Tuesday, May 29, 2012

Sati-Sampajanna


Sati-Sampajañña @ Sati-Sampa-chan-ya (สติสัมปชัญญะ)

Masa selepas Buddha Parinibbana. Pada suatu hari, seorang pemuda bernama Supha, anak kepada jutawan meminta pemuda lain pergi menjemput Phra Anon ke kediamannya. Phra Anon menolak kerana beliau baru sahaja makan "ubat mencuci" perut dan berjanji akan pergi keesokan hari. Tiba pada keesokan hari, Phra Anon pun pergi ke kediaman pemuda tersebut. Pemuda itu bertanya tentang perkara yang disanjung dan diminta oleh Buddha agar masyarakat sentiasa mengamalkannya.

Phra Anon memberitahu bahawa terdapat 3 perkara iaitu Ariya Sila, Ariya Samadhi dan Ariya Panna (panya) yang disanjung dan diminta oleh Buddha agar masyarakat sentiasa mengamalkannya. Phra Anon menerangkan kesemua perkara itu. 

Sati-Sampajanna termasuk dalam Ariya Samadhi yang diterangkan oleh Phra Anon.

Bagaimana yang dikatakan mempunyai Sati-Sampajanna? Orang yang mempunyai Sati-Sampajanna sentiasa sedar masa melangkah, masa berundur, masa melihat, masa menoleh, masa membongkok, masa membetulkan tubuh, masa berpakaian, masa makan, masa minum, masa mengunyah, masa merasa makanan, masa membuang air besar, masa membuang air kecil, masa berjalan, masa berdiri, masa duduk, masa bangun, masa tidur, masa jaga, masa bercakap dan masa diam. Inilah yang dikatakan mempunyai Sati-Sampajanna. 

Di sini kita boleh perhatikan bahawa terdapat 2 perkara yang penting.

1. Supha menjemput Phra Anon ke kediamannya untuk bertanya tentang Dhamma. Phra Anon menerangkan Dhamma yang dikehendaki dengan panjang lebar. Orang dahulu mementingkan pengetahuan Dhamma berbanding perkara lain. Jikalau mereka menjemput Bhikkhu pergi makan di rumah pun, mereka akan minta ceramah Dhamma sekali. Mereka mengutamakan tambun melalui mendengar Dhamma. Tambun begini mendapat ilmu dan mampu membebaskan diri daripada kejahilan dan kesesatan.

Berbeza dengan kita hari ini. Kita menjemput Bhikkhu ke rumah jika bukan naik rumah baru, mesti ada orang mati, orang sakit, ditimpa bencana atau untuk tambun tertentu.   Jarang atau hampir tiada sama sekali kita menjemput Bhikkhu ke rumah untuk memperdengarkan Dhamma. Kita mengutamakan tambun melalui dana atau Sanghdana. Tambun begini tidak mendapat ilmu, tidak mampu membebaskan diri daripada kejahilan dan kesesatan.

2. Sati-Sampajanna perkara yang sangat penting. Jika kita perhatikan keterangan yang diberikan oleh Phra Anon, Sati-Sampajanna mesti ada pada setiap langkah, gerak-geri, termasuk berdiam diri dan tidur. Bahkan berfikir pun mesti ada Sati-Sampajanna. Orang yang mempunyai Sati-Sampajanna kurang melakukan kesilapan. Sebaliknya orang yang tiada Sati-Sampajanna sentiasa terdedah kepada kesilapan atau kesalahan. Tiada Sati-Sampajanna masa memandu kereta boleh menyebabkan berlaku kemalangan. Orang yang tiada Sati-Sampajanna ialah orang yang lalai.

Pernahkah anda membeli sesuatu barang dan dua hari kemudian anda terlupa di mana anda letak atau simpan barang tersebut? Puas dicari dan digeledah rumah baru jumpa. Ini terjadi kerana masa anda letak atau simpan barang itu, anda tiada Sati-Sampajanna ketika itu. Mungkin fikiran anda sedang fokus pada perkara lain, tetapi tidak pada barang yang anda letak atau simpan. Sebab itu anda terlupa. 




1 comment:

Anonymous said...

Tepat sekali, Tuan pena.
Warga Siam mementingkan "ritual" berbanding dengan pengetahuan. Org kata bila Bhikkhu suad mon, ada "power". Tapi power nya, terletak dalam Dhamma, bukan ciri-ciri Tantrik dan Brahmana yg sudah menjadi kepercayaan Thai Theravada.