dhamma kita akan mendapat Nirvana. Inilah habuan maha besar yang tidak terdapat dalam agama lain.

2. Opapatika (Ariya/Lokuttara)

Ini habuan kedua. Habuan ini diperolehi setelah berjaya menghapuskan 5 Samjoyana (rintangan). Individu ini tidak akan lahir ke dunia lagi kerana dia akan mencapai Nirvana dalam alam kehidupan selepas alam dunia. Jika dia dilahirkan di alam Brahma-loka (Phrom-lok), dia akan Nirvana di alam tersebut.

3. Sakadagami (Ariya/Lokuttara)

Ini habuan ketiga. Habuan ini diperolehi setelah berjaya menghapuskan 3 Samjoyana di samping mengurangkan Lobha, Dosa dan Moha. Individu ini akan lahir sekali lagi ke dunia sebelum mencapai Nirvana.

4. Sodaban (Ariya/Lokuttara)

Ini habuan keempat. Habuan ini diperolehi setelah berjaya menghapuskan 3 Samjoyana. Individu ini mempunyai minda yang mantap, mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dan oleh itu Buddha memberi jaminan bahawa individu ini tetap akan mencapai Nirvana pada masa hadapan.

5. Dhammanusari dan Saddhanusari (Menuju Ariya/Lokuttara)

Ini habuan kelima. Dhammanusari diperolehi setelah hati memahami Dhamma dengan baik. Individu ini juga dikatakan mempunyai minda yang "berlari mengikut Dhamma"dan mempunyai kebijaksanaan yang tinggi. Saddhanusari pula mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha. Individu yang mencapai tahap Dhammanusari dan Saddhanusari bakal mencapai Nirvana dalam tempoh yang lebih lama daripada Sodaban. Individu ini juga dipanggil Sotapatti-Magga kerana sedang melalui proses menjadi Sodaban.

(Individu yang mempunyai kemahiran dalam Dhamma, mempunyai kebijaksnaan yang tinggi dan akan mencapai Nirvana dengan kebijaksanaan tersebut dipanggil Dhammanusari. Individu yang mempunyai kepercayaan yang mantap dan kukuh terhadap Buddha, Dhamma dan Sangha dan akan mencapai Nircana dengan kepercayaan tersebut dipanggil Saddhanusari.)

6. Syurga (Lokiya)

Ini habuan keenam. Habuan paling rendah dalam agama Buddha. Baginda berkata, barang siapa yang mempunyai kepercayaan ke atas Baginda, sayang kepada Baginda akan mendapat syurga pada masa akan datang.Kepercayaan dan sayang kepada Baginda adalah pintu syurga kepada kita. Namun harus ingat, bukan sekadar kepercayaan dan sayang di bibir, tetapi kepercayaan dan sayang yang diterjemahkan melalui perbuatan.

Bagi mereka yang kurang arif dengan agama Buddha pasti akan berasa aneh. Agama lain meletakkan syurga sebagai matlamat utama yang akan dicapai. Sebaliknya, Buddha meletakkan syurga sebagai habuan keenam yang merupakan habuan terakhir. Jika berlumba lari, tentu sekali tiada pelumba yang mahu menduduki tempat keenam atau tempat terakhir.

Syurga tidak penting dalam agama Buddha?

Jawapannya syurga tidak penting berbanding dengan 5 habuan terdahulu. Buddha meletakkan habuan mengikut susunan kepentingannya dengan Nirvana paling atas dan syurga paling bawah. Syurga hanya penting jika dibandingkan dengan neraka.

Kenapa syurga tidak penting berbanding habuan lain?

Kita tahu bahawa agama Buddha ialah agama yang mengajar manusia melepaskan diri daripada kesengsaraan. Kesengsaraan ini membelenggu kehidupan. Manusia mesti dimerdekakan dengan menghapuskan segala kesengsaraan yang membelenggu.

Nirvana ialah Pembebasan Minda yang tertinggi. Opapatika (Anagami), Sakadagami, Sodaban, Dhammanusari dan Saddhanusai menuju pembebasan minda. Sedangkan syurga tiada kaitan dengan pembebasan minda. Syurga masih terikat dengan kebelengguan. Syurga dipenuhi dengan tanha-upadana, nafsu-nafsi, kamarom, kehendak dan keinginan. Oleh sebeb itu Buddha tidak meletakkan syurga sebagai matlamat. Sebaliknya, Nirvana sebagai matlamat Buddha. Syurga sekadar habuan sampingan atau sagu hati.

Buddha tidak meletakkan syurga sebagai matlamat kerana Baginda pernah dilahirkan di syurga. Baginda sangat arif dengan kehidupan di syurga yang dipenuhi kesengsaraan seperti di dunia, cuma dalam bentuk yang berlainan.  Syurga juga terikat dengan Vatta Samsara iaitu Pusingan Kehidupan yang tiada penghujung.

Kenapa ada kaum Buddhis meletakkan syurga sebagai matlamat utama? Mungkin terpengaruh dengan keindahan syurga yang digambarkan dalam kitab-kitab. Sebenarnya gambaran ini sebagai umpan untuk kita berbuat baik. Kita kena tahu bahawa kepercayaan Brahmana meletakkan syurga sebagai matlamatnya. Penduduk Magadha ketika itu sudah biasa dengan kepercayaan tentang syurga. Apabila Buddha menyebarkan ajaran yang bermatlamatkan Nirvana, maka syurga dijadikan "pengantara" untuk menarik orang mendekati Dhamma. Setelah mereka "puas tinggal di syurga yang sebenarnya tiada apa-apa istimewa" maka mereka akan terbuka hati untuk "mencari sesuatu yang lebih baik" iaitu Nirvana.

Maka tidak hairanlah penghuni syurga (dewa-dewi) apabila hendak mati, saudara-maranya akan berdoa agar dia akan dilahirkan di dunia. Ini pun pelik juga. Dewa atau Devata apabila hendak mati, minta dilahirkan ke dunia. Manusia kita apabila hendak mati, minta dilahirkan di syurga.

Kesimpulannya, apabila kita mengamalkan Dhamma Buddha, kita akan mendapat 6 habuan seperti di atas. Paling tinggi Nirvana dan paling rendah syurga. Pilihlah sendiri habuan mana yang kita suka dan amalkan Dhamma yang berkaitan, pasti kita akan dapat.

(Rujukan: Kitab Tipitaka)




5 comments:

Anonymous said...

Tulisan yang memberi pencerahan. Siapa yang hebat agama tolong beri komen. Asyik komen bab hiburan hari Wesak boring juga. Siapa yang bangga dengan dhammaseksa tolong komen. Takkan semua pakat angguk ikut KSB belaka.

Anonymous said...

Terima kasih Tuan Pena kerana menyanjikan artikel yang menarik. Hakikatnya orang Siam jauh ketinggalan dalam dhamma. Orang kita hanya tahu sasana pitthi tapi sombong tunjuk pandai. Pantang ditegur melawan balik.

Anonymous said...

Bagus artikel ini. Sebelum ini, saya hanya tahu yang matlamat bagi penganut agama buddha ialah Nirvana tetapi tidak pula tahu yang kita masih ada tahap2 yang lain yang dapat dicapai..

Anonymous said...

Tuan Pena, tolong perjelaskan sikit tentang oppatika, ambo kurang paham. Terima kasih. Terus menulis, ambo suka!! Sathuk, sathu, sathuk!

pena reformasi said...

Ada 4 jenis kehidupan.

1. Kehidupan yang lahir daripada perut, misalnya manusia dan haiwan.

2. Kehidupan yang lahir daripada telur, misalnya ayam.

3. Kehidupan yang lahir di tempat basah, lumpur dan lain-lain.

4. Kehidupan yang lahir secara "muncul" sendiri dan terus dewasa, misalnya Phrom, Devata dan sebagainya. Kelahiran ini dinamakan Opapatika.

Tahap minda di bawah Nirvana dinamakan Opapatika mungkin kerana individu ini selepas mati akan lahir di alam Phrom yang kelahirannya "muncul" sendiri.