Saturday, May 12, 2012

Selepas Mati Pergi Mana?

Seorang kenalan pernah bertanya soalan yang pelik kepada saya begini: "Selepas Nirvana pergi mana?"

Saya terdiam kerana saya sendiri belum Nirvana. Saya bertanya balik: "Pernah baca buku riwayat hidup Buddha?"

"Pernah," jawabnya.

"Setelah enam tahun mencari, akhirnya Putera Siddharta mendapat Pencerahan Sempurna atau Trassaru. Baginda lalu menjadi Buddha atau Tathagata. Apabila Trassaru, maknanya pada masa yang sama Baginda telah berjaya menghapuskan Kilesa dan mencapai Nirvana!" Saya menerangkan. "Selepas mencapai Nirvana, Baginda pergi mana?"

Dia kelihatan kebingungan, sebelum bertanya: "Apa yang dicari Putera Siddharta?"

"Tadi kata pernah baca buku riwayat hidup Buddha?"

"Tidak berapa faham."

"Putera Siddharta mencari apa yang baik (Kusala Dhamma) dan apa yang tidak baik (Akusala Dhamma). Hidup berumah tangga penuh dengan kesengsaraan lalu Baginda mencari kehidupan yang lebih baik," kata saya lagi sambil memerhatikan kerut keningnya.

Saya rasa dia masih kurang pencerahan daripada penjelasan saya. "Awak belum jawab soalan saya."

"Soalan apa?"

"Selepas Buddha mencapai Nirvana, Baginda pergi mana?"

Dia tersenyum. "Itu soalan saya."

"Itulah jawapannya kepada soalan awak. Selepas Nirvana, Buddha menjelajahi seluruh India menyebarkan Dhamma," kata saya.

"Maksud saya, orang yang mencapai Nirvana, contohnya Buddha, selepas mati pergi mana?"

"Oh, selepas Parinibbana, bukan selepas Nirvana. Parinibbana dan Nibbana tak sama. Parinibbana dalam bahasa yang mudah ialah mati. Manakala Nibbana atau Nirvana ialah minda bebas daripada Kilesa atau kotoran batin yang merupakan punca kepada segala kejahatan," jelas saya. "Jangan keliru dengan dua istilah ini."

"Ya, itulah maksud saya. Selepas Parinibbana pergi mana?" soalnya lagi.

"Soalan awak tidak betul," kata saya.

"Kenapa?"

"Awak tanya pergi mana? Apa yang pergi mana?" soal saya selamba. "Selepas mati, tubuh Buddha dibakar hangus jadi abu. Karma Buddha telah tiada. Apa yang hendak pergi mana? Manusia "pergi" dibawa Karma. Sekarang Karma Buddha telah lenyap." Saya memberi penjelasan ringkas.

Dia terdiam kerana tidak tahu apa hendak dijawab atau mungkin tidak faham keterangan saya. Pertanyaan kenalan ini mengingatkan saya kisah Achan Cha dengan seorang tetamu asing yang melawat beliau. Tetamu asing ini bertanya kepada Achan Cha, selepas mati, seseorang itu pergi mana?

Achan Cha bertanya balik (sambil menunjukkan sebatang lilin yang bernyala), api lilin ini apabila padam, apinya pergi mana?

Tetamu asing itu terdiam. Achan Cha bertanya lagi sama ada tetamu asing itu berpuas hati dengan jawapan yang diberi. Tetamu asing menggeleng kepala. Achan Cha pun beritahu bahawa dia juga tidak berpuas hati dengan pertanyaan tetamu asing itu.

Bukan semua perkara boleh dijawab dengan lisan kerana ada perkara yang hanya boleh diketahui sendiri melalui amalan. Terdapat ahli falsafah atau golongan pemikir yang cuba "mencari makna" Nirvana dengan berfikir semata-mata tanpa amalan. Ini tentulah mustahil.

Dalam sebuah Sutta (Kitab Tipitaka) , Nirvana atau Nibbana diterangkan sebagai (1) tidak lahir; (2) tidak tua; (3) tidak sakit dan (4) tidak mati.

Empat ciri Nirvana ini berlawanan dengan ciri duniawi iaitu (1) lahir; (2) tua; (3) sakit dan (4) mati.

Oleh sebab hidup kita di dunia dan minda kita masih di tahap duniawi, maka pemikiran kita, termasuk fikiran ahli falsafah, golongan pemikir atau bijak pandai sekalian masih terikat dengan konsep lahir, tua, sakit dan mati. Pemikiran yang terikat dengan konsep duniawi ini tidak mungkin dapat mencari makna sebenar  Nirvana dan merungkaikan persoalan-persoalan yang berkaitan dengannya.

Untuk memahami makna "luaran" Nirvana, tidak sukar tetapi untuk memahami "makna sebenar" sebagaimana yang difahami oleh para Arahant, kita mesti jadi Arahant juga.




6 comments:

Sky bike said...

syabas.. penulisan anda membuka minda kepada orang ramai.. ramai di luar sana masih lg ada tanggapan yang salah mengenai agama buddha sebenar...

Anonymous said...

Blog bagus yang wajib disebarkan supaya public lebih memahami agama Buddha Thai.Saya baru convert kepada Buddhist. Tulisan dalam blog banyak bantu saya mendalami ajaran Buddha.

Terima kasih.

Anonymous said...

Orang putuchon lepas mati pergi mana khun Pena?

Anonymous said...

Kebanyakkan orang Siam apabila membuat sesuatu Dana,akan berdoa agar mencapai Nirvana atau Nibbana di masa depan. Bagaimana nak mencapai Nibbana khun Pena, jika sekadar membuat Dana dan berdoa, tanpa mendalami dan mengamalkan Dhamma.

pena reformasi said...

Doa sekadar menyedapkan hati. Agama Buddha tidak bergantung pada doa tapi usaha.


Kita ada satu istilah iaitu athitthan yang bermaksud tekad atau azam yang mesti disusuli dengan usaha.

pena reformasi said...

Orang hidup atau orang mati ditentukan oleh Karma.