Sunday, May 27, 2012

Kisah Bhikkhu Dan Monyet Betina

Seorang Bhikkhu selalu mengumpan seekor monyet betina dengan makanan di hutan berdekatan Kota Vesali, sebelum bersetubuh dengan monyet tersebut. Perkara tersebut berlaku berulang kali. 

Sewaktu Bhikkhu tersebut pergi pindapata (bindabart) di Kota Vesali, sekumpulan Bhikkhu lain melalui kawasan yang didiami Bhikkhu tersebut. Dari jauh monyet betina melihat kumpulan Bhikkhu itu lalu pergi mencari mereka. Monyet betina menunjukkan pelbagai ragam seperti mengangkat pinggang, meninggikan ekor, mencondongkan punggung dan sebagainya di depan kumpulan Bhikkhu. Kumpulan Bhikkhu melihat kerenah monyet betina lalu berfikir bahawa Bhikkhu yang tinggal di situ tentu bersetubuh dengan monyet. Mereka bersembunyi di suatu tempat untuk menyaksikan dengan mata sendiri.

Bhikkhu yang pergi pindapata di Kota Vesali pun pulang. Monyet betina terus pergi mendapatkan Bhikkhu itu. Bhikkhu makan separuh makanan dan separuh lagi diberikan kepada monyet. Setelah makan, monyet mencondongkan punggung kepada Bhikkhu untuk disetubuhi.

Kumpulan Bhikkhu yang bersembunyi pun keluar dari persembunyian lalu bertanya kepada Bhikkhu tersebut, bukankah Buddha telah menetapkan Vinaya (melarang persetubuhan) tetapi kenapa dia masih bersetubuh dengan monyet betina?

Bhikkhu tersebut mengaku bahawa memang benar Buddha telah menetapkan Vinaya yang melarang persetubuhan, tetapi hanya dengan wanita, bukan dengan haiwan betina. 

Kumpulan Bhikkhu berkata, bukankah penetapan Vinaya oleh Buddha serupa sahaja (wanita mahupun haiwan betina)? Perbuatan Bhikkhu itu tidak wajar, tidak sesuai, tidak berguna dan bukan urusan Bhikkhu. Bhikkhu yang menjadi samana dalam Dhamma Vinai yang ditetapkan oleh Buddha dengan begitu baik sepatutnya dapat mengamalkan Brahma-cariya (Kehidupan Suci) dengan sempurna seumur hidup. 

Kumpulan Bhikkhu memberitahu Bhikkhu yang bersetubuh dengan monyet bahawa Buddha mengajar Dhamma bagi menghapuskan nafsu, bukan menambahkan nafsu; bagi memisahkan, bukan menyatukan; bagi melepaskan, bukan melekatkan. Sebaliknya Bhikkhu itu telah melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Buddha.

Perbuatan Bhikkhu itu bukan untuk mewujudkan kepercayaan di kalangan masyarakat yang belum ada kepercayaan (terhadap Bhikkhu) atau menambahkan kepercayaan di kalangan masyarakat yang sudah ada kepercayaan. Sebaliknya, perbuatan Bhikkhu itu menyebabkan tidak akan wujud kepercayaan di kalangan masyarakat yang belum ada kepercayaan atau mengubah kepercayaan di kalangan masyarakat yang sudah ada kepercayaan. 

Setelah mengkritik Bhikkhu tersebut dengan bermacam-macam, kumpulan Bhikkhu mempersembahkan perkara tersebut kepada Buddha. 

Buddha segera mengadakan perjumpaan Sangha.

Buddha bertanya kepada Bhikkhu yang bersetubuh dengan monyet betina sama ada betul khabar yang mengatakan dia berbuat begitu? Bhikkhu itu mengaku bahawa betul dia melakukannya. Buddha mengkritik perbuatan Bhikkhu itu.

Buddha memanggil Bhikkhu itu dengan nama Mokha Burut ("Mokha Burut" bermaksud orang atau lelaki kosong, tidak berguna, tidak berfaedah dan tidak mampu berbuat baik. Biasanya nama atau panggilan ini digunakan kepada Bhikkhu yang melanggar Dhamma vinai.)

Buddha mengkritik Bhikkhu "Mokha Burut" itu bermacam-macam perkara sebagaimana dilakukan kumpulan Bhikkhu sebelum ini. Dhamma Buddha bagi mengurangkan kehendak dan nafsu, tetapi Mokha Burut telah melakukan perkara yang sebaliknya. Dhamma Buddha bagi memisahkan (perkara jahat), tetapi Mokha Burut menyatukan. Dhamma  Buddha bagi melepaskan (perkara jahat), tetapi Mokha Burut melekatkan. 

Buddha berkata memasukkan alat kelamin ke dalam mulut ular yang bisa lebih baik daripada memasukkannya ke dalam alat kelamin monyet betina. Ini kerana memasukkan alat kelamin ke dalam mulut ular yang bisa paling teruk akibatnya ialah mati, tetapi tidak perlu ke neraka. Namun, memasukkan alat kelamin ke dalam alat kelamin monyet betina, selepas mati akan ke neraka. 

Kemudian Baginda menetapkan Vinaya baru bahawa bersetubuh dengan haiwan betina juga dilarang. 

Daripada kisah ini dapat kita ketahui bahawa pelanggaran Vinaya oleh Bhikkhu berlaku sejak zaman Buddha. Setiap kali ada pelanggaran, Buddha akan menetapkan Vinaya yang baru supaya sesuai dengan situasi semasa. 

Sekarang Buddha sudah Parinibbana. Vinaya baru tidak akan ada lagi. Sedangkan perkembangan dan kemajuan dunia semakin meningkat. Perubahan yang berlaku di dunia pun semakin ketara. Arus globalisasi begitu pantas sehingga institusi Sangha turut menerima kesannya. 

Bagaimana Sangha bakal menghadapi situasi tertentu yang tiada dalam Vinaya tetapi boleh memberi kesan kepada kepercayaan masyarakat? Contohnya, Bhikkhu memandu kereta. Dalam Vinaya tidak ada kerana zaman Buddha belum ada kereta, kecuali kereta lembu atau kereta kuda. Dalam Vinaya, Bhikkhu boleh mendayung sampan atau perahu. Dari sinilah dijadikan sandaran oleh Bhikkhu yang memandu kereta. Bagaimana dengan tanggapan masyarakat? Majoriti masyarakat tidak boleh terima Bhikkhu memandu kereta. Namun, mereka tidak berani membuka mulut. Dalam diam, kepercayaan mereka berkurangan. Ini sekadar contoh. Banyak lagi perkara lain yang dilakukan Bhikkhu kerana tiada dalam Vinaya tetapi tidak disenangi masyarakat.

Kisah monyet boleh dijadikan teladan dan renungan. Ketika itu Buddha hanya menetapkan Vinaya yang melarang persetubuhan dengan wanita. Larangan ini amat jelas. Semua Bhikkhu dilarang bersetubuh dengan wanita. Tujuan larangan ini adalah untuk "menjauhkan Bhikkhu daripada nafsu berahi". Kita tahu bahawa nafsi ini, semakin dilayan semakin tidak cukup kehendaknya. Oleh itu, untuk menyekatkan, kita mesti "berhenti" daripada melayan nafsu tersebut. 

Bersetubuh dengan monyet belum dilarang atau belum ditetapkan Vinaya. Akibatnya, Bhikkhu bernafsu keras melampiaskan nafsunya dengan monyet betina. Buddha mengkritik keras perbuatan tersebut. Walaupun Vinaya yang melarang bersetubuh dengan haiwan betina belum ditetapkan, namun Bhikkhu itu dikritik hebat. Ini kerana dia telah "melayan nafsu berahinya" tanpa memikirkan akibatnya. Ini bererti bahawa yang penting bukan Vinai itu sudah ada atau tidak, tetapi "tujuan Vinaya" itu ditetapkan. Buddha menetapkan Vinaya melarang bersetubuh dengan wanita kerana mahu "menghalang penyuburan nafsu", oleh itu semua jenis "penyuburan nafsu", sama ada dengan haiwan atau manusia tentulah tidak boleh.

Sebenarnya, tujuan Vinaya lebih penting daripada penetapan Vinaya. Walaupun tiada dalam Vinaya, sesuatu perbuatan yang boleh mengurangkan kepercayaan masyarakat, menjadi buah mulut orang atau mencemarkan institusi Sangha mesti dielakkan. Sedangkan Bhikkhu atau Sangha sekarang berlaku sebaliknya, iaitu mereka mementingkan penetapan Vinaya daripada tujuannya. Apa-apa yang tidak ada dalam Vinaya dilakukan sewenang-wenang, maklumlah tiada Vinaya yang melarang. Tujuan Vinaya sering dipinggirkan. 

Bhikkhu atau Sangha melanggar Vinaya akan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang seterusnya memberi kesan tidak baik kepada agama Buddha. Sama ada terdapat dalam Vinaya atau tidak, perkara yang "membangkitkan nafsu, menyuburkan keinginan atau menambahkan kemelekatan" mesti dijauhi sama sekali sekiranya ingin memelihara kesucian Brahma-cariya. 

Bukan sahaja kepada Bhikkhu, orang biasa pun mesti mengambil iktibar daripada kisah ini. Perkara yang tidak terdapat dalam Sila, tetapi bakal "menyuburkan nafsu, keinginan, ketamakan, kemarahan dan kesesatan" mesti dielakkan jika mahu jadi seorang penganut yang baik. 







1 comment:

Anonymous said...

Bhikkhu ni mesti satu baka dengan yang main dengan anjing dulu.