Thursday, May 31, 2012

Kasihanilah Mereka!

Kita kekadang berasa hairan. Kita bercakap baik, tetapi orang tidak boleh terima. Kita memberi nasihat yang berguna, tetapi orang marah. Kita menegur untuk membina tetapi orang berdendam. Mungkin berpunca dari sinilah maka orang berkata bahawa ungkapan yang baik bagi kita tidak semestinya baik kepada orang lain; ungkapan yang baik bagi golongan tertentu mungkin jahat bagi golongan lain.

Dalam sebuah Sutta, Buddha berkata terdapat 5 jenis kata-kata baik yang menjadi jahat bagi individu tertentu. Apakah 5 jenis kta-kata tersebut?

1. Kata-kata yang  memerihalkan kepercayaan (Saddha) merupakan kata-kata jahat bagi orang yang tiada kepercayaan.

2. Kata-kata yang memerihalkan moraliti (Sila) merupakan kata-kata jahat bagi orang yang melanggar Sila.

3. Kata-kata yang memerihalkan ilmu pelajaran (Bhahu-sacca) merupakan kata-kata jahat bagi orang yang kurang berpelajaran.

4. Kata-kata yang memerihalkan pemberian (Caga) merupakan kata-kata jahat bagi orang yang kedekut.

5. Kata-kata yang memerihalkan kebijaksanaan (Panna) merupakan kata-kata jahat bagi orang bodoh.

Kenapa kata-kata yang memerihalkan kepercayaan merupakan kata-kata jahat bagi orang yang tiada kepercayaan?

Orang yang tiada kepercayaan apabila bercakap tentang kepercayaan, dia berasa rimas, marah, kaku, dendam, memperlihatkan kemarahan dan ketidakpuasan hati.

Perkara ini terjadi kerana orang tiada kepercayaan tidak pernah nampak rahmat kepercayaan (Saddha Sampada) yang wujud di dalam dirinya. Dia tidak pernah berasa bahagia, gembira, ceria dan bangga yang terhasil daripada rahmat kepercayaan tersebut. Inilah sebabnya kata-kata yang memerihalkan kepercayaan menjadi kata-kata jahat bagi orang yang tiada kepercayaan.

Orang yang tiada moraliti apabila bercakap tentang moraliti, dia berasa rimas, marah, kaku, dendam, memperlihtkan kemarahan dan ketidakpuasan hati.

Perkara ini terjadi kerana orang yang tiada moraliti atau tidak bermoral tidak pernah nampak rahmat moraliti (Sila Sampada) yang wujud di dalam dirinya. Dia tidak pernah berasa bahagia, gembira, ceria dan bangga yang terhasil daripada rahmat moraliti tersebut.

Begitu juga dengan orang yang malas belajar, orang kedekut dan orang bodoh apabila bercakap tentang pendidikan, pemberian dan kebijaksanan, mereka akan berasa rimas, marah, kaku, dendam, memperlihatkan kemarahan dan ketidakpuasan hati. Ini kerana mereka tidak pernah nampak rahmat pendidikan (Bhahu Sacca Sampada), rahmat pemberian (Caga Sampada) dan rahmat kebijaksanaan (Panna Sampada) yang wujud di dalam diri. Mereka tidak pernah berasa bahagia, gembira, ceria dan bangga yang terhasil daripada rahmat-rahmat tersebut.

Orang yang tidak berilmu tentulah tidak pernah merasa betapa bahagiannya hidup sebagai orang yang berilmu. Orang kedekut tentulah tidak pernah merasa kenikmatan dan kepuasan yang terhasil daripada memberi sesuatu kepada orang lain. Orang yang bodoh atau jahil tentulah tidak pernah merasa betapa gembira dan bangganya apabila dapat melakukan sesuatu yang bijak.

Contoh, "Merokok Membahayakan Kesihatan" merupakan slogan yang terhasil daripada kajian para doktor ke atas perokok. Orang yang bijak terima slogan ini dengan baik. Sebaliknya, orang bodoh akan memberi pelbagai alasan bodoh untuk menolak slogan ini.

Jikalau kita menyuruh orang mengamalkan Sila 5, orang yang tiada Sila akan mencebir mulut dan mengejek kita kerana mereka tidak pernah berasa rahmat daripada Sila. Silap-silap kita akan dikutuk, semata-mata kerana mahu mereka jadi penganut yang baik.

Sebenarnya orabng-orang begini amat kesian. Mereka tidak kenal apa yang baik. Mereka tidak kenal rahmat kepercayaan, moraliti, kaya ilmu, bermurah hati dan kebijaksanaan. Apabila orang bercakap tentang perkara-perkara ini mereka melenting. Kita sepatutnya tidak tersinggung dengan sikap mereka kerana merka ialah orang-orang yang memerlukan belas kasihan. Namun, oleh sebab kita juga ada Kilesa, adalah perkara biasa kita turut berasa hati. Sepatutnya kita berasa kasihan, amat kasihan kepada mereka. Mereka melihat kebenaran dari sudut yang salah.

Sebaliknya, kata-kata yang memerihalkan kepercayaan, moraliti, ilmu, pemberian dan kebijaksanaan akan jadi kata-kata yang baik bagi orang yang mempunyai kepercayaan, bermoral, berilmu, bermurah hati dan bijak. Mereka tidak marah, dendam atau memperlihatkan ketidakpuasan. Ini kerana mereka pernah merasa bahagia, gembira, ceria, dan bangga yang terhasil daripada rahmat 5 perkara tersebut.

Maka tidak hairanlah apabila satu "nasihat yang baik" diterima baik dan jahat oleh dua golongan yang berbeza. Golongan yang mempunyai ciri-ciri yang baik menerima dengan baik. Manakala golongan yang tiada ciri-ciri yang baik tidak dapat menerimanya.

Kesimpulannya, apabila kita bercakap perkara baik, memberi nasihat yang baik dan berguna, tetapi dimarahi, dikutuk dan didendam, tahulah bahawa marah, kutuk dan dendam tersebut datang daripada orang yang tiada ciri-ciri orang baik. Oleh itu, tidak perlu dilayan dengan kekerasan kerana mereka ialah orang-orang yang dikasihani kerana hati mereka masih tertutup kepada kebaikan.


(Rujukan: Kitab Tipitaka Thai)

No comments: