Saturday, May 12, 2012

Jalan Tengah Itu Jalan Yang Bagaimana?

Macchima Patipata atau Jalan Tengah merupakan jalan yang dianjurkan oleh Baginda Buddha kepada penganutnya. Jalan Tengah merujuk kepada amalan yang sederhana yang tidak terlalu ke kiri atau ke kanan. 

Jalan tengah itu jalan yang bagaimana? 

Dalam kehidupan harian, banyak perkara "tengah" yang dilarang. Misalnya, jika berjalan di jalan raya, kita selalu diingatkan tidak berjalan di tengah, takut dilanggar kereta. Jika berada di lorong atau laluan kampung, kita juga dilarang berkumpul di tengah laluan kerana akan menghalang perjalanan orang lain. Kita juga dilarang duduk di tengah pintu. Masa ambil nasi dalam periuk kita disuruh mengambil bahagian tepi dahulu. Malah, adab bermakan di meja bulat, kita dinasihatkan mengambil lauk di tepi yang paling hampir dengan kita terlebih dahulu. 

Jalan tengah yang disuruh oleh Buddha ialah amalan yang sederhana yang tidak terlalu longgar dan tidak terlalu ketat. Apabila terlalu longgar, amalan kita tidak akan ke mana selain membuang masa. Misalnya seorang pelajar yang belajar sambil lewa, bermain-main, tidak bersungguh-sungguh dan akhirnya kegagalan yang diperolehi. Amalan yang terlalu ketat pun membawa mudarat juga. Belajar dari pagi hingga petang, kemudian sambung pada malam tanpa rehat yang cukup, akhirnya orangnya masuk wad sebelum peperiksaan tiba.

Dalam kehidupan harian, dalam kerjaya dan dalam urusan apa-apa bidang pun, kita mesti mengamalkan jalan tengah.  Dalam fikiran, percakap dan perbuatan, jalan tengah atau kesederhanaan mesti diutamakan. Kerana ini merupakan jalan yang pernah diamalkan oleh Buddha dan dianjurkan kepada kita sebagai pengikut Baginda.

Malangnya, dunia hari ini kita dapat menyaksikan betapa ramainya penganut agama yang memilih jalan yang melampau bagi menegakkan agama masing-masing. Agama Buddha pun tidak terkecuali.

Apakah Jalan Tengah yang dianjurkan oleh Buddha? Adakah jalan tengah yang kita fahami sama dengan yang dianjurkan oleh Buddha? Saya rasa masih ramai antara kita yang tidak memahami maksud jalan tengah yang sebenar. Walaupun ramai yang suka berkata "kita mesti menggunakan jalan tengah" apabila menghadapi situasi tertentu yang mendesak, tetapi tahap kefahamannya diragui. Kenapa saya berkata begini? Saya pernah, bahkan selalu mendengar nasihat daripada Bhikkhu supaya kita menggunakan jalan tengah, tetapi beliau sendiri berjalan di tepi.

Paza zaman Buddha terdapat 2 jenis amalan yang melampau yang diamalkan oleh pengamal Dhamma pada masa tersebut, iaitu:

(1) Mencari kebahagiaan  melalui keseronokan panca indera. Amalan ini merupakan amalan orang biasa, bersifat buruk dan tidak membawa faedah. 

Pada zaman Buddha terdapat segolongan Samana yang percaya bahawa untuk menghapuskan nafsu, manusia mesti melayan nafsu dengan puas-puas. Setelah puas barulah nafsu tidak meronta dan jiwa pun tenteram. Namun, ketenteraman ini cuma sementara kerana keinginan nafsu tidak pernah ada penghujung. Semakin dilayan, semakin diingini. 

(2) Mencari kebahagiaan dengan menyeksa dan mendera diri. Amalan ini bukan sekadar tidak membawa faedah dan sia-sia bahkan mendatangkan mudarat kepada diri.

Pada zaman Buddha terdapat begitu banyak amalan menyeksa diri ini oleh golongan Brahmana. Misalnya, berdiri sebelah kaki berminggu-minggu. Berdiri merenung matahari. Tidur dengan bergantung kaki pada batang pokok dengan kepala terlunjur ke bawah. Tidak makan dan minum berhari-hari dan sebagainya. Mereka percaya penderitaan hidup hanya mampu dihapuskan dengan mendera diri.

Buddha pernah mencuba pelbagai cara yang menyeksa diri ini, misalnya makan sebiji kacang sehari, tidak makan langsung berbulan-bulan, berbogel di dalam hutan, bermeditasi di tengah panas dan hujan dan macam-macam. 

Buddha telah mencuba kedua-dua amalan di atas sewaktu mencari "kebahagiaan" yang tulen selama 6 tahun, tetapi tidak berjaya, bahkan mendatangkan mudarat kepada diri. Oleh itu, Baginda melarang keras umat mendampingi dan mengamalkan kedua-dua jenis amalan ini. Walaupun larangan ini ditujukan khas kepada Bhikkhu atau Sangha, namun kita selaku penganut juga mesti mematuhinya.

Setelah mencuba pelbagai cara, akhirnya Baginda menemukan Jalan Tengah iaitu Ariya Magga 8. Jalan Tengah ini telah membawa kejayaan kepada Buddha.

1. Samma Ditthi (Pandangan yang betul).
2. Samma Sankappa (Hajat yang betul).
3. Samma Vaca (Percakapan yang betul).
4. Samma Kammanta (Perilaku yang betul).
5. Samma Ajiva (Sara Hidup yang betul).
6. Samma Vayama (Cara Berusaha yang betul).
7. Samma Sati (Daya Ingatan yang betul).
8. Samma Samadhi (Konsentrasi yang betul).

Jalan Tengah dalam agama Buddha ialah Ariya Magga 8. Orang yang mengamalkan Ariya Magga 8 ialah orang yang sedang menggunakan Jalan Tengah. Jalan Tengah akan membawa kebahagiaan yang sebenar, membawa manusia ke Lokuttara dan Nirvana. 

Dalam kata lain, hanya Jalan Tengan boleh membawa manusia kepada kebahagiaan, ketenteraman, ketenangan dan kebebasan yang sejati.




1 comment:

ThaiSIAM said...

Satu posting yang sangat berguna, teruskan usaha murni anda KHUN PENA.