Thursday, May 24, 2012

Jejak Langkah Buddha Terdahulu

O, Para Bhikkhu! Umpama seorang pemuda berjalan ke dalam hutan tebal, dia terjumpa bekas jalan lama yang digunakan oleh manusia terdahulu. Pemuda itu berjalan mengikut jalan tersebut. Dia terjumpa tapak kota yang merupakan ibu kota lama yang pernah didiami manusia terdahulu. Sebuah kota yang subur dengan kebun, subur dengan hutan belantara dan subur dengan tasik teratai. Bekas runtuhan tembok kelihatan mengelilingi kota. Dan kedudukan kota juga begitu strategi dan nyaman. 

Pemuda itu kemudian mempersembahkan penemuannya kepada Raja atau Pembesar Istana. 

Raja atau Pembesar Istana membina semula bekas kota lama itu menjadi kota yang baru. Pada masa yang berikutnya, Kota yang baru itu menjadi kaya, berkembang dengan pesat dan penduduknya pun ramai.

Oh, Bhikkhu! Kita sudah melihat bekas jalan lama yang pernah dilalui para Buddha pada masa terdahulu. 

Bagaimana bekas jalan lama yang pernah dilalui para Buddha itu?

Jalan lama itu ialah Ariya Magga 8. Samma Ditthi, Samma Sankappa, Samma Vaca, Samma Kammanta, Samma Ajiva, Samma Vayama, Samma Sati, Samma Samadhi. Inilah jalan lama yang pernah dilalui para Buddha yang terdahulu.

Kita telah mengikut jalan lama tersebut. Apabila mengikuti jalan lama tersebut, kita mendapat tahu tentang Jara-Morana (ketuaan dan kematian); punca kepada Jara-Morana;  menghapuskan Jara-Morana; dan kaedah-kaedah menghapuskan Jara-Morana. 

(Selepas itu Baginda  menerangkan tentang Jati (lahir), Bhava (tempat lahir), Upadana (pegangan/kemelekatan), Tanha (nafsu), Vedana (perasaan/emosi), Phassa (sentuhan/kontek), Salayatana (indera), Nama-rupa (mental dan fizikal), Vinnana (kesedaran melalui indera) dan Sankhara (faktor yang mempengaruhi fikiran) sebagaimana menerangkan Jara-morana).

(Rujukan: Kitab Tipitaka)

Daripada Sutta ini kita dapat tahu bahawa semua Buddha yang terdahulu dan Buddha akan datang mendapat Pencerahan Sempurna (Trassaru) tentang perkara yang sama iaitu Paticcasamuppada dan Ariya Sacca 4. Dari sinilah Dhamma Buddha berkembang hingga merangkumi keseluruhan kehidupan manusia, dewa dan haiwan.

Adakah Pencerahan Sempurna tentang perkara yang sama oleh semua Buddha secara kebetulan? Tentulah tiada sesiapa yang merancang atau mengaturnya. Sememangnya itulah hakikat Pencerahan Sempurna. Ariya Sacca 4 (dan Paticcasamuppada) merupakan kebenaran yang "tersembunyi" di alam ini. Maka bukan perkara luar biasa apabila semua "pencari kebenaran" seperti Buddha akan menemukannya kerana Ariya Sacca 4 satu-satunya kebenaran yang wujud di alam ini. Kebenar-kebenaran lain terpancar daripada kebenaran Ariya Sacca 4. 

Oleh itu, apa-apa sahaja yang didakwa "kebenaran" tetapi bercanggah dengan Ariya Sacca 4, maka perkara itu adalah kepalsuan atau kebenaran olok-olok ciptaan manusia. 

Kebenaran ciptaan manusia ini berbahaya dan kadang-kadang kita mempercayai dan mengamalkannya tanpa disedari. Manusia makhluk yang pintar. Mereka mencipta kebenaran, kemudian "memasukkan" ke dalam mulut Buddha dan mengatakan ini adalah daripada ucapan Buddha. Sebelum zaman Buddha (mungkin juga selepas), manusia yang pintar ini "memasukkan" kebenaran ke dalam mulut Tuhan dan mengatakan ini adalah daripada Tuhan. Maka manusia pun percaya kerana kononnya daripada mulut Tuhan. 

Paticcasamuppada dan Ariya Sacca 4 sangat penting diketahui penganut agama Buddha. Jika tidak tahu perkara ini, mustahil seseorang dapat mencapai matlamat tertinggi agama Buddha. Untuk tidak sia-sia dilahirkan sebagai penganut agama Buddha, seseorang itu harus berusaha memahami Dhamma Buddha dengan sebaik mungkin, kemudian mengamalkannya untuk hasil hari ini dan sekarang ini. 



1 comment:

Anonymous said...

Penulisan makin mantap disertai link rujukan kitab tipitaka. Sadhu sadhu sadhu.