Wednesday, June 13, 2012

Ajaran Buddha Bukan Falsafah

Buddhisme Bukan Falsafah


Agama Buddha bukan falsafah. Saya berhujah berdasarkan pendapat Buddhadasa Bhikkhu dan Bhikkhu P.A. Payutto. Ramai orang, terutama penganut agama lain selalu berkata bahawa agama Buddha ialah falsafah. Mereka berkata bergitu kerana bagi mereka agama mesti datang dari langit. Bagi mereka Tuhan tinggl di langit. Penganut agama Buddha tidak seharusnya terpengaruh dengan pendapat yang dangkal ini. Pendapat begitu tercetus daripada ketidakfahaman mereka terhadap agama Buddha - sama ada sengaja tidak mahu memahami atau tidak berupaya memahami, entahlah.

Selaku penganut agama Buddha, kita mesti bijak membezakan antara agama dengan falsafah dan antara "orang agama" dengan ahli falsafah. Falsafah berkaitan dengan kaedah mencari kebenaran berdasarkan keupayaan berfikir, berbincang dan berdebat. Hasil daripada berfikir, berbincang dan berdebat, maka akan melahirkan kemungkinan kebenaran. Saya kata kemungkinan kerana apa yang terhasil belum tentu kebenaran, hanya sekadar teori yang dianggap benar sebelum dicabar teori lain.

Bahkan perkara yang menjadi tajuk perbincangan atau perdebatan di kalangan ahli falsafah adakalanya tiada kaitan dengan kehidupan harian. Misalnya, ahli falsafah sejak dahulu berdebat tentang bila dunia terbentuk, bila dunia akan berakhir, bila makhluk wujud dan sebagainya. Sehingga sekarang belum ada satu teori yang benar-benar diterima umum. Setiap teori diterima pada zaman tertentu sebelum dicabar teori lain. Apabila muncul teori baru, teori lama ditolak.

Socrates boleh dikatakan bapa kepada ahli falsafah Athens, diikuti oleh Plato dan Aristotle. Teori Trio-Athens ini selalu bercanggah antara satu sama lain dan tidak kurang juga ditolak oleh ahli falsafah zaman berikutnya iaitu Zaman Pertengahan, Zaman Pembaharuan dan Zaman Baroque. Pendek kata, sejak zaman Socrates, Spinoza, Berkeley, Kant, Hegel, Marx, Darwin mahupun Freud, teori "kehidupan manusia" sentiasa berubah-ubah.

Selain itu, ahli falsafah menjalani kehidupan bebas tanpa berpandukan apa-apa peraturan atau moral tertentu. Oleh itu, ramai ahli falsafah hidup tidak mengikut apa yang diperkatakan. Bercakap lain, berbuat lain. Akibatnya, terdapat ahli falsafah yang hidup tidak terkawal, menjadi gila dan menanggung derita sehingga meninggal dunia.

Sebaliknya, Bhikkhu dalam agama Buddha mengamalkan apa yang diperkatakan, atau memperkatakan apa yang diamalkan. Luang Phu Mun, Achan Cha, Buddhadasa Bhikkhu dan lain-lain bercakap serupa bikin.

Agama merupakan perkara yang berkaitan dengan amalan, berkaitan kehidupan harian. Agama apabila diamalkan akan membawa faedah kepada kehidupan. Kaedah-kaedah amalan pula sentiasa kekal tanpa berubah-ubah dan matlamat amalan juga jelas. Ariya Sacca 4 merupakan kebenaran agama Buddha yang tidak berubah sejak dahulu hingga sekarang. Belum ada teori baru yang mempu mencabarnya. Ariya Magga 8 merupakan kaedah amalan yang tiada bandingannya. Setahu saya belum ada kaedah mencapai Pembebasan Minda selain Ariya Magga 8.

Seperti yang dikatakan tadi, agama Buddha mempunyai matlamat yang jelas iaitu Pembebasan Minda. Pengamal Dhamma bermula dengan rela hati untuk mengamalkan Dhamma mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Buddha. Amalan yang betul, biarpun tidak mencapai tahap Pembebasan Minda, tetap akan memberikan hasil yang berfaedah kepada kehidupan.

Apabila dilihat dari sudut ini, agama Buddha bukan falsafah tetapi agama. Buddha ialah pengasas agama Buddha. Setiap penganut agama Buddha yakin dengan Pencerahan Sempurna (Trassaru) Buddha. Baginda mengajar tentang kaedah menjalani kehidupan yang mulia yang apabila diamalkan akan membawa kepada kebebasan daripada kesengsaraan. Kitab yang mengandungi ajaran Buddha dinamakan Tipitaka. Penganut yang sejati mesti mengamalkan ajaran dengan betul agar mendapat faedah daripada agama. Oleh itu, untuk menjamin amalan tidak terpesong, pemahaman kitab Tipitaka amat penting.



No comments: